Showing posts with label Tanam Sendiri. Show all posts
Showing posts with label Tanam Sendiri. Show all posts

Wednesday, 8 July 2026

Eksperimen Potong Daun Rain Lily : Hasilnya Sangat Puas Hati!

Dalam entri Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat! saya ceritakan berkenaan rain lily berbunga lebat setelah hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat saya. Selepas itu, ia hanya berbunga sedikit saja sekitar beberapa kuntum pada satu masa. 

Hasil carian internet mendapati - antara cara supaya rain lily berbunga lebat adalah dengan memotong atau memangkas daunnya. Betulkah? Jomlah kita buat eksperimen.

Rain Lily
11 Jun 2026 | Beginilah rupa tanaman rain lily saya - rimbun daunnya. Kalau tak kenal rain lily, sekali pandang macam daun kucai.

Rain Lily
Jomlah kita potong daun yang rimbun. Saya potong tak terlalu pendek, agak-agak jelah. Tujuan kita potong daun supaya merangsang pengeluaran bunga yang lebat.

Selepas itu buat penjagaan macam biasa - siraman yang banyak seperti curahan hujan dan sesekali letak baja. Selain itu - cahaya matahari penuh diperlukan bagi pokok mengeluarkan bunga.

Hasilnya…

Rain Lily
7 Julai 2026 | Alhamdulillah…rain lily berbunga lebat! Sebenarnya, sejak hari sebelumnya ia sudah mulai berbunga tetapi masih ada bunga yang belum kembang. Foto saya ambil setelah semua bunga berkembang.

Rain Lily
Perhatikan warna bunga - warna pink pekat adalah bunga yang baru berkembang, manakala warna pink cair kembang lebih awal. Warna pink pada bunga akan semakin memudar sebelum bunganya layu dan kering.

Jadinya, berapa lama masa diambil bermula potong daun sehingga bunganya berkembang? Hasil eksperimen saya - proses ini mengambil masa sekitar 25 hari. Agak lama juga, tapi ia usaha yang berbaloi kerana kita dapat menyaksikan rain lily berbunga secara serentak - lebih cantik dipandang mata.







Sunday, 21 June 2026

Bunga Ros Oren Diserang Ulat

Ini merupakan pengalaman pertama saya tanam pokok bunga ros di halaman rumah. Pokoknya saya beli di sebuah nurseri pokok di Sungai Petani, Kedah pada bulan Januari lalu. Kata penjual, ia pokok ros jenis tahan panas - sesuailah dengan cuaca di utara tanah air.

Bawa ke rumah Perlis, saya letak di tempat yang terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari pagi dan petang. Selepas bunga sedia ada mulai kering dan dicantas, tiada bunga baru yang muncul. Panas sangat agaknya, masa tu Perlis sedang mengalami musim panas kering - kemarau tanpa curahan hujan. Jadi Encik Suami alihkan pasunya ke tempat yang sedikit teduh - masih kena matahari pagi.

Alhamdulillah pada bulan Mac, pokok ros ini kembali berbunga! Bunganya sentiasa ada. Kadang muncul dua kuntum, kadang meriah sehingga empat kuntum sekali berbunga. Senang hati sungguh saya setiap kali membelek bunga di laman.

Bunga ros oren
Bunga ros dengan warna oren terang.

Bunga ros oren
Wangi baunya! Terapi mata dan jiwa saya.
.
.
.
.
.
Tapi sayang, semua keindahan ini tak kekal lama. Beberapa hari lalu, saya dapati bunga ros telah diserang ulat! Kelopak bunga ros yang baru mula berkembang sudah pun berlubang dan ada ulat.

Bunga Ros Oren Diserang Ulat
Berlubang kelopak bunga ros yang cantik ni dikerjakan dek ulat. Sekuntum bunga yang belum berkembang juga nampaknya sudah berlubang tanda sudah diserang ulat.

Tindakan saya - cantas dahan pokok bunga yang sudah diserang ulat dan sembur racun. Saya gunakan racun organik Mr Ganick Dr Neem. Harapnya usaha saya ni berkesan, moga kuntuman bunga ros seterusnya mekar cantik bebas serangan ulat.

Kalian ada pengalaman serupa? Bolehlah kongsikan dengan saya cara mengatasi masalah begini.







Monday, 6 April 2026

Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat!

Sebelum ini saya tanam pokok rain lily id Rosea Pink dalam pasu kecil. Jadinya bila berbunga tidaklah nampak meriah - setakat beberapa kuntum je. Beberapa bulan lepas, saya minta Encik Suami pindahkan semuanya tanam dalam bekas lebih besar dan letak di sudut laluan menuju ke rumah.

Sesekali saya letak baja, kerja menyiram pula dilakukan secara bersama - kadang saya siram, kadang Encik Suami.

Lama-kelamaan pokok rain lily membiak memenuhi bekas tanaman, tapi masih tak berbunga. Sehinggalah turun hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat kami, beberapa hari selepas itu muncul kudup bunga.

Kelmarin 4 April, bunga rain lily Rosea Pink sudah pun berkembang sepenuhnya. Seronok sungguh tengok rain lily berbunga lebat! Hati saya ikut berbunga-bunga setiap kali memandang luar rumah nampak bunga pink.

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Alhamdulillah. Terima kasih Allah 🥰







Friday, 13 February 2026

Tuaian Pertama Pokok Terung Panjang Ungu

Saya sebenarnya tak tahu bila terung sesuai dituai. Maklumlah, ini merupakan pengalaman pertama saya menanam pokok terung. Hasil membuat carian info di internet, akhirnya kelmarin (Rabu, 11 Februari) barulah saya menuai buah sulung pokok terung panjang ungu.

Tuaian pertama terung panjang ungu
Terung boleh dituai apabila mencapai saiz bersesuaian dan warna putih di bahagian atas (pangkal) berkurangan. Oleh kerana saya tak pasti bila pokok terung ni mula berbuah (keluar buah ketika saya tinggalkan rumah beberapa hari), jadi saya tak dapat mengira dengan tepat tuaian saya ni pada hari ke berapa selepas ia berbuah. Saya anggarkan sekitar 12 hari.

Dua biji terung tuaian pertama dari dua batang pokok terung saya ni kelihatan kurang cantik sebab ada macam karat pada kulit buah. Carian mendapati ia berpunca dari serangan penyakit. Saya perhatikan memang ada beberapa jenis serangga berumah di pokok terung ni. Nampaknya saya kena lebih rajin buat semburan racun organik. Setakat ni saya guna Mr Ganick Dr Neem keluaran Baba.

Hasil terung pertama saya buat masak terung balado / berlada. Sedap betul dapat makan terung lembut dan hampir tiada biji 😊

Alhamdulillah. Terima kasih Allah 💙







Thursday, 5 February 2026

Pokok Terung Berbuah Sulung

Kejutan selepas pulang dari kampung halaman di Johor - pokok terung saya mengeluarkan buah pertama! Saya sangkakan tak menjadi, sebab sebelum balik kampung (hari Jumaat) saya belek bunga terung macam layu kering. Jadinya saya tak menaruh harapan tinggi.

Sepanjang tiada di rumah, saya minta jiran tolong siramkan pokok sehari dua kali. Sekarang ni tempat saya sedang dilanda kemarau dan cuaca panas - masih belum ada hujan turun pada tahun ini, sebab tu saya perlu pastikan pokok disiram air secukupnya.

Sampai rumah hari Isnin sudah pun lewat malam, memang tak belek pokoklah. Esoknya Selasa awal pagi kami keluar seharian selesaikan urusan di Sungai Petani, tak sempat belek pokok. Hari Rabu (semalam) barulah saya sempat siram sendiri pokok. Terkejut saya bila nampak buah terung dah pun besar!

Foto bertarikh 5 Februari 2026.
Entah bila masa pokok ini mula berbuah. Saya tinggalkan selama lima hari, memang terkejutlah bila tengok buah dah pun besar. Saya tanam dua pokok dalam satu bekas tanaman, Alhamdulillah setiap pokok berjaya menghasilkan buah terung sulung.

Bahagia sungguh dapat pegang terung hasil pertama kali tanam sendiri.
Terima kasih Allah 💙


Untuk rekod :
2 November 2025 - semai benih terung.
19 Januari 2026 - muncul tunas bunga terung pertama.
Sekitar hujung Januari sehingga awal Februari 2026 - muncul buah pertama!

Oh ya, saya tanam ni jenis terung panjang. Biji benih jenama Baba.







Friday, 23 January 2026

بوڠا تروڠ

Boleh baca tajuk entri dalam tulisan Jawi di atas? Saya buat tajuk tulisan Jawi supaya bolehlah kita sama-sama belajar menulis dan membaca tulisan Jawi walaupun cuma dua patah perkataan. Bila dah lama tinggalkan alam persekolahan, maka penguasaan tulisan Jawi yang merupakan identiti bangsa Melayu kian menghilang.

Berbalik kepada tajuk entri. Pada 2 November 2025, Encik Suami semai empat biji benih pokok terung. Hasilnya, hanya dua biji benih saja tumbuh dan membesar. Bab penjagaan pokok pula menjadi tugas saya - siram, baja dan semburan racun serangga organik.

Bunga terung
19 Januari 2026 - kemunculan tunas bunga terung yang pertama. Alhamdulillah! Seronok dan teruja walau cuma tunas bunga je, bukan buahnya pun. Maklumlah, ini merupakan pengalaman pertama saya menanam pokok terung 😄

Encik Suami kata, sebaik saja keluar bunga kita kena buang daun besar di bahagian bawah pokok - bertujuan supaya nutrisi fokus kepada buah. 

Bunga terung
Esoknya, muncul sekuntum bunga berwarna ungu. Cantik!

Bunga terung
Kuntum bunga terung yang menjadi harapan - moga tak gugur dan jadi buah terung pertama.

Bunga terung
23 Januari 2026 - Alhamdulillah muncul lebih banyak bunga terung di kedua-dua pokok. Saya tak asingkan pokok yang tumbuh selepas disemai, jadinya ada dua pokok terung dalam satu bekas tanaman. Kalau dapat asingkan lebih bagus - supaya cukup ruang dan nutrisi bagi setiap pokok.

Pokok terung
Beginilah rupa pokok terung saya. Rakaman foto pagi tadi.

Semoga Allah kurniakan rezeki untuk saya merasa terung tanam sendiri. Saya tanam terung bukanlah sebab nak berjimat sangat (ahli keluarga cuma berdua), tapi lebih kepada nak mengisi hidup dengan pengalaman baharu dan kepuasan menikmati hasil tanam sendiri.

Ada yang pernah tanam pokok terung? Mudah saja atau susah keluar hasilnya ya?







Friday, 31 October 2025

Tuaian Kangkung Pada Hari Ke-26

Rentetan entri Tanam Kangkung dari Biji Benih, pagi tadi saya dah pun menuai sebahagian hasil tanaman pokok kangkung selepas 26 hari semaian. Kalau ikut maklumat yang tertera pada peket biji benih, kangkung mencapai tahap matang (sesuai dituai) selepas 30 hari semaian.

Kangkung
Hasil tanaman pokok kangkung selepas 26 hari semaian. Jadi agak padat, ada pokok yang dah besar dan ada juga yang lambat membesar. Tak sekata. 

Sebelum Tuan Penasihat pergi kerja awal pagi tadi, sempat berpesan pada saya supaya tuai pokok kangkung yang dah besar. Turut dipesan supaya cabut terus sepokok, boleh longgarkan sedikit bekas tanaman dan beri laluan kepada pokok lain untuk membesar.

Ikut perancangan saya, tuaian seterusnya akan guna teknik potong batang pokok. Saya nak tengok sendiri macam mana hasil pokok kangkung yang telah dipotong. Boleh besar elok macam mula-mula tanam atau jadi lebih kecil?

Hasil Tuaian Kangkung Pada Hari Ke-26
Hasil tuaian. Tak banyak mana pun.

Kangkung Goreng Belacan
Tengah hari tadi, dapatlah saya menikmati kangkung goreng belacan hasil tanam sendiri 😊

Batang pokok kangkung ni lembut, jadinya tak banyak yang perlu saya buang. Alhamdulillah seronok rasanya dapat makan sayur segar - lepas tuai, terus bawa ke dapur untuk dimasak. Hasilnya mungkin tak seberapa tapi ia memberi rasa bahagia. Terima kasih Allah 💙







Thursday, 23 October 2025

Tanam Kangkung dari Biji Benih

Percubaan pertama saya menanam sayuran di rumah Perlis. Saya rasa ragu-ragu nak menanam pokok jenis sayuran sebab agak kerap juga saya tiada di rumah. Pokok jenis sayuran kalau tak disiram berhari-hari memang tipis peluang untuk hidup membesar. Tapi kali ini saya nekad mencuba dan sediakan solusi penyiraman pokok.

Beli biji benih di kedai Shopee - Baba Official Store. RM6.45 / peket.

Tarikh semai biji benih - 5 Oktober 2025.
Saya semai biji benih terus dalam bekas tanaman - saya gunakan kotak putih polistirena (polystyrene) . Medium tanaman - peat moss. Letak dua biji benih dalam satu lubang, tanam secara berbaris. Siap tanam terus spray air, kemudian saya tutup tanaman dengan plastik hitam (selama beberapa hari saja) supaya biji benih cepat bercambah. 

Sebenarnya, saya tak tahu pun cara menyemai benih kangkung. Proses menyemai biji benih dibantu oleh Encik Suami, saya ikut apa saja saranan Encik Suami. Tapi zaman sekarang kalau tak tahu boleh je rujuk carian internet.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
8 Oktober 2025
Selepas tiga hari semaian, benih kangkung mula bercambah. Punyalah seronok, pada hal cuma bercambah sikit je tu 😀

Tanam Kangkung dari Biji Benih
10 Oktober 2025
Dah nampak rupa kangkung selepas lima hari semaian.

15 Oktober 2025 - saya mula menggunakan automatic watering system untuk penyiraman sebab nak tinggalkan rumah dalam tempoh enam hari. Selama tiada di rumah, kadang-kala timbul rasa risau kot alat tersebut tak berfungsi dengan baik.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
21 Oktober 2025
 Alhamdulillah…anak pokok kangkung membesar dengan baik hasil siraman automatik.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
Bahagia sungguh tengok hasil tanaman membesar. Terus rasa macam petani yang berjaya. Pada hal kau tanam kangkung je 🤣

Tanam Kangkung dari Biji Benih
Hari ini - 23 Oktober 2025
Selepas 18 hari semaian, beginilah saiz daun kangkung paling besar dan lebar. Tak tahulah ini saiz yang sesuai atau tidak, setakat ini saya tak letak baja. Mak tanya pagi tadi, baru saya terfikir pasal baja 😄

Semoga pokok kangkung saya terus membesar sehingga waktu tuaian, ada rezeki dapatlah saya masak sayur kangkung hasil tanam sendiri. 

Set automatic watering system saya beli di kedai Shopee - LavicaMY. Harganya sekitar RM35 satu set, saya beli ni ada empat point dropper (tempat keluar air). Tak begitu susah nak pasang, cuma perlu sedikit kesabaran untuk fahamkan bagaimana sistemnya berfungsi.







Friday, 15 August 2025

Rain Lily Noble Gold

Pada bulan Mei lalu, saya tanam tiga jenis benih bawang (bulb) pokok rain lily Thailand hybrid. Setelah enam minggu ditanam, kuntuman pertama id Scarlet O’hara berbunga - entrinya DI SINI. Lepas sekuntum, muncul lagi sekuntum pada bawang kedua. Saya tertunggu-tunggu bila agaknya lagi dua jenis pokok rain lily akan mengeluarkan bunga pertama.

Sehinggalah dua hari lepas, saya nampak kemunculan kudup bunga pada pokok rain lily id Noble Gold. Wah! Penantian hampir tiga bulan bakal berakhir.

Kudup bunga rain lily. Foto diambil pada pagi semalam, 14 Ogos 2025.

Pukul 8 pagi tadi, 15 Ogos 2025 - kudup bunga menanti masa untuk berkembang.

Pukul 11.30 pagi - kuntuman pertama rain lily Noble Gold sudah pun berkembang cantik 😍

Bunganya berwarna kuning cerah dengan sedikit warna oren pada hujung kelopak. Semasa dibeli, benih Noble Gold ni yang paling besar saiznya di antara tiga jenis benih bawang. Hasilnya, kuntuman bunga juga lebih besar berbanding rain lily Scarlet O’hara.

Si kuning yang ceria ini tidak bersendirian, si merah terang di pasu sebelah juga sedang mekar.

Bunga rain lily Scarlet O’hara kuntuman ketiga. Warnanya agak pudar dan kelopaknya tidak begitu segar kerana bunga ini sudah pun berkembang sejak semalam.

Saiznya lebih kecil berbanding Noble Gold. Kedua-dua jenis rain lily ini mempunyai enam kelopak dan mengeluarkan bau wangi yang lembut bila dihidu dekat.

Beberapa kuntum bunga rain lily id Rosea Pink juga sedang berkembang mekar. Pokok jenis ini juga dikenali sebagai rain lily kampung, saiz bunganya lebih kecil. Kelebihan rain lily jenis ini - ia lebih mudah berbunga dan mudah membiak.

Sekarang ini saya sedang menanti pokok rain lily id Life & Joy pula berbunga. Juga berharap ketiga-tiga jenis Thailand hybrid cepat membiak supaya boleh saya pindahkan ke tempat tanaman yang lebih besar.

Rasa lebih ceria hari ini apabila dapat menikmati keindahan bunga berwarna-warni. Biarpun tak banyak tapi tetap membahagiakan. Alhamdulillah 💙







Sunday, 6 July 2025

Rain Lily Scarlet O’hara

Saya mula menanam pokok rain lily benih Thailand hybrid pada 22 Mei 2025 lalu. Entrinya DI SINI. Alhamdulillah lebih kurang sebulan selepas ditanam, semua enam biji benih bawang (bulb) rain lily berjaya hidup - keluar daun.

Rain lily Scarlet O’hara a.k.a. Zephyranthes
Pagi tadi (hari Ahad, 6 Julai 2025), salah satu pokok telah pun berbunga!

Rain lily Scarlet O’hara a.k.a. Zephyranthes
Rain lily id - Scarlet O’hara a.k.a. Zephyranthes.

Kalau tengok depan mata - nampak warna bunga ni merah oren dan bahagian tengahnya warna kuning. Memang cantik dan ceria warnanya.

Alhamdulillah…setelah enam minggu ditanam, pokok rain lily mengeluarkan bunganya yang pertama! Seronok sungguh bila pokok bunga yang ditanam berhasil keluarkan bunga. Tak sabar rasanya nak tengok bunga rain lily warna kuning dan oren pula berkembang.







Sunday, 25 May 2025

Percubaan Menanam Pokok Bunga Rain Lily - Thailand Hybrid

Baru-baru ini saya beli benih/bawang pokok rain lily dari Shopee. Beli tiga jenis/id berbeza warna :

Warna merah, kuning dan oren. Benih Thailand hybrid. Harga tertera untuk sebiji bawang, saya cuma beli dua biji bawang bagi setiap jenis.

Terasa mahal sebab saya tak pernah membeli benih rain lily. Tapi bila saya buat carian, ada jenis rain lily yang sebiji bawang berharga lebih RM100! Kenapa mahal? Sebab jenis rare dan susah nak membiak.

Bawang rain lily
Alhamdulillah…penjual siap bungkus elok begini dan letak id. Seronok tengok dan bertambah semangat nak menanam.

Id - Noble Gold. Warna bunga - kuning. Bawangnya paling besar di antara tiga jenis benih rain lily yang saya beli. Agaknya bunganya pun besarlah nanti.

Sebenarnya, penjual dah nyatakan anggaran saiz bawang bagi setiap id. Saya nak beli yang lebih kurang sama saiz bagi ketiga-tiga jenis, tapi tersilap pandang - terbeli satu jenis ni saiz besar dan lagi dua jenis saiz lebih kecil.

Id - Scarlet O'hara. Bunga warna merah.

Id - Life & Joy. Bunga warna oren.

Bawang rain lily
Berfoto kenangan sebelum ditanam. Kot laa percubaan gagal, ada jugalah foto bawang rain lily ni bukti usaha saya nak menanam pokok bunga 😄

Tarikh tanam - 22 Mei 2025
Medium tanaman - peat moss. Bekas menanam - saya gunakan botol air minuman saiz besar yang dipotong. Nanti dah tumbuh elok dan membiak, saya akan pindahkan semuanya. Saya rancang nak tanam pokok bunga rain lily bersusun di suatu sudut laman rumah.

Bunga Rain Lily
Bunga rain lily warna pink yang sedia ada di rumah saya. Id - Rosea Pink. Jenis ni mudah membiak. Ada penjual yang meletakkan harga RM1 bagi sebiji bawang.

Benih rain lily ni saya bawa dari rumah NS. Saya suka rain lily sebab ia pokok bunga jenis lasak - bila tak cukup air ia jadi kering tapi tak mati, bawangnya dalam tanah akan kembali menghasilkan daun dan bunga apabila mendapat siraman secukupnya. Walaupun dah bertahun lama saya tinggalkan rumah NS (sejak tahun 2020), bunga rain lily di laman rumah NS masih berkembang tanpa saya rawat dan siram - hanya bergantung kepada curahan hujan.

InsyaAllah moga tercapailah hasrat saya nak tengok bunga rain lily yang baru ditanam berkembang menjadi penyeri laman rumah Perlis. Dapatlah saya kumpul empat warna/id rain lily 😊







Monday, 5 April 2021

Tuaian Pertama Bayam Merah

Semasa di rumah NS dulu pernah la saya tanam bayam hijau, tapi hasilnya tak berapa menjadi. Kali ni di rumah PP, saya cuba menanam bayam merah pulak. Saya tanam guna pasu self watering yang dibawa dari rumah NS.

Biasanya orang akan semai biji benih dulu, lepas tu alih ke bekas tanaman yang lebih besar. Tapi disebabkan saya tak berapa rajin, saya terus je tabur sedikit biji benih secara berjarak. Kemudian tutup dengan medium tanaman. Saya guna medium tanaman cocopeat (sabut kelapa halus). Pasu tu saya letak di tempat yang terlindung dari cahaya matahari untuk pertumbuhan anak pokok.

Saya tanam biji benih bayam pada 25.01.2021, selepas 3 hari anak pokok bayam muncul dengan dua helai daun (lihat gambar atas kiri). Selepas beberapa hari, saya mula letak di tempat yang kena cahaya matahari. Tapi entah apa silapnya, anak pokok bayam macam terbantut tak mau membesar. Walaupun beberapa hari sekali saya tambah air dan sesekali campurkan baja. Mungkin masa tu cuaca terlampau panas dan tak sesuai letak situ.

Alhamdulillah satu hari tu saya tengok anak pokok bayam ada perubahan, membesar. Sejak tu memang setiap hari saya membelek pokok bayam ni. Seronok tengok perubahan setiap hari. Ada juga yang saya cabut dan alih ke tempat lain sebab rapat sangat, kena kurangkan persaingan. Tapi yang dialih mati pulak.

30.03.2021 - pokok bayam dah membesar. Senang hati tengok dan sayang nak tuai...hehe. Ikut kat peket biji benih tu kata, sekitar 50 hari tanam dah boleh tuai. Saya tanam ni dah lebih 60 hari. Tak kisahlah lambat membesar pun, syukur juga dapat merasa. Satu lagi pasu gini saya tanam sawi, tapi tak menjadik pun...haha.

Tapi kena tuai jugaklah kan. Saya tuai cara kerat batang pokok bayam. Dengan harapan nanti tumbuh lagi. Bab cara potong ni saya belajar dari grup Kebun Bandar di Facebook. Katanya jangan potong bawah sangat, agak-agak beberapa inci dari medium tanaman.

Inilah hasil tuaian pertama bayam merah saya. Alhamdulillah...seronok rasa menuai tanaman sendiri. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk dua orang ahli rumah ni.


BENING BAYAM MERAH
Dari balkoni, terus bawa ke dapur untuk dimasak. Sayur bayam ni saya buat masak bening je. Saya memang suka makan sayur bayam hijau atau merah dimasak begini.


Cara saya masak bening bayam :

-Siang sayur bayam dengan mengasingkan daun dan batangnya.
-Hiris bawang putih dan bawang merah.
-Bilis.

✔️Didihkan air dalam periuk ikut anggaran yang kita mahu.
✔️Dah mendidih, masukkan bawang putih, bawang merah, bilis dan bahagian batang bayam.
✔️Biar mendidih sekejap, kemudian masukkan daun bayam.
✔️Gaul dan perasakan dengan garam. Masak sekejap lagi dan bolehlah matikan api.

Masakan yang sangat ringkas dan sihat.
Semoga ada rezeki saya lagi makan bayam tuai sendiri.