Wednesday, 2 February 2022

Taman Tasik Taiping - Tempat Riadah Seisi Keluarga Yang Indah Mempesona!

AHAD | 23.01.2022

Selepas bersarapan pagi di sini, saya dan suami berkeliling dengan kereta untuk melihat-lihat sekitar bandar Taiping. Taiping dikenali sebagai Bandar Warisan kerana menyimpan banyak warisan sejarah di sini, antaranya muzium, penjara dan landasan keretapi pertama di Malaysia.

Terpesona saya memerhati begitu banyak bangunan-bangunan lama yang masih digunakan, juga pohon-pohon besar di sekitar bandar ini. Suasana terasa berbeza berbanding tempat lain, seperti berada di zaman lalu. Saya juga merasa satu ketenangan melihat suasana dan kehidupan di sini. Selayaknya bandar Taiping dinobatkan sebagai ‘Bandar Paling Bahagia Tahun 2019’.


Taman Tasik Taiping
Kami seterusnya ke Taman Tasik Taiping - taman awam bekas lombong bijih timah yang berkeluasan 160 ekar dan telah berusia lebih 130 tahun. Fakta yang menarik dan sememangnya Taman Tasik Taiping sangat menarik!

Jom kita jalan-jalan tengok apa yang menarik di sini…

Taman Tasik Taiping
Taman permainan yang meriah dengan pengunjung. Suasana dan pemandangan yang indah! Kami parkir kereta tak jauh dari kawasan ni. Kalau jalan depan lagi, ada kemudahan tandas dan para penjual makanan ringan.

Kita juga boleh sewa bot, saya lihat ada beberapa pilihan jenis bot. Menarik sungguh bot angsa tu kan.

Bunga teratai berwarna pink menghiasi tasik dan kolam di sini. Cantik cerah sangat warnanya jika dilihat secara dekat.

Kami kemudiannya memilih satu sudut yang agak terasing dari orang ramai dan menghadap kawasan bersebelahan Zoo Taiping (sesekali terdengar bunyi haiwan dari zoo, entah bunyi gajah atau haiwan apa). Tujuannya nak membuat pemerhatian fauna yang ada dengan menggunakan binokular. Kena memerhati dalam keadaan senyap, kami berbual pun secara bisik-bisik je tau.

Hasilnya? Sungguh mengujakan! Kami dapat memerhatikan seekor kura-kura yang sedang berehat di hujung batang pokok yang tenggelam di dalam air. Juga seekor Burung Hantu Carik Kafan. Eh…lepas tu baru perasan ada beberapa ekor lagi burung yang sama spesis di sekitarnya. Ini percubaan pertama saya ambil gambar menerusi lensa binokular, tak berapa pandai jadi tak jelas. Tapi sebenarnya apa yang saya lihat menerusi binokular adalah lebih jelas. Cantik tau Burung Hantu Carik Kafan ni bila dilihat secara dekat.

Landskap yang indah dan menenangkan jiwa. Ni antara laluan yang agak lengang. Mungkin sebab kedudukannya agak jauh dari jalan utama. Dengan suasana tenang begini, dapatlah kami memerhatikan ikan-ikan berenang di air dan burung berwarna putih kelabu yang cantik di sini.

Ada pokok Cannonball juga di sini. Pertama kali kami lihat pokok ni semasa melawat Taman Pertanian Sabah di Tenom. Bezanya pokok Cannonball di Taman Tasik Taiping ni kecil dan tak banyak buah.

Ada cerita sikit sewaktu di sini, kami terserempak dengan sekumpulan remaja Melayu. Saya nampak seorang daripada mereka sedang menghisap rokok (saya anggarkan usianya sekitar 13 - 15 tahun). Saya pandang anak itu dengan senyuman, sambil menggelengkan kepala dan membuat isyarat gerakan jari tanda melarang perbuatannya. Dia membalas senyuman saya. Itu saja yang mampu saya buat, menegur tanpa marah. Saya doakan moga anak itu nantinya berhenti merokok. Nampaknya taman awam yang luas begini membuka peluang untuk remaja bebas merokok. Sedih sekejap saya memikirkan anak bangsa.

Taman Tasik Taiping
Pokok hujan-hujan di Raintree Walk yang dipasang dengan besi penyokong sebagai langkah memelihara dan memulihara. Semoga pokok ikonik ini mampu bertahan hidup. Seronok dapat berjalan di bawah teduhan pokok-pokok ni.

Tak begitu jauh dari pokok tadi, ada tempat sewaan basikal. Boleh pilih basikal untuk seorang, dua orang dan tiga orang (2 dewasa, 1 kanak-kanak).

Taman Tasik Taiping
Antara sudut menarik di taman awam ini. Maha Suci Allah yang menjadikan keindahan alam.

Taman Tasik Taiping
Memerhatikan keindahan alam menghadirkan rasa tenang dan syukur atas nikmat Allah.

Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam 30 minit berjalan-jalan di taman ini dengan rekod jarak sejauh 2.4 km. Itu pun kami tak lalu semua tempat. Memang sangat luas dan puas berjalan di sini sambil menikmati keindahan landskap dan memerhatikan kepelbagaian flora dan fauna.

Taman Tasik Taiping, taman awam yang menawarkan pelbagai aktiviti riadah untuk seisi keluarga. Taman yang dijaga rapi dan sangat indah mempesona! Untung sungguh jadi penduduk Taiping ni kan.






.

18 comments:

  1. maju dah taman tasik taiping.dulu macam xde ape2 aktiviti..dekat situ ada zoo taiping kn kak uji..smlm 1/2 adik2 sy ke sane.. g zoo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, memang sebelah je dengan zoo. Siap dengar bunyi binatang zoo dari taman ni.

      Delete
  2. Tempat best untuk lepak dengan family, sekarang ada jalan yang dah ditutup jadi lebih mesra pengujung nak berjalan-jalan.

    ReplyDelete
  3. Taman tasik taiping memang tempat yg sangat tenang bila disekeliling penuh dengan kehijauan alam . Minda relex je

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..luas pulak tu. Terasa lapang fikiran.

      Delete
  4. Macam mana Puan Ujie nama pokok itu ya? Unik nama.
    Boleh ulang lagi jalan ke sini nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. NA tanya macam mana tau nama pokok Cannonball ya? Tau semasa ke Taman Pertanian Sabah, tour guide bagitau.

      Delete
  5. nampak tenang dan nyaman tempat ni. kalau jalan-jalan waktu petang lepas hujan mesti rasa syahdu menikmati keindahan ciptaan alam. Alahai sayangnyalah anak muda merosakkan badan sendiri

    ReplyDelete
  6. cantik nya pemandangan dan persekitaran dekat taman tasik taiping ni kak... patut la selalu drama buat dekat sini

    ReplyDelete
  7. kehijauan yg nyaman.
    👍👍

    ReplyDelete
  8. Ini taman paling lejen di malaya!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang pertama..memang lejen.
      Dan rasanya yang paling mempesona.

      Delete
  9. Cantik dan menarik Taman Tasik Taiping ni. Banyak aktiviti dan banyak tarikannya. Bagus terjaga tamannya. Suka tengok laluan berliku tengah tasik tu. Rasa risau pulak nak lalu. Jenis fobia dengan air ni payah. huhu...

    ReplyDelete
  10. saya berharap suatu hari nanti boleh juga jejak kaki ke Taiping...cuti-cuti Malaysia katakan

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****