Monday, 14 July 2025

Seketika di Higashi-Jujo, Kita City

 🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —-> Menikmati Tendon Pertama di Tendon Itsuki, Ginza


Selesai makan dan solat, kami menaiki tren menuju ke Higashi-Jujo di Kita City - sebuah bandar yang terletak di bahagian utara Tokyo. 

Suasana di dalam tren. Tak ramai penumpang ketika ini.

Panduan perjalanan menggunakan aplikasi Google Maps. Lengkap semua maklumat diberi, sangat memudahkan pergerakan kita. Tren yang kami naiki akan berhenti di tujuh buah stesen sebelum tiba di stesen destinasi kami iaitu Higashi-Jujo Station.

Eh, nama stesen ni lebih kurang macam nama saya 😁

TERPISAH SEKETIKA | Oji Station terletak sebelum Higashi-Jujo Station. Mungkin kerana leka memerhati pemandangan di luar, kami tak perasan tren sudah pun tiba di Higashi-Jujo Station. Para penumpang lain keluar dan masuk koc. Sebaik kami perasan, Encik Suami segera melangkah keluar dari koc diikuti oleh saya. Tetapi saya tak sempat keluar - pintu ditutup. Segera saya buat isyarat tangan minta Encik Suami tunggu dan nanti saya akan berpatah balik.

Walaupun agak terkejut dengan situasi yang terjadi, tapi saya tidaklah rasa cemas kerana sudah beberapa hari kami ke sana ke sini di Tokyo dengan menaiki tren. Tambahan pula, stesen di sini bukanlah stesen besar seperti Ueno Station yang complicated sehingga sukar nak cari pintu keluar yang betul.

Saya turun di stesen berikutnya iaitu Akabane Station. Sebaik melangkah kaki di platform stesen, seorang lelaki Jepun mendekati saya. Lelaki muda tersebut bercakap bahasa Jepun sambil tangannya menunjuk ke suatu arah - tangga menuju ke platform bawah. Saya yang agak keliru cuma menggeleng kepala tanda tak faham.

Selepas lelaki Jepun tersebut berlalu pergi, barulah saya faham maksud lelaki tadi - untuk berpatah balik ke stesen sebelumnya saya perlu turun tangga yang ditunjukkan tadi. Aduhai…blur sungguh saya! Agaknya tadi dia ada dalam koc yang sama dan tahu situasi saya lalu cuba membantu. Harapnya dia fahamlah reaksi saya tadi dek kerana keliru, bukan sombong. Semoga Allah membalas perbuatan baiknya terhadap saya.

Belum sempat saya turun ke bawah, Encik Suami pula muncul - baru keluar dari tren. Risau saya bergerak sendirian, jadi Encik Suami bergegas naik tren berikutnya untuk bersama saya.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pukul 4.05 petang, kami tiba di Higashi-Jujo Station. Alhamdulillah.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Turun eskalator untuk keluar bangunan stesen. Dari stesen, kami berjalan kaki ke lokasi tujuan kami.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Sementara menunggu lampu isyarat melintas jalan bertukar hijau, sempatlah saya memotret rupa kabel elektrik di sini. Nampak macam seni anyaman pulak 😀

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Papan tanda tertera ‘Higashijujo Koban’ di tiang lampu trafik. Juga papan tanda ‘koban’ di bangunan berhampiran. Carian saya mendapati, ‘koban’ merupakan balai polis kecil yang terletak di sesebuah komuniti. Tujuannya supaya polis dilihat ada dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Satu usaha yang bagus!

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Suhu ketika ini 11℃ (feels like 8 ℃). Memang sejuk! Saya tak ada sarung tangan, jadinya pada kebanyakkan masa saya masukkan tangan ke dalam poket jaket. Ketika ini juga langit cerah mulai gelap. Matahari terbenam awal iaitu sekitar pukul 4.30 petang.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Kami melalui sebatang jalan yang kelihatan cantik dengan dekorasi lampu dan gantungan bendera kecil pelbagai negara. Saya cuba memerhati deretan bendera tersebut, tapi tidak kelihatan bendera Malaysia.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
SUPER AUTOBACS | Inilah tujuan kami ke Higashi-Jujo, kami nak ke tempat jualan aksesori kereta. Lebih tepatnya - Encik Suami yang beria nak ke sini, saya hanya menurut saja. Sebenarnya, Encik Suami berhasrat nak ke cawangan lain yang lebih besar tapi lokasinya lebih jauh.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Menarik jugalah - banyak pilihan barang dan tersusun rapi.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Encik Suami sibuk membelek barang dari satu rak ke satu rak.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Rak barang berharga 110 yen - lebih kurang RM3.20.

Staf di sini tidak boleh berbahasa Inggeris, jadinya agak sukar bila Encik Suami nak bertanya lanjut berkenaan barang tertentu. 

Kami berada di sini kira-kira 50 minit. Selesai membeli, kami berpatah balik ikut jalan yang sama untuk kembali ke stesen tren.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Seingatnya ini stesen minyak pertama yang saya lihat di Jepun. Mungkin sebab saya banyak naik tren, jadi tak jumpa stesen minyak.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Kami kembali melalui jalan dengan dekorasi gantungan bendera kecil. Tempat ini nampak lebih cantik pada waktu malam.

BELI JAKET SEJUK | Semasa melalui jalan ini, saya terpandang sebuah kedai pakaian perempuan yang terletak di hujung bangunan. Rasa tertarik pulak nak masuk sebab nampak ada jual jaket sejuk. Kami masuk dan membelek pilihan yang ada. Saya berkenan dengan sehelai jaket sejuk berwarna purple. Sebenarnya saya memang dah mencari sejak hari pertama tiba di Tokyo, tapi tak jumpa yang berkenan. Walaupun jaket ini bukan buatan Jepun, saya beli juga sebab dah suka. Terdapat label dengan tulisan Jepun di bahagian dalam jaket, juga tertera tulisan bahasa Inggeris - Made in Myanmar.

Penjualnya seorang lelaki Jepun yang nampaknya lebih berusia dari kami, melayan kami dengan senyum mesra. Penjual tersebut bercakap bahasa Jepun, kami pula bercakap bahasa Inggeris. Ajaibnya, tetap saling faham walau bahasa pertuturan jauh berbeza 😄

Mulanya saya tak terfikir nak pakai terus jaket sejuk yang baru dibeli, tapi bila penjual bertanya sama ada saya nak pakai terus atau tidak? Saya terus buka jaket sejuk yang sedang dipakai dan menyarung jaket baru. Jaket lama diambil penjual, dilipat dan dimasukkan ke dalam beg plastik. 

Higashijujo, Kita City, Tokyo
KEDAI RUNCIT HALAL | Sedang berjalan, ternampak pula sebuah kedai runcit dengan logo halal. Kami singgah sekejap nak melihat produk yang dijual.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Macam-macam ada di jual - rebung dari Thailand pun ada. Pes soto ayam dari Indonesia dijual dengan harga 150 yen, lebih kurang RM4.30. Tidaklah mahal sangat. Saya mencari produk dari Malaysia, tapi hampa.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Sebelum masuk bangunan stesen, kami singgah membeli kopi panas di mesin minuman yang terletak di bangunan berhampiran. Macam biasa, sebelum beli saya buka aplikasi Halal Japan untuk semakan halal. Sedang kami memilih minuman halal yang mana satu nak dibeli, seorang lelaki Jepun datang menghampiri kami dengan senyuman mesra. Tangan lelaki tersebut menunjuk pilihan minuman sambil bercakap dalam bahasa Jepun. Menurut pemahaman kami, dia sedang memberitahu kami pilihan minuman halal. Kami ucapkan ‘thank you’ dan ‘arigato gozaimas’ sebelum lelaki tersebut beredar meninggalkan kami.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pandangan dari luar stesen tren - Higashi-Jujo Station North Exit.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pukul 5.45 petang, kami menunggu di platform no. 4. Suasana lengang, cuma terdapat beberapa orang sahaja yang sedang menunggu ketibaan tren.

Kami naik tren menuju ke Ueno Station untuk balik ke bilik hotel - nak rehatkan badan dan menunaikan solat sebelum kembali berjalan-jalan di sekitar Ueno.

Pukul 8 malam - kami keluar hotel. Saya berfoto kenangan di hadapan bangunan hotel penginapan kami dengan memakai jaket sejuk warna purple yang baru di beli. Saya suka rekaan jaket ini dengan potongan bentuk A dan mempunyai zip serta butang hadapan.

Kunjungan singkat ke Higashi-Jujo yang nampak macam tiada apa-apa, rupa-rupanya meninggalkan cerita manis tentang Tokyo kerana layanan baik oleh tiga orang lelaki Jepun yang kami temui. Kawasan yang terletak di pinggir bandar ini juga memberikan pengalaman yang berbeza - suasananya lebih tenang dan lebih terasa ‘local vibes’. 







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****