Saturday, 18 October 2025

Kembali ke Kunming dengan Tren CRH D8104

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025



Baru saja petang semalam kami tiba di Lincang dengan menaiki kereta api laju China Railway High-Speed (CRH). Pagi ini sekali lagi kami menaiki tren CRH untuk kembali ke bandar Kunming - ibu kota wilayah Yunnan.

Lincang Railway Station, Lincang, Yunnan, China
Seawal pukul 7.30 pagi, kami tiba di Lincang Railway Station.

Stesen dibuka mulai pukul 7.20 pagi sehingga 7.30 malam. Ketika kami tiba di sini, orang ramai sudah pun memenuhi pintu hadapan stesen. Kami ikut sama beratur untuk masuk stesen. Setiap penumpang perlu melalui pemeriksaan keselamatan, begitu juga barangan yang dibawa perlu melalui mesin pengimbas.

Tak lama duduk di ruang menunggu, tiba masa untuk kami menaiki tren.

Lincang Railway Station, Lincang, Yunnan, China
Dua kepala tren CRH ‘bertemu’. Entah betul atau tidak ini bahagian kepala tren 😄. Foto dirakam dari tempat duduk saya.

Tren CRH Lincang ke Kunming
Tempat duduk kami Kelas Pertama di Koc 9 dengan susunan kerusi 2-2. Tempat duduknya luas selesa tetapi kerusinya nampak agak lusuh dan kotor berbanding tempat duduk Kelas Kedua yang kami naiki petang semalam.

Kali ini saya duduk di tepi tingkap, bolehlah saya menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan dengan lebih jelas dan mudah merakam foto serta video.

Tren kami berlepas meninggalkan stesen Lincang pada pukul 7.55 pagi.

Pemandangan kawasan pertanian dan penempatan penduduk dengan latar pergunungan yang menarik perhatian saya. Di kawasan ini, saya perhatikan bumbung rumahnya dibuat dengan seni bina Cina - bentuk sedikit melengkung dan tajam di hujung.

Seronok tengok para petani tekun bekerja.

Sempat saya merakam paparan skrin ketika tren berada pada kelajuan 199 km/j. Laju sungguh!

Lagi pemandangan yang menarik. Foto pemandangan hanya dapat saya rakam ketika tren berada pada kelajuan rendah, iaitu sebelum atau selepas berhenti di stesen hentian.

Perjalanan dari Lincang ke Kunming melalui lima buah stesen hentian. Ketika ini tren berhenti seketika di Guangtongbei Railway Station, Lufeng.

Kudapan dalam perjalanan - buah blueberry pemberian salah seorang ahli grup kami. Dah siap dibasuh semasa di hotel penginapan.

Anak kecil yang mencuri perhatian saya. Dia duduk di kerusi kecil berhampiran unit tandas.

Video pendek pemandangan semasa dalam perjalanan dari Lincang ke Kunming.

Alhamdulillah…kami selamat tiba di stesen Kunming kira-kira pukul 12 tengah hari. Udara sejuk dengan suhu 17℃.

Sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki pesawat ke Nanjing, kami mengisi perut dan jalan-jalan seketika di Wuhua District.







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****