CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026
Sambungan entri terdahulu —> Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah
Petang terakhir di Tanah Suci Mekah, saya mula rasa tak sedap badan - macam nak demam. Kalau sebelum ini saya rasa letih dan mengantuk mungkin disebabkan perbezaan waktu dan perubahan rutin harian, tetapi kali ini rasa panas badan, berat kepala dan mulai batuk. Syukurlah bawa selengkapnya ubatan dari tanah air, rasa tak sihat je saya segera makan ubat.
Petang tersebut saya tunaikan solat Asar di surau hotel penginapan kami. Bangunan Safwah Tower ini bersambung dengan dataran Masjidil Haram, jadinya solat di surau hotel mengikut imam masjid. Mungkin ada pendapat yang berbeza berkenaan solat di surau hotel mengikut imam Masjidil Haram, bolehlah merujuk terus kepada mereka yang luas kefahaman agamanya. Antara rujukan yang saya dipercayai —> zulkiflialbakri.com dan Dr Abu Anas Madani
Apa pun, yang terbaik tentunya solat di dalam Masjidil Haram. Tetapi ketika ada halangan tertentu adalah lebih baik jika kita dapat ikut berjemaah di surau hotel berbanding solat sendiri di bilik.
Pandangan hadapan pintu masuk surau perempuan - diletak penghadang kayu warna putih kerana kedudukannya bersetentang dengan pintu masuk surau lelaki.
Ruang surau luas memanjang ke belakang. Selain al-Quran, turut disediakan deretan bangku kecil bagi yang memerlukan. Tiada tempat wuduk di sini, tapi tak tahulah jika ada di bahagian yang saya tak perasan.
Berbeza dengan surau lelaki yang terletak pada kedudukan hujung bangunan dengan sebahagiannya berdindingkan kaca, mereka boleh nampak terus kawasan dataran Masjidil Haram.
Berbalik kepada tajuk entri. Ketika berada di surau inilah saya bertemu dengan Rizwana, jemaah dari Karachi, Pakistan yang duduk di sebelah kanan saya. Bermula dengan bertukar senyuman, kemudian kami berbual ringkas.
Dia kemudian mengeluarkan dua kotak bahan masakan segera dari beg, dihulur kepada saya supaya memilih salah satu. Saya pilih kotak warna pink ‘Doodh Dulari Dessert Mix’ sebab nampak lebih menarik. Saya ambil, simpan dalam beg dan tak lama kemudian kami memulakan solat Asar.
Selesai solat (ketika jemaah mula bersurai), tiba-tiba Rizwana menghulurkan satu lagi kotak masakan segera ‘Kheer Mix Rice Pudding’. Katanya dua-dua untuk saya. Saya cuba menolak, segan nak terima sebab tak ada apa yang boleh saya berikan padanya. Dia mendesak saya ambil dan meminta saya mendoakannya. Katanya, dia juga akan mendoakan saya - sambil menyebut semula nama saya. Kami bertukar salam dan senyuman sebelum berpisah.
Ya Allah…saya rasa terharu terima kebaikan Rizwana. Ianya jadi kenangan manis pada petang hari terakhir saya di bumi Mekah. Terima kasih Allah 🩵
Semoga Allah mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat buat Rizwana. Sehingga detik ini, setiap kali saya teringat pertemuan tersebut atau memandang kotak bahan masakan segera (yang masih belum diolah menjadi hidangan 😄) pasti ada doa saya kirimkan buat Rizwana di Pakistan.



No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****