Monday, 11 August 2025

Catatan Hujung Minggu | 10 Ogos 2025

Catatan hari Ahad, 10 Ogos 2025.

Hujung minggu saya selalunya penuh dengan aktiviti ke sana ke sini, tapi dek kerana tak rajin menulis maka jarang-jarang ada catatan di blog. Hujung minggu lalu, hari Sabtu berlalu dengan santai - kami suami isteri bersarapan di kedai makan di Arau, beli ayam segar di Kg. Batu Bertangkup dan melakukan kerja pemangkasan pokok di sekeliling rumah.

Hari Ahad pula agak sibuk - ada janji temu grooming untuk Jojo si anak bulu. Kami perlu hantar anak bulu pada pukul 11 pagi dan ambil pada lewat petang. Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 21 km, Jojo bising mengiau sambil mencakar dan mengais setiap sudut carrier. Cabaran sungguh setiap kali nak bawa Jojo ke klinik 😅

Klinik Haiwan Calico yang terletak di Arau - tempat biasa kami bawa Jojo sejak kali pertama bawa jumpa doktor pada bulan Januari lalu. Doktor dan staf di sini mesra dan pandai layan kucing. Jojo yang biasanya penakut dengan orang pun jadi tenang di bawah kendalian mereka.

Selesai menghantar Jojo, kami terus menuju ke Alor Setar, Kedah pula. 

Sampai di Alor Setar dah pun melepasi pukul 12 tengah hari, teruslah cari makan. Kami makan di Ahmad Foo Chicken x Duck Rice. Kunjungan kali kedua di sini - kali ini saya makan set nasi ayam Hainan manakala Encik Suami masih tetap memilih set nasi itik dengan tambahan lauk taugeh Teochew. Masing-masing tamak - ambil set ayam/itik suku bahagian, akibatnya jadi terlampau kenyang 😄

Alhamdulillah rasa masakan masih sedap macam kali pertama kami ke sini, habis licin semuanya dimakan. Kali ni kami minta pelayan kedai kurangkan kelajuan kipas sebab semasa kunjungan lepas, sup sedap tu jadi cepat sejuk. Ruang makan tak begitu luas, kipas pula jenis geleng-geleng dan berputar laju jadi cepat sejuk makanan yang dihidang.

Lepas makan, kami ke Aman Central Mall. Saya cari pakaian untuk acara reunion pada bulan depan - warna tema coral. Dalam mall ni ada deretan kedai pakaian Muslimah, tapi nampaknya tak ada yang susuai untuk dibeli. Hmm…nampaknya terpaksalah beli secara online. Beli online ni tak seronok sebab tak boleh rasa material dan selalunya warna paparan skrin bukanlah warna sebenar.

Sedang berjalan-jalan dalam mall, saya dapat WhatsApp dari klinik - kiriman foto dan video Jojo baru lepas mandi. Elok je tenang Jojo duduk dalam sangkar. Lepas keringkan bulu dan pemeriksaan doktor nanti barulah kami boleh datang ambil Jojo.

Plan nak buat rawatan kulit kepala di Shazira Salun terpaksa ditangguhkan. Tak cukup masa. Dari mall terus bergerak balik ke Perlis. Singgah solat di surau plaza tol Hutan Kampung. Tadi nak solat di mall tapi penat pusing-pusing cari surau tak jumpa. Patutlah sebelum tu ada seorang perempuan tanya saya di mana surau. Rupa-rupanya memang susah nak cari.

Kami sampai semula di Arau kira-kira pukul 4.40 petang. Sementara menunggu waktu untuk ambil Jojo, kami minum petang di ZUS Coffee. Beli juga kek dengan tawaran ‘Birthday Cake Deal - Buy 1 Free 1’. Pertama kali saya cuba makan Berries Cheesecake ni, sedap!

Lebih kurang pukul 5 petang, saya terima mesej “Dah boleh mai ambik abang Jojo”. Geli hati baca 😆

Klik untuk paparan jelas.
Kos hantar Jojo kali ni untuk grooming dan rawatan mata - mata belah kanan selalu keluar macam air mata. Sebelum ni saya dah beli ubat titis di klinik ni, tapi masih belum sembuh sepenuhnya. Kali ni doktor bagi ubat gel untuk letak pada mata dan ubat pil untuk dimakan. Staf klinik tunjuk juga demo cara bagi Jojo makan pil sebab saya tak pernah ada pengalaman bagi pil pada Jojo.

Jojo juga dapat diskaun untuk grooming sebab bulu tak banyak 😄. Staf perempuan yang baik hati ni maklumkan tak susah pun nak mandikan Jojo, behave je. Amboi Jojo…lain benar perangainya bila dalam kereta ya 😂

Sampai di rumah, nampak ada beg kertas atas bangku rak kasut. Rupa-rupanya ada jiran beri oleh-oleh dari Cameron Highlands. Alhamdulillah 🥰

Sebaik dikeluarkan dari carrier, Jojo sibuk ‘lap’ badan. Agaknya tak selesa dengan bau wangi pada bulu badan 😄

Budak lepas kena ‘seksa’ - tak bebas seharian dan kena mandi pulak. Malamnya, Jojo tidur awal atas riba Encik Suami. Siap berdengkur tau 😆. Letih sangat agaknya sebab siang tadi tak dapat tidur.

Untuk rekod - berat terkini Jojo 5.8 kg. Staf klinik tanya - Jojo makan apa, badan makin berat? Hmm…Jojo memilih makanan, kalau bagi PowerCat makan sikit je tapi kalau bagi Royal Canin bukan main laju mengunyah. Padahal sebelum ni jadi kucing jalanan makan apa-apa je yang jumpa, tapi sekarang dah berubah selera pulak ya.







4 comments:

  1. siap dengkur ye jojo tido atas riba tu...sronok dpt ole2 dr cameron

    ReplyDelete
  2. Aaa.. nampak tu mata kanan Jojo macam berair sikit. Tunjuk kacak la agaknya depan orang pempuan, tak buat perangai dia ya, Jojo. Kelakar pulak baca kipas geleng-geleng tu. Teringat kelembutan itik dekat Ahmad Foo ni, tapi sup dia tak kena di tekak sy. Agaknya betullah, sebab kipas kuat, dia cepat sejuk.

    ReplyDelete
  3. kucing pun macam anak kita..kat rumah perangai lain, kat tempat orang perangai lain.. hihihi...
    nampak sedap nasi ayam tu...

    ReplyDelete
  4. Abg Jojo pandai memilih makan yer...nak yg mahal jugak...

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****