Catatan hari Sabtu, 17 Januari 2026.
Buat kali pertama, saya dan Encik Suami naik Menara Alor Setar yang merupakan salah satu mercu tanda bagi ibu negeri Kedah. Selalunya lalu gitu je kan, kali ini ada kesempatan bolehlah kami menikmati suasana malam bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter.
Info ringkas Menara Alor Setar :
- Menara telekomunikasi berketinggian 165.5 meter.
- Turut berfungsi sebagai tarikan pelancongan.
- Reka bentuk inspirasi serumpun padi yang diikat - bersesuaian dengan Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi.
- Telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 14 Ogos 1997.
Rakaman foto pada pukul 8.25 malam. Menara Alor Setar berdiri megah dan indah dengan limpahan cahaya yang bertukar warna. Suasana di bahagian bawah menara ini meriah dengan pengunjung - terdapat sebuah taman rekreasi dan taman permainan kanak-kanak di sini.
Keratan rentas menegak yang menunjukkan struktur menara serta pembahagian antara tingkat menara. Sewaktu kunjungan kami - nampaknya tiada kedai cenderamata di TH01 Observation Deck, restoran di TH02 pula hanya untuk tempahan acara dan Open Deck di TH04 kini dikenali sebagai Star View.
Harga tiket kadar hujung minggu bagi warganegara :
Observation Deck | Dewasa - RM8, Kanak-kanak & Warga Emas - RM6
Star View | Dewasa - RM26, Kanak-kanak & Warga Emas - RM18
*kalau hari biasa, jimat RM1 daripada harga tertera di atas.
Kami beli tiket untuk naik ke bahagian atas sekali iaitu Star View - harga tiket termasuk untuk ke Observation Deck. Sebelum naik lif, terdapat photo booth dengan latar tulisan Menara Alor Setar. Ada petugas akan memotret foto pengunjung secara percuma, tapi kalau nak fotonya kena bayarlah ya. Kami menolak dengan baik dan terus saja masuk lif menuju ke TH03.
Terasa gayat juga naik lif dengan dinding kaca boleh nampak luar 😅. Sampai di TH03 Mega View yang berada pada ketinggian 100 meter, ada petugas periksa tiket. Dari situ kami perlu naik lif kecil untuk ke TH04 Star View.
Begini rupa lif kecil, tak boleh sandar di dinding sebab yang bergerak cuma lantai dan satu bahagian yang ada pemegang tangan dan butang lif. Ada sedikit rasa takut bila lif ini bergerak, mujurlah tak lama - setakat naik 5 meter.
Star View.
Sebaik kaki melangkah ke luar (bahagian terbuka), terasa angin sejuk bertiup agak kuat. Jadi berkibaran tudung saya. Suasana di atas ni tenang saja, tak ramai pengunjung jadi saya dapat lebih menikmati suasana.
Di suatu sudut, kelihatan pasangan muda sedang menikmati hidangan di meja yang dihias indah. Perlu buat tempahan awal kalau nak merasa pengalaman begini.
PELANTAR STAR VIEW | Pelantar pemandangan terbuka dengan lantai kaca yang dikenali sebagai Star View merupakan tarikan utama di sini. Ia dibuka kepada pengunjung bermula pada Julai 2020. Terdapat dua pelantar Star View - menghadap arah utara dan selatan bandar raya Alor Setar.
Mula-mula saya nampak keluarga dengan anak kecil, mereka hanya duduk berfoto di atas lantai kaca. Kemudian naik pula keluarga dengan beberapa orang anak remaja, mereka semua nampak santai berdiri di atas lantai kaca sehingga ke sudut hujung. Jadi saya fikir, oklah saya pun tentu tak ada masalah nak naik Star View ni. Yakin sungguh kan ðŸ¤
Sementara menunggu giliran, saya memotret pemandangan bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter. Encik Suami pula sibuk menggunakan teropong yang dibawanya sendiri. Seronok juga dapat menyaksikan keindahan bangunan bercahaya dan jalan raya dari kedudukan tinggi begini.
Tibalah giliran kami untuk naik pelantar Star View…
Beginilah rupa pelantar Star View. Menerusi lantai kaca, saya dapat melihat pemandangan 105 meter nun di bawah sana. Ya Allah…gayat!
Nampaknya, setakat ini saja tahap keberanian saya ðŸ¤. Memandangkan tiada pengunjung lain menunggu, jadi kami ada lebih masa untuk terus mencuba. Tapi tetap jua kaki saya tak mampu melangkah sehingga ke sudut hujung pelantar. Perasaan gayat boleh dilawan, tapi pemikiran “Eh, kukuh ke tak lantai kaca ni ek..” sukar dibuang 😆
Encik Suami pula, cuma lebih berani sedikit saja berbanding saya - jejak jugalah lantai kaca bahagian hujung tu. Alasannya, angin kuat jadi rasa kurang berani nak berdiri di hujung sana 😄
Info lantai kaca Star View | Pengunjung tidak perlu bimbang kerana Star View dibina daripada tiga lapisan kaca kukuh dengan ketebalan 12.5 mililiter (ml) setiap satu serta mampu menampung berat sebanyak 1,200 kilogram (kg), malah ia mampu menahan kelajuan angin 140 kilometer per jam. - Sumber : hmetro.com.my
OBSERVATION DECK | Selesai menikmati suasana di Star View, kami turun ke Observation Deck yang terletak pada ketinggian 88 meter. Terdapat teropong (binocular) di sudut tertentu yang boleh digunakan secara percuma. Kami berdua mencuba beberapa buah teropong, tapi tak nampak apa pun. Entah agaknya kami yang tak pandai gunakan teropong tersebut.
Kami turun dari Menara Alor Setar pada pukul 9.30 malam, iaitu 30 minit sebelum waktu operasi tamat. Dari menara, kami ke Aman Central yang terletak di seberang jalan - nak mengopi dulu sebelum balik hotel.
Video pendek sekitar kunjungan kami ke Menara Alor Setar.













No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****