Pagi hari Ahad Encik Suami ada urusan di Manong yang terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak. Hari Sabtu kami dah bergerak dari rumah Perlis menuju ke Kuala Kangsar. Pergi awal sehari supaya boleh santai menempuh perjalanan dan dapatlah saya ambil kesempatan berjalan-jalan melihat tempat orang 😁
⏵ HARI SABTU, 24 JANUARI 2026
Pukul 10.55 pagi - Singgah makan di Dua Rasa Timur Utara yang terletak di jalan besar Changlun, Kedah. Selalu lalu je, buat kali pertama kami mencuba hidangan nasi campur di sini. Terdapat banyak pilihan lauk, saya jadi rambang mata terus ambil itu sikit ini sikit.
Pukul 3.40 petang - Keluar tol Kuala Kangsar. Perut dah mula rasa lapar, saya buat carian Google Maps kedai makan mana nak dituju.
Kami ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep. Saya sangkakan pelanggan makan dalam rumah tradisional ni, rupa-rupanya makan bawah khemah besar yang terletak di tepi rumah 😅
Dalam keadaan cuaca panas terik, saya jadi kurang selesa menikmati makanan di sini. Terdapat beberapa buah meja makan yang terletak di bahagian bawah rumah, tapi tak sesuai duduk sebab kena cahaya matahari. Bahagian dalam rumah (atas) pula katanya hanya ada ruang solat dan sesuai kalau nak berfoto.
Perjalanan diteruskan menuju ke lokasi penginapan yang terletak di Karai. Baru saya tahu kewujudan nama tempat Karai. Pekan Karai nampak tenang, tak banyak kenderaan. Deretan bangunan lama menjadi latar pekan ini.
Info ringkas | Karai merupakan antara bandar tertua yang terletak dalam Mukim Kota Lama Kanan, daerah Kuala Kangsar, Perak. Ia juga dikenali sebagai Enggor. Pekan ini mula membangun dengan penemuan komoditi arang batu pada era penjajahan British. Pada tahun 1900, sebuah jambatan kereta api merentasi Sungai Perak siap dibina oleh British - ia dikenali sebagai Jambatan Victoria (Victoria Bridge).
Pukul 5 petang - Mendaftar masuk di D’Village Hotel & Villas. Kami tak buat tempahan awal sebab tadi belum pasti nak menginap di mana. Bila sampai sini, barulah buat tempahan dan bayaran bilik di laman web rasmi D’Village. Tak boleh tempah dan bayar terus di kaunter, juga tiada tempahan menerusi pihak ketiga seperti Agoda.
Menurut petugas di kaunter, hanya kami berdua sahaja yang mendaftar masuk pada hari ini. Terkejut jugalah 😄. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan penginapan kami di sini.
Penginapan kami terletak berhadapan dengan lokasi tarikan pelancongan iaitu Victoria Bridge. Sekitar pukul 6.30 petang, barulah kami keluar bagi menikmati suasana senja di sini. Insya Allah ada entri khusus berkenaan Victoria Bridge.
Makan malam di Mama Tomyam, kami keluar memandu ke arah bandar Kuala Kangsar bagi mencari kedai makan. Pekan Karai bertukar menjadi sepi menjelang malam, tiada kedai makan dibuka.
⏵ HARI AHAD, 25 JANUARI 2026
Pukul 8 pagi - Bersarapan di Kafe Dapur Tok Enda yang terletak di dalam kawasan Kampung Warisan Budaya - sama pengurusan dengan penginapan kami tetapi di lokasi berbeza. Sebelum tu, sekali lagi kami ke Victoria Bridge bagi menikmati suasana pagi di sini. Selepas itu, teruskan berjalan kaki ke kafe. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan kafe ini.
Pukul 10.10 pagi - Mendaftar keluar penginapan dan menuju ke Manong untuk urusan Encik Suami.
Pengalaman pertama saya melalui Jalan A164 Sayong - Tanjung Belanja. Laluannya sedikit berbukit dan berliku, jalan raya dalam keadaan baik dan tak banyak kenderaan. Hampir sepanjang perjalanan hanya semak belukar dan kebun sawit/getah, sesekali saja kami melewati kawasan penempatan penduduk.
Kami melalui Kampung Menora, terus teringat mungkin juga nama Terowong Menora di lebuh raya PLUS diambil sempena nama kampung ini. Kami juga melewati belakang kawasan R&R Sungai Perak.
Pemandangan Sungai Perak di Kampung Mandah, Manong. Seronok juga saya melayan mata menyaksikan panorama alam - aliran Sungai Perak dan Gunung Bubu sementara menunggu Encik Suami selesaikan urusannya.
Selesai urusan, kami bergerak ke pekan Parit yang terletak di dalam daerah Perak Tengah, Perak. Juga kali pertama saya berada di sini.
![]() |
| Mi hailam kering. |
Kami berdua bersama beberapa orang rakan Encik Suami menikmati hidangan mi hailam di Kram’s Mee Hailam Royale. Pertama kali saya jumpa kedai makan khusus masakan mi hailam - ada pilihan mi hailam basah dan kering.
Saya makan mi hailam kering dengan tambahan telur mata. Mi yang digunakan bukan mi kuning biasa tu, tapi bentuk sedikit leper. Rasanya agak kenyal tapi lembut dimakan. Terdapat campuran isi daging lembu potongan kecil dalam mi, lembut dan mudah dimakan. Pendek kata, sedap! Kalau kalian ke Parit, silalah cuba makan di sini ya.
Lepas makan, kami bergerak balik ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat sampai sebelum waktu Maghrib.












No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****