Thursday, 3 July 2025

Menikmati Tendon Pertama di Tendon Itsuki, Ginza

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN |  HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —> Beli Oleh-oleh di Ameyoko Street, Ueno


Tendon Itsuki merupakan restoran halal yang menyajikan salah satu makanan Jepun yang popular iaitu tendon (天丼). Dah berada di bumi Jepun, barulah saya tahu tendon merupakan nama makanan Jepun. Mulanya saya sangka tendon tu cuma sekadar sebahagian nama restoran 😄
Apa itu tendon?
  •  Tendon merupakan hidangan semangkuk nasi bersama tempura di atasnya. 
  • Perkataan tendon adalah singkatan daripada dua perkataan Jepun iaitu tempura (ten) dan donburi (don). 
  • Tempura ialah makanan laut atau sayuran yang disalut dengan adunan nipis dan digoreng rangup. 
  • Donburi ialah hidangan nasi di dalam mangkuk.

Sepanjang berada di Jepun, saya kerap memesan ramen. Ini kerana berbanding nasi, saya lebih suka makan masakan berasaskan mi. Tapi untuk hari terakhir di sini, saya tukar menu - cuba makan nasi di restoran Jepun.

Menurut info, terdapat dua cawangan restoran Tendon Itsuki di Ginza. Kami pergi cawangan kedua yang terletak di Level B2, Tokyu Plaza. Sesat jugalah nak ke aras bawah tanah ni - tak terlalu mudah mencari tapi tidaklah terlalu sukar. 

Alhamdulillah lega bila dah jumpa tempatnya. Masa ni pukul 12.30 tengah hari, pelanggan memenuhi ruang makan yang terhad. Kami diminta beratur menunggu di luar kedai. Kedainya di sebelah kanan dalam foto di atas.

Sementara menunggu, kami membelek menu dan membuat pilihan set hidangan. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas ya.

Kurang 10 minit beratur, kami di panggil masuk. Syukurlah tak perlu beratur lama. Tapi kalau datang dengan kumpulan besar, mungkin perlu menunggu lama bagi mendapatkan meja kosong.

Beginilah rupa bahagian hadapan kedai. Tertera logo halal - Tendon Itsuki mempunyai pengiktirafan halal oleh Japan Halal Foundation (JHF). Boleh makan tanpa ragu.

Sebaik melangkah masuk, seorang pelayan kedai meminta kami buat sendiri pesanan di mesin. Terasa susah jugalah nak membaca tulisan pada skrin. Biasanya main tunjuk gambar pada menu je, lebih mudah. Pelayan kedai datang bantu kami buat pesanan dan buat bayaran - di sini cuma terima bayaran tunai.

Kami duduk di kaunter bar sebab meja semuanya penuh dan lebih sesuai untuk kumpulan lebih ramai. Baru je duduk, terus dihidangkan dengan minuman (air kosong) dan chawanmushi (steamed egg custard).

Beginilah kedudukan saya di kaunter bar - duduk berhadapan dengan para pekerja yang sedang menyiapkan hidangan. Saya duduk di tengah - kiri saya Encik Suami dan kanan pula seorang lelaki Jepun. Kedudukan agak rapat, jadi saya kurang selesa nak makan dan tak dapat memotret foto makanan dengan baik.

Chawanmushi (steamed egg custard). Rasanya oklah, boleh makan habis.

Tak lama kemudian, hidangan utama sampai. Kami pilih dua set hidangan yang berbeza. Dalam foto di atas - Set Tendon dengan tempura udang, ayam, telur rebus dan sayuran.

Ini pula Set Gold Premium Tendon dengan tempura udang, sotong, salmon, crab claw, snow crab, ayam dan sayuran. Setiap set tendon dihidangkan bersama chawanmushi, sup miso dan jeruk sayuran. 

Tendon dimakan bersama sos tendon - cair macam kicap. Kalau nak sos pedas (spicy tendon sauce) perlu tambah 200 yen setiap set.

Berkenaan rasa - tempuranya tidak berminyak, rangup di luar dan berjus di dalam. Makan banyak pun tak terasa muak. Memang sedap! Cuma menurut selera saya, tempura lebih sedap kalau dimakan bersama sos yang lebih pedas (bukan sos kicap tendon).

Nasinya pula tak sama seperti nasi yang biasa kita makan, agak melekit tapi sedap je. Saiz hidangan nasi agak besar, saya tak mampu nak habiskan makan nasi. Sayang jugalah, tapi saya pun tak boleh nak duduk lama - perlu segera selesaikan makan dan beri peluang kepada pelanggan lain yang dah beratur menunggu di luar.

Kalau kalian berkunjung ke Tokyo, bolehlah mencuba sendiri hidangan tendon halal ni. Carian Google Maps - Tendon Ginza Itsuki (TokÅ·u Plaza). Harga set tendon bermula dari 1,350 yen.

*

Selesai mengisi perut, kami menaiki tren ke As-Salaam Masjid Okachimachi untuk menunaikan solat jamak. Selagi ada masjid berhampiran, kami akan usahakan solat di masjid supaya dapat solat dengan lebih selesa.

Sebaik keluar dari Naka-Okachimachi Station yang terletak di bawah tanah (underground), kami singgah di vending machine membeli minuman panas bagi menghangatkan badan. Dari hari ke hari, udara di Tokyo semakin bertambah sejuk. Kalau dapat minuman panas tu memang sangat melegakan.

Kopi Georgia berharga 110 yen (lebih kurang RM3.20). Macam biasa, sebelum beli saya semak status halal di aplikasi Halal Japan. Tak boleh beli sebarangan ya.

Kami habiskan minum, lepas tu barulah sambung jalan kaki ke masjid. Budaya Jepun mereka tak makan atau minum sambil berjalan kerana dianggap tidak sopan, tidak menghormati makanan dan untuk mengelakkan kekotoran (disebabkan makanan/minuman tumpah). Nampaknya budaya Jepun tak lari jauh daripada adab di dalam Islam iaitu makan dan minum perlu dalam keadaan duduk tertib.

Sebelum sampai masjid, ternampak pula tiang tinggi berwarna merah tertera tulisan ‘fire hydrant’. Bagus ada tiang tinggi begini, mudah dilihat apabila diperlukan. Sebenarnya, banyak lagi hal-hal kecil yang bagus di Jepun, tapi cuma sedikit yang mampu saya catatkan di blog.

Selesai menunaikan solat, kami kembali meneruskan aktiviti. Masih lagi dengan aktiviti shopping, tetapi kali ini kami pergi ke tempat yang kurang sibuk. Kami naik tren ke Kita City - sebuah bandar yang terletak di bahagian utara Tokyo.







34 comments:

  1. Sy pun baru tahu tendon tu makanan Jepun berasaskan nasi. Tq info ye PU...

    Nampak gaya tak dapatlah nak makan santai² mcm dekat tempat kita ni ye.. Ramai yg beratur tunggu turn mmg tak selesa nak berlama² kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Untung kita ni, makan boleh borak santai duduk lama-lama. Ruang makan luas.

      Delete
  2. Baca tajuk, saya sa gja tendon bahagian urat kenyal otot pada kaki lembu. Rupanya lain maksudnya. Terima kasih kongsi ilmu dari negara matahari terbit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun fikir gitu, tapi sebab ni di negara Jepun, terus fikir tendon tu mungkin nama kedai. Rupa-rupanya…

      Delete
  3. Kita ingatkan Ujie makan gulai urat tendon, dalam hati fikir sama pulak sebutannya dengan melayu, rupanya salah sangka la. Matilah kita kalau pergi Jepun dengan PI sebab dia tahu makan nasi campur takpun nasi beriani jer.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gulai urat tendon ya 😆

      Kalau SK dan PI ke Jepun, kena rajin memasak sendirilah jawabnya. Duduk homestay ada dapur boleh masak-masak.

      Delete
  4. Memang nampak besar hidangannya , nampak menarik yang di goreng tu kak. Jepun suka makan dengan sos kicap je kan. Kalau kita memang kalau tak pedas tak puas gitu kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak ni tak tau pulak yang menu tendon ni cuma ada sos kicap. Kalau tau, boleh terus add on order sos pedas tu.

      Delete
  5. Tak tahan melihat foto Tendon dengan tempura udang, ayam, telur rebus dan sayuran, Mbak. Sedap sekali masakan ini ya Mbak?
    Sayang sekali tidak ada resto Jepang di kota saya...

    Salam,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah…sesuai selera kita yang sudah biasa makan nasi dan gorengan.

      Delete
  6. ehhh ana duk ingatkan tendon yg slalu tu rupanya ternyata berbeza hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Heheh…perkataan macam sama tapi maksud berbeza.

      Delete
  7. Saya pun ingat tendon tu, bahagian dalam daging lembu. Penuh lauk dalam mangkuknya. Nasi dia, macam nasi orang korea la ye, agak melekit, jadi boleh makan guna chopstick. Sedap tak, kopi yang Ujie beli tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haa…betul Tot. Katanya gitulah - nasi melekit supaya mudah makan dengan chopstick. Tapi kami makan dengan sudu 😄

      Kopi sedap! Siap beli bawak balik 😀

      Delete
  8. Sedapnya tendon. Kami tak jumpa dan tak makan sewaktu di Jepun. Agak jauh kedainya. Betul kan Ujie, minuman pun kita scan samada halal atau tak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah…ada apps yang memudahkan scan check status halal. Kalau nak belek tulisan Jepun tu ambil masa pulak.

      Delete
  9. Saya ingatkan tendon haiwan, rupanya makananan berasaskan nasi dan dihidangkan bersama tempura. Mujurlah jumpa kedainya dan tak menunggu lama. Mostly kedai di sana order guna mesin. Agak susah jugalah kalau banyak menggunakan bahasa mereka. Dapat jugalah Kak Ujie ambil gambar pada posisi yang lebih selesa. kalau saya, sebelah strangers memang tak selesa. Lelaki pulak tu kan. Tempura tanpa rasa berminyak tu dah bagus. Saya pun suka. Jenis banyak minyak boleh jadi pening juga selepas makan. Banyak lagi budaya Jepun yang bagus. Kebanyakkannya bagus dan boleh di ikuti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah, jadi rasa kurang selesa nak makan. Dahlah makanan tu kita tak pernah makan. Segan jugak kalau salah cara 😅

      Iya, banyak budaya mereka yang patut kita ikut.

      Delete
  10. Amazing blog..terbaik blog

    ReplyDelete
  11. saya duk bayang tendon tu urat keting lembu kak...rupanya lain benar haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ramai yang tertipu dengan perkataan tendon tu 😂

      Delete
  12. Chawanmushi itu diberi percuma eh? Memang penuh tempura tidak nampak nasinya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Chawanmushi tu dah termasuk dalam set hidangan. Kira bukan percumalah.
      Saya makan tempura je pun dah kenyang, itu yang susah nak habiskan nasi 😄

      Delete
  13. Tak dpt memotret gmbr dgn baik? tu ok jer hahhaa..
    Alhamdulillah jumpa kedai halal.. org ramai yg memenuhi tu org tempatan atau pelancong beragam islam? sedap nya meah dgn kepelbagaian dlm satu mangkuk huhuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ambil gambar tendon tu sebarangan je, asal ada. Agak kurang puas hati 😄
      Ramai pelancong Islam - bertudung. Orang Malaysia pun ada.

      Delete
  14. dekat jepun walaupun sekecil-kecil perkara memang diorang akan dititik beratkan.. tak sangka makan minum berdiri dianggap tidak sopan disana.. betul la kak ujie ckp, tekak melayu ni kalau makan benda bergoreng mesti kena cicah benda pedas. haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, diaorang fikir sangat detail. Kagum sangat.
      Bukan makan minum berdiri, tapi makan minum sambil berjalan yang dianggap tak sopan. Mungkin sebab tu jalanan bersih je tak ada tumpahan makanan minuman.
      Heheh..iya, rasa kurang puas makan tempura dengan sos kicap 😅

      Delete
  15. kedai makan kat jepun memang sempit2 kan, rasa serbasalah nak makan lama2 sebab ramai lagi yg berdiri kat luar tu huhu
    tendon ni nampak macam sikit je sebab hidangan dia dalam mangkuk, bila sampai rupa-rupanya jenuh nak habiskan. nampak penuh isi tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah, makan kena cepat tak boleh santai-santai macam kat negara kita 😄
      Betul, akak pun terkejut masa hidangan sampai. Besar saiz hidangannya.

      Delete
  16. Tendon terus teringat subject sains…tisu penghubung ke otot

    ReplyDelete
    Replies
    1. 😂 sama pulak kan perkataan Melayu dan Jepun.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****