🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸
Sambungan entri terdahulu —> Seketika di Higashi-Jujo, Kita City
Malam terakhir di Tokyo, kami mencuba hidangan yakiniku di Yakiniku Iwasaki. Restoran yakiniku yang mendapat persijilan halal ini terletak kira-kira 400 meter dari hotel penginapan kami.
Yakiniku (焼肉) ialah istilah bahasa Jepun yang bermaksud daging panggang, ia merujuk kepada cara masakan di mana daging dipanggang dan dimakan bersama sos pencicah.
Sebelum ke Jepun, saya pernah baca entri seorang sahabat blogger pergi makan di sebuah restoran halal Jepun di Malaysia. Nama restoran tersebut bermula dengan ‘Yakiniku’. Saya fikir, mungkin untuk menarik orang Islam makan di restoran Jepun tersebut maka nama restoran diletak yakiniku (yakin halal untuk makan). Bila tiba di Tokyo saya agak terkejut nampak sana sini ada nama restoran yakiniku. Eh, rupa-rupanya yakiniku tu Japanese BBQ! Bukan perkataan bahasa Melayu daaa 🤣
Kedudukan restoran di celah bangunan tapi tak susah nak mencarinya. Kami ke sini dengan panduan Google Maps - mod berjalan kaki. Suasana dalam restoran boleh dilihat jelas dari luar, nampaknya tak ramai pelanggan. Syukur jugalah tak perlu kami menunggu giliran.
Pintu masuk restoran Yakiniku Iwasaki.
Di luar restoran terdapat paparan menu dengan logo halal JHP (Japan Halal Foundation). Sebelum masuk, bolehlah berkira-kira hidangan mana satu yang sanggup kita bayar 😄
Sebaik melangkah masuk restoran, kami disambut mesra oleh seorang pelayan lelaki. Kami memilih duduk di sudut berhampiran pintu. Ruang dalam restoran ini tak begitu luas - sesuatu yang biasa bagi restoran di Jepun.
Sijil halal turut disertakan dalam buku menu.
Masa ni saya cuma rakam foto sijil tanpa membaca lanjut. Bila nak menghasilkan entri ini, barulah saya membelek dengan teliti foto-foto yang dirakam. Dan baru saya perasan tertera ‘Food Menu Only Halal’. Seterusnya bila saya belek foto menu minuman, rupa-rupanya restoran ini turut menjual minuman beralkohol. Patutlah pada sijil tersebut pengesahan halal hanya untuk makanan sahaja.
Ianya mungkin sesuatu yang biasa di luar negara - restoran menjual makanan berstatus halal tetapi turut menjual minuman beralkohol. Pandangan peribadi saya, adalah lebih baik jika kita dapat elak tempat makan begini kecuali dalam situasi tertentu - contohnya, sukar mencari atau tiada pilihan restoran halal lain di kawasan tersebut. Apa pun, ianya terpulang kepada pertimbangan masing-masing.
Berbalik kepada cerita makan-makan. Sementara menunggu hidangan tiba, kami diberi piring kecil dengan ketulan warna putih semacam lilin, tapi kami tak tahu kegunaannya. Tak lama kemudian pelayan datang tunjukkan cara. Katanya untuk bersihkan jaring pemanggang, tak tahulah kalau kami salah faham ya 😅
Hidangan utama kami - wagyu regular beef platter. Terdapat empat bahagian daging yang berbeza, setiap bahagian diberi empat keping daging.
Di tengah berwarna hijau tu wasabi, dimakan bersama daging yang telah dipanggang. Saya cuma mampu mencuba sedikit saja. Rasanya agak ‘pelik’, tak tahu saya nak jelaskan rasanya.
Seaweed soup.
Udon.
Awalnya kami letak daging di bahagian tengah pemanggang, tapi jadi cepat sangat masak.
Foto zoom-out meja makan kami.
Daging yang telah dipanggang dimakan bersama sos wagyu. Warna sosnya macam kicap tapi bukanlah rasa kicap, sedap rasanya sesuai dimakan bersama kepingan daging yang lembut dan berjus.
Kami menghabiskan masa menikmati yakiniku dan hidangan sampingan yang lain di sini selama kira-kira satu jam. Selepas itu kami menuju ke sebuah kedai yang menjual pelbagai makanan dan barangan - saya tak tahu nama kedainya kerana tiada tulisan bahasa Inggeris. Antara yang dibeli - dua dozen ‘biskut kapal’ buat stok makan sendiri juga sebagai oleh-oleh untuk ahli keluarga.
Pukul 10.30 malam, kami kembali ke hotel penginapan. Esok awal pagi kami akan memulakan perjalanan kembali ke tanah air. Malam tersebut sibuklah saya mengemas dan menyusun segala barang dalam dua buah beg. Penat jugalah nak menyusun semuanya supaya muat - susun, keluarkan, susun semula.
Boleh pulak ye salah faham maksud yakiniku tu yakin aduii 😆
ReplyDeleteYg bab makanan halal tapi ada jual alcohol tu, mmng biasa jugak di sana. Tapi dah area situ takde makanan halal. Terpaksalah makan juga, asalkan daging yg kita ambil tu mmng khas halal for muslims
comel perkataan yakiniku 😂 semua nampak sedap...harus try bila kesana
ReplyDeleteWasabi memang tak boleh telan menyengat kat hidung telinga sekali kalau makan tu.
ReplyDelete