Thursday 10 March 2022

Seperti Air Yang Mengalir

 
Seperti Air Yang Mengalir
Judul : SEPERTI AIR YANG MENGALIR
Penulis : Pahrol Mohamad Juoi
Penerbit : JT Books
Tahun terbit : Cetakan pertama 2022
Jumlah halaman : 226

Seperti Air yang Mengalir, membaca judul buku ini saja sudah cukup menerbitkan rasa tenang di hati saya. Kulit buku berwarna biru dengan gambar sehelai daun seakan berbentuk hati yang sedang terapung di aliran air, saya kira ia cukup memberi gambaran berkenaan isi kandungan naskhah ini. Ia naskhah tentang mendidik hati, juga motivasi buat diri.

Seperti Air yang Mengalir membawa kisah-kisah masa lalu penulis yang mengandungi iktibar dan juga catatan-catatan bagi mendidik hati. Bagi yang sudah biasa mengikuti penulisan Ustaz Pahrol tentu tahu bagaimana susunan bahasa yang digunakan - lembut, indah dan sedap dibaca. Namun isinya tidaklah yang indah-indah, kerana banyak yang menyentap jiwa saya.

Antara kisah yang menarik - Ayah, Aku Rindu Marahmu! Satu kisah yang cukup menarik tentang ayah penulis. Indah sungguh takdir Allah! Apa yang menariknya? Kenalah baca buku ini. Memetik kata-kata penulis dalam kisah ini, “…modal mendidik dan memimpin itu bukan kerana banyak ilmu, tetapi limpahan kasih-sayang.” - halaman 10.

Juga secebis catatan pengalaman penulis sewaktu dalam tahanan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak yang dilihat daripada sudut tarbiah dan ibrahnya. Menurut penulis, “…hakikatnya “penjara hati” adalah lebih sempit daripada mana-mana penjara di dunia. Sudah berapa ramai orang bebas dan merdeka membunuh diri berbanding banduan yang meringkuk di penjara?” - halaman 59. Ia juga mengingatkan kepada kita bahawa dalam setiap masalah yang di hadapi, kembalikanlah jiwa kita kepada Tuhan dan kuatkan pergantungan kepada-Nya.


Seperti Air Yang Mengalir

Antara petikan/isi menarik buku sebagai panduan hidup kita :
  1. Manusia tidak dapat lari daripada ketentuan Tuhan. Kita hanya memiliki keupayaan tadbir untuk menerima takdir. Namun di sebalik setiap takdir, pasti ada hikmahnya. Apabila kita tekad mencari hikmah daripada sesuatu yang berlaku, kita tidak akan terlalu terseksa dalam menerima sesuatu yang buruk. - halaman 56
  2. Jangan bimbang jika engkau tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika dirimu benar-benar tidak berharga. - halaman 75
  3. Ujian yang sama, tetapi menimpa dua orang yang berbeza akan memberi impak yang berbeza. Ini akan bergantung kepada keyakinan kepada Allah SWT dan hari akhirat dalam diri dua orang tersebut. Sebenarnya, apa yang berlaku di dalam diri seseorang lebih penting berbanding dengan apa yang berlaku di luar dirinya. - halaman 80
  4. Jika kita menunggu untuk menjadi baik sebelum menyeru kepada kebaikan, maka tidak akan ada kebaikan dan manusia yang baik di dunia ini. Selagi kita bernama manusia, selagi itulah kita akan terjebak dengan kemaksiatan dan dosa. - halaman 94
  5. Percayalah, memaafkan orang lain akan memberi banyak manfaat buat kita sendiri berbanding dengan orang yang kita maafkan. Sebaliknya, tanpa memberi maaf, mudaratnya akan lebih besar buat kita. - halaman 100
  6. Marilah kita mulakan solat dengan beranggapan bahawa itu ialah solat kita yang terakhir. Jika rasa itu dapat kita sematkan di dalam hati, insya-Allah solat itu akan kita laksanakan dengan sehabis baik. Kita akan berusaha untuk memahami makna bacaan dan menghayati pengajaran serta iktibar daripada ayat-ayat al-Quran, tasbih, takbir dan tahmid yang kita ucapkan. Kita nikmati rasa kebesaran dan keagungan Allah SWT ketika sujud dan rukuk. - halaman 106
  7. Tindakan kita untuk menghadapi ketakutan dalam hidup akan memutuskan rantai-rantai yang membelenggu kemajuan kita dalam penjara ketakutan itu. Putuskan rantai itu dengan bertindak supaya ketakutan yang sama tidak akan kita hadapi berulang-ulang dalam episod demi episod hidup yang terus mendatang. - halaman 226
Seperti Air yang Mengalir, bacaan yang sangat baik buat kita semua bagi mendidik hati juga sebagai satu panduan dan motivasi dalam meniti kehidupan. Naskhah ini juga sesuai buat para remaja. Terdapat beberapa bab khusus untuk mereka, antaranya Belajar dari Sekolah Kesilapan dan Carilah Teladan Bukan Idola.




* insya Allah buku ini akan menjadi salah satu judul buku pilihan yang akan saya berikan secara percuma kepada seorang sahabat blogger. Bagi yang berminat, nantikan entri berkenaannya insya Allah pada minggu hadapan.


12 comments:

  1. suka tulisan Ustaz Pahrol...ibarat hati disiram air sejuk..tenang & menenangkan..

    ReplyDelete
  2. Tentu banyak pengajaran yang kita dapat selepas membaca buku ini

    ReplyDelete
  3. macam sedih je kisah2 dalam ni...confirm best ni

    ReplyDelete
  4. Tulisan Ustaz Pahrol sentiasa menyentuh hati. Baru baca tajuk pun saya dah tertarik. Inikan pula bila baca antara petikan yang Ujie senaraikan tu. Terbaik! Tak sabar nak tunggu next entry.

    ReplyDelete
  5. Saya suka yang nombor 4. Ini selalu terngiang-ngiang dalam hati untuk ingatkan manusia tentang kebaikan, dakwah.
    Tidak sabar tunggu minggu depan.

    ReplyDelete
  6. tiba-tiba teringat masa akak pernah hadiahkan saya buku dulu.. 2011 tak silap saya.. 😁

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ingat lagi ya..hihi
      Masa tu akak dapat banyak novel hadiah masuk peraduan di tv.

      Delete
  7. Nampaknya banyak pengajaran dr buku ni. Selamat membaca kak

    ReplyDelete
  8. Boleh bayang ustaz Pahrol sedang narate poin 1-7 tu. Paling suka no 4. No 5 tu saya akui susah nak buat

    ReplyDelete
  9. Saya pernah ikuti ceramah beliau dalam Penulisan Ramadan 2021 secara google meet.
    Tenang saja orangnya.

    ReplyDelete
  10. Banyak pengajarannya. Tajuknya mendamaikan, saya bayangkan rezeki bagai air yang mengalir.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****