Selama 6 hari 5 malam saya dan Encik Suami ke sana ke sini atas urusan kerja dan juga pulang ke kampung halaman kami.
Buat kali pertama, saya gunakan automatic pet feeder untuk bekalan makanan Jojo si anak bulu dan gunakan automatic watering system untuk menyiram anak pokok kangkung hasil semaian benih serta beberapa tanaman lain.
Jojo memerhatikan kami pergi pada petang hari Rabu. Rasa sedih sebenarnya setiap kali terpaksa tinggalkan anak bulu dalam tempoh lama. Kalau anak manusia, boleh dibawa bersama. Sebelum pergi, berbakul nasihat saya buat Jojo.
▶ RABU, 15 OKTOBER 2025
Petang Rabu kami bertolak dari rumah Perlis. Dalam perjalanan, kami buat keputusan singgah bermalam di Ipoh, Perak. Saya buat carian hotel dengan ciri-ciri berikut - bilik bersih, kadar harga sederhana, ada tempat parkir khas hotel dan lokasi tak jauh dari exit tol.
Sekitar pukul 9 malam kami mendaftar masuk di MH Hotel. Terdapat pilihan parkir kenderaan di luar bangunan atau dalam bangunan - parkir bertingkat.
Penginapan kami - Superior Queen Bed tanpa tingkap dengan harga sekitar RM150. Ruang bilik kecil tapi masih muat untuk solat berjemaah. Tahap kebersihan sederhana - belum cukup memuaskan tapi tidaklah teruk. Masih selesa untuk sekadar tidur satu malam.
Harga bilik sudah termasuk bufet sarapan pagi tapi kami tak bersarapan di sini. Puncanya - semasa membuat carian berkenaan MH Hotel, saya dapati status halal telah pun ditarik balik.
▶ KHAMIS, 16 OKTOBER 2025
Seawal pukul 7.30 pagi kami mendaftar keluar hotel. Cantik pemandangan pagi dari aras dua parkir MH Hotel - puncak bukit batu kapur nampak berbalam diselubungi kabus pagi.
Dari Ipoh, kami menuju ke Gombak, Selangor. Selesai urusan Encik Suami di Gombak, perjalanan diteruskan ke Bentong, Pahang pula. Sebelum tiba di destinasi, kami singgah makan di Lemang To’ki.
Suatu masa dulu, tempat ini kerap kami singgah bila Encik Suami ada urusan kerja di Kuala Lipis. Alhamdulillah rasa lemangnya masih sedap lembut berlemak macam dulu.
Saya beli juga gula kabung, pencicah air asam dan sambal hitam yang dijual di sini.
Lewat malamnya - kami mendaftar masuk di The Everly Putrajaya Hotel, Putrajaya. Bilik penginapan kami jenis Deluxe Twin di aras 2.
Semua dalam keadaan memuaskan, cukup selesa untuk kami menginap selama dua malam.
▶ JUMAAT, 17 OKTOBER 2025
Siang esoknya, barulah nampak pemandangan indah dari jendela penginapan kami.
Selepas Encik Suami pergi kerja, saya keluar untuk aktiviti morning walk. Pengalaman kali pertama beriadah di Jejak Sisiran 1 - Putrajaya City Trail yang seronok! InsyaAllah catatannya di entri khusus.
▶ SABTU, 18 OKTOBER 2025
Seawal pukul 7.30 pagi, kami bertolak ke kampung halaman saya di daerah paling selatan Semenanjung Malaysia. Aliran trafik sesak, maklum saja cuti hujung minggu bersambung dengan cuti perayaan Deepavali. Hentian R&R penuh dengan lautan manusia.
Pukul 2.30 petang, kami tiba di Pontian, Johor. Foto di atas - jambatan di bandar Pontian yang sudah bertahun lama masih belum siap dibina.
Alhamdulillah keadaan kesihatan Mak semakin membaik walau masih tak mampu mengurus diri. Buat masa ini Mak masih menjalani fisioterapi dua kali seminggu bagi mengurangkan kesan masalah Scoliosis.
▶ AHAD, 19 OKTOBER 2025
Hari Ahad tengah hari kami tiba di kampung halaman Encik Suami di Batu Pahat, Johor.
Makan malam bersama Mak dan adik ipar sekeluarga di Restoran Nusrah, Tongkang Pechah. Ada gerai menjual sate di sini, harganya RM1.10 secucuk. Sedap rasa perapan rempah sate dan isi ayamnya lembut berjus. Kalau sate dagingnya pula, ada bahagian yang liat tak boleh dikunyah.
▶ ISNIN, 20 OKTOBER 2025
Seawal pukul 7.20 pagi kami memulakan perjalanan untuk kembali ke rumah kami di negeri paling utara. Alhamdulillah aliran trafik lancar sehingga kami tiba di Nilai, Negeri Sembilan.
Kami singgah di Nilai untuk sarapan pagi di Salomak Sampodeh dan membeli stok makanan frozen di Seehat Store. Sejak dari dulu (sewaktu kami menetap di Nilai) memang inilah kedai tempat kami membeli pelbagai jenis makanan frozen. Ada banyak pilihan dan banyak yang sesuai dengan selera kami. Setiap kali berkesempatan, kami pasti singgah di sini.
Paling banyak dibeli - keropok lekor Kepok Ikan Ssaje buatan Terengganu dan popia Otak-Otak Kempas buatan Johor.
Perjalanan menuju ke utara tanah air tidak begitu lancar disebabkan hujan berterusan - kadang gerimis, kadang hujan lebat. Tapi sempat jugalah kami singgah makan di dua tempat - Eryna Sup Darat, Tapah dan Richiamo, Changlun.
Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah kira-kira pukul 8 malam.
No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****