Tuesday, 27 January 2026

Catatan Hujung Minggu | 24 - 25 Januari 2026

Pagi hari Ahad Encik Suami ada urusan di Manong yang terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak. Hari Sabtu kami dah bergerak dari rumah Perlis menuju ke Kuala Kangsar. Pergi awal sehari supaya boleh santai menempuh perjalanan dan dapatlah saya ambil kesempatan berjalan-jalan melihat tempat orang 😁


⏵ HARI SABTU, 24 JANUARI 2026

Pukul 10.55 pagi - Singgah makan di Dua Rasa Timur Utara yang terletak di jalan besar Changlun, Kedah. Selalu lalu je, buat kali pertama kami mencuba hidangan nasi campur di sini. Terdapat banyak pilihan lauk, saya jadi rambang mata terus ambil itu sikit ini sikit.

Pukul 3.40 petang - Keluar tol Kuala Kangsar. Perut dah mula rasa lapar, saya buat carian Google Maps kedai makan mana nak dituju.

Kami ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep. Saya sangkakan pelanggan makan dalam rumah tradisional ni, rupa-rupanya makan bawah khemah besar yang terletak di tepi rumah 😅

Dalam keadaan cuaca panas terik, saya jadi kurang selesa menikmati makanan di sini. Terdapat beberapa buah meja makan yang terletak di bahagian bawah rumah, tapi tak sesuai duduk sebab kena cahaya matahari. Bahagian dalam rumah (atas) pula katanya hanya ada ruang solat dan sesuai kalau nak berfoto.

Perjalanan diteruskan menuju ke lokasi penginapan yang terletak di Karai. Baru saya tahu kewujudan nama tempat Karai. Pekan Karai nampak tenang, tak banyak kenderaan. Deretan bangunan lama menjadi latar pekan ini.
Info ringkas | Karai merupakan antara bandar tertua yang terletak dalam Mukim Kota Lama Kanan, daerah Kuala Kangsar, Perak. Ia juga dikenali sebagai Enggor. Pekan ini mula membangun dengan penemuan komoditi arang batu pada era penjajahan British. Pada tahun 1900, sebuah jambatan kereta api merentasi Sungai Perak siap dibina oleh British - ia dikenali sebagai Jambatan Victoria (Victoria Bridge).

Pukul 5 petang - Mendaftar masuk di D’Village Hotel & Villas. Kami tak buat tempahan awal sebab tadi belum pasti nak menginap di mana. Bila sampai sini, barulah buat tempahan dan bayaran bilik di laman web rasmi D’Village. Tak boleh tempah dan bayar terus di kaunter, juga tiada tempahan menerusi pihak ketiga seperti Agoda.

Menurut petugas di kaunter, hanya kami berdua sahaja yang mendaftar masuk pada hari ini. Terkejut jugalah 😄. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan penginapan kami di sini.

Penginapan kami terletak berhadapan dengan lokasi tarikan pelancongan iaitu Victoria Bridge. Sekitar pukul 6.30 petang, barulah kami keluar bagi menikmati suasana senja di sini. Insya Allah ada entri khusus berkenaan Victoria Bridge.

Makan malam di Mama Tomyam, kami keluar memandu ke arah bandar Kuala Kangsar bagi mencari kedai makan. Pekan Karai bertukar menjadi sepi menjelang malam, tiada kedai makan dibuka.


⏵ HARI AHAD, 25 JANUARI 2026

Pukul 8 pagi - Bersarapan di Kafe Dapur Tok Enda yang terletak di dalam kawasan Kampung Warisan Budaya - sama pengurusan dengan penginapan kami tetapi di lokasi berbeza. Sebelum tu, sekali lagi kami ke Victoria Bridge bagi menikmati suasana pagi di sini. Selepas itu, teruskan berjalan kaki ke kafe. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan kafe ini.

Pukul 10.10 pagi - Mendaftar keluar penginapan dan menuju ke Manong untuk urusan Encik Suami.

Pengalaman pertama saya melalui Jalan A164 Sayong - Tanjung Belanja. Laluannya sedikit berbukit dan berliku, jalan raya dalam keadaan baik dan tak banyak kenderaan. Hampir sepanjang perjalanan hanya semak belukar dan kebun sawit/getah, sesekali saja kami melewati kawasan penempatan penduduk.

Kami melalui Kampung Menora, terus teringat mungkin juga nama Terowong Menora di lebuh raya PLUS diambil sempena nama kampung ini. Kami juga melewati belakang kawasan R&R Sungai Perak. 

Pemandangan Sungai Perak di Kampung Mandah, Manong. Seronok juga saya melayan mata menyaksikan panorama alam - aliran Sungai Perak dan Gunung Bubu sementara menunggu Encik Suami selesaikan urusannya.

Selesai urusan, kami bergerak ke pekan Parit yang terletak di dalam daerah Perak Tengah, Perak. Juga kali pertama saya berada di sini.

Mi hailam kering.
Kami berdua bersama beberapa orang rakan Encik Suami menikmati hidangan mi hailam di Kram’s Mee Hailam Royale. Pertama kali saya jumpa kedai makan khusus masakan mi hailam - ada pilihan mi hailam basah dan kering.

Saya makan mi hailam kering dengan tambahan telur mata. Mi yang digunakan bukan mi kuning biasa tu, tapi bentuk sedikit leper. Rasanya agak kenyal tapi lembut dimakan. Terdapat campuran isi daging lembu potongan kecil dalam mi, lembut dan mudah dimakan. Pendek kata, sedap! Kalau kalian ke Parit, silalah cuba makan di sini ya.

Lepas makan, kami bergerak balik ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat sampai sebelum waktu Maghrib.







39 comments:

  1. Manong sy pernah dengar namanya, Karai pertama kali kot.. seronok PU dapat berjalan² ikut suami outstation, luas pandangan hehe

    ReplyDelete
  2. Kebanyakan nama tempat yang Ujie sebut tu, kita tak pernah dengar atau baca di mana². Nak tahu jugak macammana pengalaman duduk sorang² (maksudnya Ujie dan suami aje) di situ, kotlah ada yang menyeramkan, hahaha. Mi Hailam tu memang makanan tempatan kan, yg jenis leper tu. Dulu pernah ada gerai macam tu kat Pontian, Mi Hailam D'Perak tak silap namanya. Okey, kita nantikan entri² khas tu ya, jangan lupa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah takde pengalaman seram 😄

      Ooh..saya tak tau pulak mi hailam makanan tempatan situ.

      Delete
  3. Lama tak ke KK. Rumah arwah opah suami ada kat sana. Sejak opah meninggal dah tak balik ke rumah tu takde orang duduk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak perasan, memang banyak rumah tinggal kat area sana. Rumah-rumah tradisional. Yelah, anak cucu semua dah ada kehidupan sendiri.

      Delete
  4. suspen juga bila kata hanya UJie berdua sahaja check-in situ, nanti review naa :) Lama sungguh kak ana tak ke Kuala Kangsar ni, banyak tarikan baru dah ada di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...Alhamdulillah semua ok je kak Ana. Memang ada rasa berdebar sikit.

      Delete
  5. Menarik pula resort dia tu...Selalu lalu je Kuala Kangsar tu, tak menyinggah mana²..hihi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kita dah selalu lalu, memang tak rasa nak explore kan 😄

      Delete
  6. Tak pernah dengar nama Karai.
    Mi hailam tu nampak rare.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak jejak kaki kat sini, memang tak kan tau pasal Karai ni 😄

      Mi hailam-nya bukan mi hailam yang biasa kita makan kan..

      Delete
  7. SA x familiar dengan daerah2 di Perak...tp SA tau Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Setiawan, Manjung, Lumut dan Pangkor...tempat2 lain x pernah jejak lagi...apapun x sabar tunggu Ujie nyer update seterusnya....Victoria Bridge ada entry tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Victoria Bridge harus ada entri. Tempatnya unik dan cantik sangat suasana sunset.

      Delete
  8. Saya dah sampai Victoria Bridge tu. Cantik ambik gambar kat situ. Berdekatan ada warung Pak Jabit jugak. Cantiknya permandangan Sg Perak tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masa saya ke sini, buat carian katanya warung ditutup sementara. Takde rezeki nak pergi.

      Delete
  9. Saya pernah pergi Kuala kangsar sekitar tahun 2002. Tapi jalan jalan dalan bandar tu je. Tempat tempat dalam daerah tu tak pernah dengar pun

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jalan-jalan dalam bandar KK tu pun banyak juga tarikan pelancongan kan. Akak belum sempat explore.

      Delete
  10. Kawan baik geng minyak urut kami pencen dan buat rumah di Manong. Lawa rumah nya English style tepi jalan. Pau Manong sedap, ramai singgah beli.

    Sepupu suami ada warung roti canai berdekatan Victoria Bridge tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah..mesti syok tenang je suasana rumah kawan Mulan tu kan. Kalau tau pasal pau Manong tu, boleh saya cari.

      Warungnya kat pekan Karai agaknya, saya tak sempat explore warung situ.

      Delete
  11. Eh? Uncle tak sedar kat Parit ada menara jam tu....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ke Parit, bolehlah cari. Tak jauh dari papan tanda besar 'I love Parit'.

      Delete
  12. Ya Allah sedapnya semua menuuuu 😍😍😍😍. Saya sebenarnya tiap ke Malaysia, yg naaaak sangat itu menh khas kampung begini kak. Tp ntahlah, apa Krn lokasinya biasa bukan di tengah kota, JD agak menyulitkan buat saya. Atau memang harus ke kota2 macam parit, atau Kedah begini. Sementara saya tiap ke sana kebanyakan KL, Penang, Melaka atau trakhir kemarin Ipoh.

    Dah niat kalau ke sana lagi, nak sewa mobil. Jadi bebas nak ke destinasi orang lokal begini.

    Kenapalah mereka tak mau pasang dj Agoda, Traveloka atau semacamnya yaa. Apa Krn kuatir fee yg harus dibayar. Tp kan lebih mudah orang utk booking. Kalah hanya dari website, kita belum tentu tahu 😅😅. Kecuali baca tulisan review-nya seperti yg kakak buat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fanny boleh stay di bandar utama seperti Alor Setar di negeri Kedah atau Kuala Terengganu di negeri Terengganu, naik e-hailing juga mudah atau sewa mobil. Ia bukan bandar maju seperti KL jadi boleh rasa suasana lokal dan mencuba makanan lokal.

      Akak cadangkan Fanny explore Kuala Terengganu jika di Semenanjung Malaysia, dan Kuching jika mau ke bahagian Borneo.

      Mungkin mereka tak mau letak di Agoda dll kerana bilik penginapan yang ada tak begitu banyak.

      Delete
  13. Makan laksa dalam mangkuk besi.
    Ya tidak selesa makan keadaan cuaca panas.
    Cantik tempat yang Puan Ujie singgah. Sayapun pertama kali baca tempat nama Karai. Untung dapat ikut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun macam terkejut sikit masa dihidang laksa tu 😅

      Mujur jugak ikut, sebenarnya saya malas nak ikut sebab kesian Jojo asyik kena tinggal 😄

      Delete
  14. Aduh spoil la ingtkan makan dalam rumah tu... dah terasa nk pergi terjah dah.. sekali makan kat khemah besar yer hahahaa :D

    ReplyDelete
  15. Uish berdua jer menginap di situ utk hari tu... aduhhh seronok dan scary juga hahaha :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul..seronok sebab privacy, tapi seram jugak sebab tempatnya sunyi dan gelap kawasan sekitar. Kampung kan..

      Delete
  16. Jauh Ujie berjalan, sampai ke Manong dan Parit. Saya pernah ambil gambar di Victoria Bridge tu dulu, zaman anak masih kecil. Mi hailam Parit tu, saya tak pernah cuba. Manong itu, laluan kami kalau nak balik Kelantan dari Manjung.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..itulah, pertama kali sampai tempat-tempat tu.

      Delete
  17. Menariknya post ini. Ada banyak tempat yang KSarie tidak pernah tahu ada di dalam ini. Banyak tempat yang KSarie tidak pernah sampai di Perak ini. KSarie tunggu cerita tentang semua tempat yang Ujie pergi ini dalam post yang akan datang

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, saya ni kalau buat entri ambik masa lama 😅

      Delete
  18. wahh..kampung teman...tak pernah sampai lagi di kampung warisan budaya Karai...sedap mee hailam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasa gitu la kan, balik kampung bukan lama, memang tak sempat explore tempat sendiri.

      Delete
  19. Seronoknya dapat jalan-jalan ke Karai & Manong, sambil cuci mata tengok pemandangan Sungai Perak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah seronok dapat tengok tempat orang, suasananya berbeza.

      Delete
  20. menarik jugak rumah makan tok yoep buat cmtu, so that takdelah rumah2 kampung terbiar gitu je. saya ingatkan at least boleh makan kat bawah rumah kampung tu haha.

    aww pekan parit, rindunya... kampung halaman ayah saya dan our childhood memories tu. rasa sebak pulak tgok gambar ni sebab sekarang kami dah tak beraya di parit lagi sejak arwah opah meninggal. rumah kampung pun kami sewakan pada orang. kalau dtg parit pun just lawat kubur opah je. rindunya suasana beraya kat kampung..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****