Catatan hari Ahad, 11 Januari 2026.
Morning walk pertama saya bersama Encik Suami pada tahun 2026. Bila ada peneman, bolehlah saya berjalan lebih jauh.
Data dari Samsung Galaxy Watch. Kami berjalan santai, banyak kali saya berhenti bagi memerhati dan memotret itu ini. Syukurlah dikurniakan suami yang memahami, sabar je bila saya tiba-tiba tak meneruskan langkah dan mula halakan lensa kamera telefon ke arah subjek.
Hasil foto yang sempat saya rakam :
Pukul 7.40 pagi - menyaksikan keindahan matahari terbit di sebalik bukit. Masya Allah cantik sangat dilihat depan mata. Nampak besar saiz matahari, ia muncul sedikit demi sedikit sehingga kelihatan sepenuhnya.
Matahari terbit lewat sekarang ni, waktu syuruk di sini sekitar pukul 7.30 pagi. Foto di atas nampak suasana sangat gelap disebabkan faktor pencahayaan, saya zoom-in bagi mendapatkan foto matahari yang jelas.
Deretan pokok yang menarik perhatian saya kerana ia jelas menunjukkan perubahan mengikut musim. Sebelum ini daun pokok berwarna hijau segar merimbun, tetapi kini daunnya bertukar warna coklat perang dan banyak yang luruh.
Perlis kini sedang mengalami musim angin timur - cuaca panas, kering (kurang atau tiada hujan) dan tiupan angin kencang. Rumput belukar mulai kering dan mudah terbakar. Kejadian kebakaran terbuka yang pertama berlaku berhampiran kawasan tempat tinggal saya direkodkan pada petang hari Rabu, 7 Januari 2026 lalu. Dan sekarang ketika entri ini dihasilkan, sedang berlaku satu lagi kebakaran yang membawa bau asap masuk ke rumah dan menurunkan ‘salji hitam’ iaitu debu kebakaran di luar rumah.
Bacaan lanjut berkenaan situasi ini dan pengalaman saya pada tahun 2024 DI SINI. Semoga musim angin timur kali ini cuaca panas dan kering tidak ekstrem seperti tahun 2024.
Saya mendongak ke langit, rupa-rupanya bulan masih belum bersembunyi. Pukul 8 pagi, ia masih mahu menjadi penyeri alam. Kebetulan pula sebuah pesawat sedang melintasi ruang udara di sini, bolehlah berfoto dengan sang bulan separa.
Pandang pula semak belukar tepi jalan, nampak si cantik berwarna biru ungu tumbuh melata.
Bunga seri pagi (morning glory).
Masya Allah kembang cantik! Jarang saya nampak bunga seri pagi warna begini.
Saya rasa bahagia dapat memerhatikan dan menikmati keindahan pagi. Suasananya juga nyaman sejuk. Tapi tak boleh berlama, selepas tu cuaca bertukar panas terik.
Terima kasih Allah 💙







No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****