CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025
Sambungan catatan terdahulu —> Perjalanan dari Kunming ke Lincang Dengan Tren CRH D8110
Semasa di Lincang, kami menginap di Rayzen Hotel - sebuah hotel yang terletak di daerah Lin Xiang. Kami mendaftar masuk pada waktu malam, setelah selesai urusan kerja Encik Suami.
Ruang lobi hotel luas dan lapang. Juga tak kelihatan tetamu hotel yang lain, kecuali kumpulan kami seramai lima orang. Urusan daftar masuk hotel berjalan lancar dan pantas.
Bilik penginapan kami. Cantik, bersih dan kemas. Tapi ada satu benda perlu yang tak disediakan - tiada cermin dalam bilik ini. Nak bersiap kena guna cermin dalam bilik air 😄
Lega rasanya bila dapat katil dengan tilam dan bantal yang empuk, maklum saja malam sebelumnya kami berada dalam penerbangan. Malam ini dapatlah kami tidur dengan selesa, memulihkan badan yang keletihan.
Dalam almari tersedia bathrobe, itu benda biasa. Tapi yang agak luar kebiasaan - sekaki payung turut disediakan.
Benda paling menarik perhatian saya - tersedia satu set hidangan teh di atas meja.
Cantik warnanya dan comel saiznya. Nampak macam hiasan, tapi…
Eh, ada daun teh! Kalaulah saya ada masa untuk bersantai dalam bilik, tentu saya tak melepaskan peluang mencuba teh yang disediakan. Sayang sekali, keberadaan kami di sini sekadar untuk berehat seketika sebelum mendaftar keluar pada awal pagi esok.
Info | Lincang terkenal sebagai pusat penghasilan teh berkualiti tinggi, khususnya teh Pu’er.
Bilik air luas selesa, semua berfungsi baik. Tapi macam biasalah - tiada paip air untuk bersuci.
Keperluan mandian di sediakan dalam botol besar, puas hati guna. Barang keperluan peribadi pula diletak kemas dalam sebuah kotak kayu di sudut bilik mandi.
Ruang mandi luas dan bersih selesa.
Suasana malam dari jendela bilik penginapan kami - tenang tetapi ceria dengan cahaya lampu. Saya dapati, pada waktu malam rata-rata bangunan di sini dihiasi dengan lampu yang bertukar-tukar warna.
Esok harinya, kami berkumpul sekitar pukul 7 pagi di lobi hotel bagi meneruskan perjalanan. Sementara menunggu yang lain tiba, saya keluar berjalan-jalan memerhati sekitar hotel. Sempatlah saya memotret itu ini sebagai kenangan. Foto di atas - bangunan Rayzen Hotel.
Bentuk muka bumi Lincang berbukit dan di kelilingi pergunungan. Cuaca di sini nyaman, sesuailah dengan kegiatan ekonomi utama mereka iaitu pertanian. Ketika ini suhu rendah 16℃, tiada tiupan angin jadinya tidaklah rasa terlalu sejuk.
Nampak bunga raya terus teringat negara sendiri 🇲🇾
Mrs. A pun tertarik dengan set minuman tu comel dan menyerlah warnanya.
ReplyDeleteAduh! nampak katil tu kalau dah penat memang lena terus