Friday, 6 March 2020

Eksplorasi Hutan Taman Negara (Bahagian 1) | Canopy Walkway

...sambungan dari catatan DI SINI.

Kami bergerak dari Park Centre (HQ) pada pukul 2.17 petang. Perjalanan kami bermula melalui kawasan chalet Mutiara Taman Negara. Chalet yang hanya mampu kami tengok, tapi tak mampu nak membayar harga ratusan ringgit semalam. Kelebihan jika kita mampu menginap di sini - lokasinya yang terletak di dalam Taman Negara, dapat pengalaman indah menginap di kawasan hutan dan lebih dekat untuk melakukan aktiviti di hutan.


RENTIS TERESEK 

Perjalanan sebenar eksplorasi hutan bermula di sini, melalui Rentis Teresek. Teruja rasanya untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika antara yang tertua di dunia, yang dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun!

Laluan pejalan kaki disediakan. Insya Allah tak sesat jika kita kekal berjalan di atas pelantar pejalan kaki ini. Kasut pun tak kotor sebab tak kena tanah.

Tapi kenapa suami saya bawa bersama walking pole tu? Kerana kami merancang nak mendaki Bukit Teresek selepas menaiki Canopy Walkway. 7 tahun lalu kami pernah mendaki ke sana (sampai 1st view je) dan dah merasa seksanya memanjat anak tangga. Dulu umur 30-an, sekarang dah 40-an. Walking pole ni sangat membantu pendakian dan demi menjaga lutut.

Kami sampai di pokok besar yang selalu saya lihat dalam gambar mereka yang berkunjung ke Taman Negara. SubhanAllah! Seronok sangat bila hari ini saya dapat melihatnya sendiri di hadapan mata! Semasa kunjungan pertama dulu, kami tak melalui Rentis Teresek sebab tu tak jumpa pokok besar ni.

Rupa bahagian atas pokok. Pokok besar dan tinggi ini adalah pokok Mengkundur. Nama saintifiknya Tetrameles Nudiflora.

Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di persimpangan ini. Untuk ke Canopy Walkway boleh pilih samada ikut jalan ke kiri dengan jarak 470 m atau terus ke depan lagi dengan jarak 750 m. Kami pilih ikut kiri, konon jarak lebih pendek tentulah lebih cepat sampai. Kami kan sedang mengejar masa sebelum Canopy Walkway bakal tutup pada pukul 3 petang.

Tangga penyesalan...patutlah jarak lebih pendek, sebab kena mendaki ke atas dan ke atas lagi. Serius saya rasa sangat penat sampai boleh dengar degupan jantung sendiri. Saya perlahankan langkah...sambil bercakap sendiri, "takpelah kalau tak sempat naik Canopy Walkway hari ni". Memujuk diri dek rasa penat melayan anak tangga yang terus-terusan mendaki.

Alhamdulillah...akhirnya tangga mendaki tamat dan kena menurun pulak. Dan dah makin hampir dengan Canopy Walkway...yeayyy!


CANOPY WALKWAY (TITIAN KANOPI)

Kami tiba di sini pada pukul 2.52 petang. Suami jalan laju di hadapan dengan harapan kami masih berpeluang naik Canopy Walkway. Alhamdulillah...petugas di sini berbaik hati beri kami naik, tapi dengan pesanan jangan berlama-lama di atas sebab mereka dah nak tamat tugas. Untuk naik, cuma perlu tunjuk tiket untuk ditebuk (kami dah beli di HQ) dan tulis nama di buku rekod.

Bismillah...memang terasa seram bila jambatan ini bergoyang setiap kali kita melangkah. Memang patut petugas tadi melarang kami memegang barang lain, atau menggunakan kamera sewaktu di atas jambatan ini. Sebab kedua-dua belah tangan perlu berpegang pada tali jambatan untuk lebih stabil melangkah. Pengunjung juga perlu menjaga jarak antara satu sama lain. Setelah saya melepasi satu jarak yang ditanda dengan riben merah, barulah suami boleh ikut berjalan di belakang.

INFO : Canopy Walkway (Titian Kanopi atau dikenali sebagai Titian Silara) sepanjang 283 m ini terdiri daripada 7 jambatan dan 6 platform. Info ni saya dapat secara langsung dari petugas di sini. Tapi saya lupa tanya bab ketinggian. Menerusi carian internet, dicatatkan ketinggian dari lantai hutan adalah melebihi 40 m! Tapi bukanlah keseluruhan jambatan berketinggian begitu rasanya, sebab ada jambatan yang menurun.

Canopy Walkway ini asalnya lebih panjang iaitu melebihi 500 m (dikatakan sebagai yang terpanjang di dunia). Tetapi disebabkan sebahagian jambatan sudah ditimpa pokok tumbang, sekarang cuma 283 m. Ia baru saja dibuka semula pada 12 Oktober 2019 setelah ditutup sejak 8 November 2018 untuk kerja-kerja baik pulih.

Ini adalah kali ketiga saya menaiki Canopy Walkway (kali pertama di Sungai Sedim, Kulim dan kali kedua di Poring, Ranau). Walaupun jambatan kali ini terasa lebih seram sebab kecil, panjang dan tinggi, tetapi kali ini saya dah berjaya melawan rasa gayat dan berani melihat ke bawah. Suatu pengalaman yang menarik dapat menikmati pemandangan hutan dari aras tinggi!

Saya berada di jambatan yang ke-7 iaitu yang terakhir, diikuti oleh suami dan para petugas di sini. Nampak tu...petugas yang akhir sekali sedang menyapu lantai jambatan. Rasa kelakar sungguh...saya berharap nak ke sini tanpa ada pengunjung lain sebab tak mahu gangguan bising dan nak menikmati alam dengan tenang. Alhamdulillah tertunai hasrat itu dan menjadi pengunjung terakhir pulak! Hahaha...

Alhamdulillah...selesai sudah aktiviti Canopy Walkway kami yang dilakukan dalam tempoh sekitar 17 minit. Dalam gambar di atas adalah bahagian jambatan yang saya rasa paling mendebarkan - menuruni tangga yang tergantung!

Pemandangan salah satu jambatan Canopy Walkway dari bawah. Memang tinggi.

Inilah rupa platform. 7 buah jambatan yang berselang-seli dengan 6 buah platform. Pengunjung dibenarkan berhenti untuk ambil gambar di platform ini.

Tips : Elakkan datang ke sini pada waktu pagi hari hujung minggu/cuti sekolah/cuti umum, sebab biasanya akan ramai dengan pengunjung yang datang dalam kumpulan besar.

Jika terpaksa, usahakan datang paling awal. Menurut petugas di sini, pagi tadi saja pengunjung perlu beratur lebih 2 jam. Inilah sebabnya mengapa saya bersungguh nak naik petang ni dan mengelak esok pagi - tak mau beratur panjang dan tak mau gangguan bising bila dah ramai-ramai.


CANOPY WALKWAY,
TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN.
HARGA TIKET : RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak)
WAKTU OPERASI : 9 PAGI - 3 PETANG
TUTUP : JUMAAT
(Pihak Perhilitan juga akan menghentikan operasi pada bila-bila masa jika keadaan cuaca tidak baik.)


TANDAS DALAM HUTAN

Selepas duduk berehat, kami meneruskan eksplorasi hutan dengan mengikuti pelantar pejalan kaki yang tersedia. Masa ni semua petugas tadi sudah pun beredar pulang. Salah seorang dari mereka ada memaklumkan kami bahawa di hujung nanti ada tandas. Wah...tandas dalam hutan?

Inilah tandas yang dimaksudkan. Belum pernah saya jumpa tandas dalam hutan. Kami turut 'mencuba' tandas unik ini. Lengkap dan dalam keadaan yang memuaskan. Sumber air dari tangki yang berada di hadapan tandas ni. Rasanya ia menggunakan air paip yang disalurkan melalui poly pipe dari HQ/Mutiara Resort.

Eksplorasi diteruskan. Tiba di persimpangan untuk memilih hala tuju. Kalaulah ada kudrat dan masa, semua tempat saya nak pergi...hehe. Tapi, hidup ini harus memilih. Ke mana hala pilihan kami?

...bersambung bahagian 2 (akhir)...

4 comments:

  1. dah pernah rasai..gayat!! tapi puas berjalan diantara pokok2 sbb panjang laluannya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul! Hehe..
      Wpun masa akak pegi ni jarak dah dikurangkan, tetap rasa panjangnyaa...

      Delete
  2. Salam Sis,
    Boleh walk in ke utk naik Canopy Walk ni?
    Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa salam,
      Ya, boleh. Terus je ke Park Centre untuk permit dan tiket.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****