Sejak bulan Januari lalu, Encik Suami letak beberapa pokok Keladi Bunting dalam kolam ikan puyu. Kami panggil kolam walaupun sebenarnya ia cuma tong hitam (poly tank) bersaiz sederhana. Ikan puyu tu pula, Encik Suami cuma suka membela sebagai hobi tapi tak makan pun - ada kisahnya (semasa zaman kanak-kanak) yang membuatkan Encik Suami tak makan spesis ikan air tawar sehingga hari ini ๐
Pada mulanya, pembiakan pokok Keladi Bunting nampak perlahan. Pertumbuhannya juga nampak kurang baik - daunnya kecil dan tak pernah mengeluarkan bunga. Ketika itu, Perlis mengalami musim panas dan kemarau yang berlarutan berbulan lamanya sejak Disember 2025. Boleh rujuk entri INI.
Mulai bulan ini, musim hujan pula melanda. Sejak minggu lepas, setiap hari hujan membasahi bumi - kadang lebat, kadang gerimis. Langit mendung, jarang saya dapat melihat cahaya matahari terik. Kesannya, rumput yang dulu kuning kering dengan cepat kembali tinggi menghijau dan pokok-pokok kembali segar.
Pokok Keladi Bunting juga mula membiak dengan pantas.
Sekejap saja Keladi Bunting sudah memenuhi permukaan kolam. Daun pokok juga jadi lebih lebar, besar dan nampak segar. Bunga cantik pun muncul.
Rupa-rupanya, ada perbezaan pada pokok spesis tumbuhan air apabila cuaca panas kering (musim kemarau) dengan cuaca panas lembab (musim hujan).
Masya Allah cantik! Terapi mata dan jiwa.
Bunganya berwarna ungu lembut dengan satu kelopak mempunyai tompokan warna kuning dan ungu kebiruan. Bunga cantik ini mempunyai jangka hayat singkat - ia mekar cuma satu hari.
Info ringkas pokok Keladi Bunting :
- Nama inggeris - water hyacinth.
- Nama saintifik - eichhornia crassipes.
- Tumbuhan air yang berasal dari Amerika Syarikat, khususnya dari lembangan Sungai Amazon.
- Sangat pantas membiak menutupi permukaan air - boleh menjejaskan oksigen dalam air dan menghalang sinar matahari.
- Bunganya yang cantik sesuai sebagai tumbuhan hiasan taman, tetapi mendatangkan masalah jika pembiakannya tidak terkawal seperti di tasik dan sungai.
Oleh kerana pokok Keladi Bunting membiak dengan cepat pada musim panas lembab, maka keraplah Encik Suami keluarkan sebahagian pokok supaya ia tidak menutupi permukaan kolam. Sesekali ada juga jiran datang ambil untuk beri makan ikan puyu yang dibelanya. Entah kenapa, ikan puyu kami tak mahu pula makan pokok Keladi Bunting ni.



creative nya. akak dulu2. dulu2 la. mmg sangat suka bermain air dgn bunga2 ni.
ReplyDelete