Tuesday, 10 March 2020

Eksplorasi Hutan Taman Negara (Bahagian 2) | Bumbun Tahan

...sambungan dari catatan DI SINI.

Kami akhirnya memilih untuk kembali ke Kuala Tahan. Jam menghampiri pukul 3.50 petang, bimbang lewat sangat keluar hutan kalau kami memilih untuk meneruskan niat mendaki Bukit Teresek. Lagi pulak, macam dah tak larat je...haha!

Kuala Tahan 1.5 km. Bunyi macam dekat je kan? Tapi berjalan dalam hutan tak sama macam berjalan atas jalan rata. Lagi pulak macam saya ni sibuk memerhati sekeliling, ambil gambar itu ini. Ambil masa.

Laluan yang disediakan sangat memudahkan kita untuk melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Kalau takde laluan ni, perjalanan tentu lebih sukar.

Sambil berjalan, kita belajar nama pokok. Memang tak boleh nak ingat, tapi sekurang-kurang taklah terasa asing bila dengar nama pokok Hujan Panas...eh, teringat nasi hujan panas sedapnya! Saya juga tertarik kat pokok sebelah tu, berselirat dengan akar (saya rasa tu akar).


BUMBUN TAHAN (TAHAN HIDE)

Cahaya mentari pukul 4.30 petang yang menembusi hingga ke lantai hutan, menghasilkan satu pemandangan yang indah di mata saya. Dari sini, kami menuju laluan ke Bumbun Tahan (Tahan Hide).

Laluan simen menuju ke Bumbun Tahan.

Inilah Bumbun Tahan, iaitu sebuah menara pemerhati untuk kita memerhati hidupan liar di hutan ini. Terdapat beberapa lagi bumbun di sini, tetapi Bumbun Tahan merupakan yang paling dekat dari Park Centre (HQ) dan mudah kita kunjungi.

Tingkat 1 Bumbun Tahan. Boleh bermalam di sini dengan bayaran RM5/malam, sebab waktu malam lebih sesuai untuk memerhati haiwan liar yang aktif berkeliaran di hutan.

Do's and Don'ts bagi pengunjung di Bumbun Tahan. Senyap tu penting! Kami berdua cakap berbisik-bisik je tau, dengan harapan muncul haiwan kat bawah tu..hehe.

Info mengenai Bumbun Tahan dan apa itu jenut (salt lick).

Di tingkat 2 bumbun, ada disediakan bangku panjang untuk kita memerhati bawah ke arah padang ragut dan jenut. Kami duduk di sini sambil memerhati ke bawah...

Padang ragut.

Jenut jenis tanah di bahagian tengah padang ragut. Jenut jenis tanah adalah tanah yang mengandungi garam galian yang berfaedah untuk kesihatan hidupan liar. Hidupan liar akan datang sini untuk menjilat tanah tersebut.

Sedang kami asyik perhati kawasan padang dan jenut ni, kami mendengar bunyi yang asing dari bahagian belakang bumbun (kawasan hutan). Perlahan-lahan kami bergerak ke bahagian belakang dan menukar fokus pemerhatian kami.

Kami nampak si cantik manis Merak Pongsu ni di lantai hutan! Seekor burung saiz sederhana besar dengan rupa yang menawan. Burung Merak ni kelihatan sedang mencari makan dengan mematuk-matuk tanah. Alhamdulillah...ada la jugak hasil kami duduk memerhati di bumbun ni.

Setelah agak lama memerhati, burung Merak ni pun akhirnya menghilang dibalik rimbunan pokok hutan, kami pun bergerak meninggalkan bumbun.

Eksplorasi diteruskan...

Pokok dengan tag nama Pupoi ( Sarcotheca griffithii ) , unik batang pokoknya berkeluk. 

Simpulan-simpulan (entah batang atau akar pokok) yang menarik perhatian saya. Semacam satu seni yang indah!

------------------------------------------------------------
Alhamdulillah....

Kami akhirnya selamat keluar dari kawasan hutan sekitar pukul 5.10 petang. Masuk melalui laluan berhampiran Mutiara Resort, dan keluar melalui laluan berhampiran Park Centre (HQ). Total masa eksplorasi adalah sekitar 3 jam untuk jarak sekitar 4 km.

Sepanjang eksplorasi hutan, cuma sesekali kami berselisih dengan pengunjung lain. Hampir kesemuanya pengunjung luar negara, samada solo atau berdua. Mungkin sebab kami masuk waktu petang, bukan waktu pilihan ramai. Ini menjadikan keadaan lebih seronok bagi saya untuk menikmati suasana hutan, takde gangguan suara manusia berborak dan lebih peluang untuk melihat hidupan hutan berkeliaran.

Ada satu ketika, kumpulan burung (saiz sederhana besar seperti burung Merak yang kami temui di Bumbun Tahan) sekitar 5-6 ekor melintas di hadapan kami. Badannya berwarna hitam dan terdapat tompokan warna putih di kepala. Laju je kesemuanya berlari dan terbang rendah, lalu menghilang di balik hutan. Tak sempat saya nak ambil gambar.

Ada rezeki, teringin jugak nak melakukan eksplorasi hutan ke kawasan lain di Taman Negara ni. Kawasan Taman Negara sangat luas, dan ada pelbagai pilihan rintis untuk kita cuba. Kos pun masih murah dan lengkap dengan kemudahan yang baik.

Video berdurasi 47 saat.

Untuk anda yang gemarkan suasana kehijauan hutan dan ingin menikmati bunyi orkestra hutan, berkunjunglah ke Taman Negara Pahang, Kuala Tahan. Nikmatilah keindahan hutan khazanah negara kita!

2 comments:

  1. sekarang dah ada laluan kayu or batu gitu ye kak, menariknya... masa dana dulu takde kene la lalu laluan yang licin, dahla kebetulan masa tu baru lepas hujan...

    cantiknya merak tu kak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Seksa gitu lepas hujan...takut pacat banyak.

      Ooh..merak. Aduilah..patut biasa nampak kat zoo..haha! Nanti akak update letak nama. Thanks Dana.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****