Tuesday 17 March 2020

COVID-19 - Di Antara Dua Pilihan


COVID-19 - Di Antara Dua Pilihan

Kita boleh memilih untuk menjadi penyebar berita yang tak pasti.
Kita juga boleh memilih untuk menjadi penyebar berita sahih dari media yang berkredibiliti.

Kita boleh memilih untuk marah bila pendapatan kita terjejas dek wabak dari Wuhan.
Kita juga boleh memilih untuk sabar bila pendapatan kita terjejas dan percaya dengan janji Allah bahawa selepas setiap kesulitan, ada kesenangan.

Kita boleh memilih untuk menganggap COVID-19 sebagai satu senjata biologi pihak tertentu.
Kita juga boleh memilih untuk menganggap COVID-19 sebagai satu ujian Allah dek kerana kerosakkan yang kita lakukan di bumi milik-Nya ini.

Kita boleh memilih untuk percaya bahawa kita tidak mungkin terkena COVID-19.
Kita juga boleh memilih untuk percaya bahawa sesiapa sahaja berisiko untuk terkena COVID-19.

Kita boleh memilih untuk menggunakan hand sanitizer sebagai langkah pencegahan.
Kita juga boleh memilih untuk kerap membasuh tangan dengan sabun sebagai langkah pencegahan yang lebih efektif.

Kita boleh memilih untuk mementingkan diri dan membeli stok makanan yang berlebihan, sehingga tidak berbaki untuk orang lain.
Kita juga boleh memilih untuk tidak mementingkan diri dan membeli stok sekadar keperluan, kita tahu yang orang lain juga pasti memerlukannya.

Kita boleh memilih untuk merasa cemas dengan Perintah Kawalan Pergerakan tanpa mengetahui info tepat mengenainya.
Kita juga boleh memilih untuk menerima baik info Perintah Kawalan Pergerakan dan melaluinya dengan tenang.


COVID-19 sedang menyerang, kita sentiasa ada dua pilihan untuk menghadapinya. Hadapilah ia dengan ILMU, bukan dengan pemikiran yang dangkal.

-------------------------------------------------

Sewaktu catatan ini ditulis, negara kita sudah mencatatkan dua (2) kematian disebabkan oleh COVID-19. Semoga dengan adanya usaha Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok 18hb. sehingga 31hb. Mac 2020 mampu mengekang pertambahan kes.

Doa memohon perlindungan daripada mudarat dan wabak :

بسمِ اللهِ الذي لا يضُرُّ مع اسمِهِ شيءٌ في الأرضِ و لا في السماءِ ، وهُوَ السميعُ العليمُ

Ertinya : Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
(HR Abu Daud, Tirmizi)

1 comment:

  1. Semoga kita berkongsi perkara yang betul dan baik-baik sahaja..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****