Showing posts with label Limau Bali Sunkist. Show all posts
Showing posts with label Limau Bali Sunkist. Show all posts

Monday, 13 October 2025

Menuai Buah Limau Bali Sunkist dan Buah Limau Kasturi

Catatan Hari Ahad, 5 Oktober 2025.

Cuaca redup di petang hari hujung minggu, sesuailah untuk Encik Suami melakukan kerja-kerja menuai buah limau bali sunkist dan buah limau kasturi yang sedang berbuah lebat di rumah kami. Tugas saya pula - tukang merakam memori 😁


▶ MENUAI BUAH LIMAU BALI SUNKIST
Jika tahun lepas kami mula menuai buah dalam kuantiti banyak dari pokok limau bali sunkist ini pada pertengahan bulan November, nampaknya tahun ini lebih awal iaitu pada awal bulan Oktober. 

Pokok limau bali sunkist bukanlah jenis buah bermusim, tetapi pada masa lain buah yang ada tidaklah lebat seperti sekarang. Setakat sebiji dua tu saya petik sendiri je, tapi kalau buahnya lebat begini memang jadi tugas Encik Suami.

Limau Bali Sunkist
Hanya buah yang matang akan dituai, iaitu buah yang sudah bertukar warna hijau muda dengan sedikit warna kekuningan. Buah dalam foto di atas masih belum sesuai dituai, kita tinggalkan dulu untuk tuaian akan datang.

Limau Bali Sunkist
Hasil sekali tuai, dapat 100 biji buah limau bali sunkist. Alhamdulillah!

Limau Bali Sunkist
Anggaran saiz sebiji buah limau bali sunkist.



▶ MENUAI BUAH LIMAU KASTURI
Selesai menuai buah limau bali sunkist, Encik Suami menuai buah limau kasturi pula. Pokoknya terletak sederet dengan pokok limau bali sunkist tadi.

Ada tiga batang pokok limau kasturi, tetapi hanya sepokok yang berbuah sangat lebat dengan saiz pokok sederhana tinggi. Lagi dua batang pokok - sepokok kurus tinggi dan sepokok lagi rendah, buahnya ada tetapi tak lebat. 

Limau Kasturi
Agak terlambat dituai, banyak juga yang sudah bertukar warna kuning dan gugur ke tanah.

Limau Kasturi
Lebat buahnya.

Limau Kasturi
Hasil tuaian kali ini. Masih banyak lagi yang belum dituai.

Limau Kasturi
Buahnya bersaiz besar dan banyak jusnya.

Hasil tuaian buah limau bali sunkist dan buah limau kasturi ini kami beri kepada jiran dan kawan di tempat kerja Encik Suami. Ramai yang suka dan mahu lagi, mereka datang petik sendiri.

Alhamdulillah…rasa seronok dapat berkongsi rezeki dari Allah walaupun pokok-pokok ini bukanlah kami yang menanam. Pokok-pokok ini juga tidak diberi baja dan saya hanya menyiramnya sesekali jika sudah lama tiada hujan turun. Ada masanya Encik Suami akan buat kerja pemangkasan dahan untuk menggalakkan pertumbuhan pokok yang sihat dan supaya pokok tidak terlalu tinggi.







Wednesday, 27 November 2024

Pokok Limau Bali Sunkist Berbuah Lebat

HUJAN TANPA HENTI
Sejak semalam 26 November - hari Selasa pagi, di tempat saya hujan turun tanpa henti. Ada kala lebat, ada kala gerimis. Ketika ini suhu 24℃, suasana nyaman dan sejuk. Air paip pun terasa sungguh sejuk!

Ada beberapa kawasan di Perlis sudah pun dinaiki air. Situasi yang sama juga berlaku di beberapa negeri lain, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Semoga semua pihak yang terjejas dengan situasi hujan tanpa henti ini berada dalam keadaan selamat.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat.


POKOK LIMAU BALI SUNKIST BERBUAH LEBAT
Rezeki berpindah ke rumah Perlis, di sekeliling rumah kami sudah ada tanaman pelbagai jenis pokok. Penghuni terdahulu minat menanam pokok, antaranya pokok limau bali sunkist yang di tanam di bahagian hadapan rumah.

Pokok limau bali sunkist sentiasa berbuah kerana ia bukan jenis buah bermusim. Tetapi kali ini, pokoknya berbuah lebat - ini berdasarkan pemerhatian saya sejak berpindah ke sini setahun lalu.

Limau Bali Sunkist
Bergantungan buah limau bali sunkist yang menanti untuk dipetik.

Limau Bali Sunkist
Ini antara buah limau bali sunkist yang bersaiz besar. Buah matang dan sesuai dipetik apabila kulitnya yang berwarna hijau tua bertukar ke hijau muda dengan sedikit warna kekuningan.

Encik Suami buat kerja-kerja memetik buah, saya pula jadi tukang merakam foto untuk kenangan akan datang. Sesekali saya membantu juga bila Encik Suami perlu memanjat tangga untuk petik buah yang berada pada kedudukan tinggi.

Limau Bali Sunkist
Eh…baru saya perasan ada sarang burung!

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 13 November lalu. Penuh satu baldi dan satu besen besar. Masih banyak lagi buah di pokok, sambung hari lain pula.

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 16 November lalu. Juga penuh satu baldi dan satu besen besar. Dalam foto di atas, nampak isi baldi tak penuh sebab sebahagian buah dialih ke besen sebelahnya.

Limau Bali Sunkist
Saya poskan juga sedikit untuk Mak di Johor dan keluarga kakak di Melaka. Mak dan kakak teringin nak merasa bila saya WhatsApp tunjuk hasil tuaian yang banyak tu 😀. Untuk rekod - satu kotak berisi 6 biji buah dengan berat 1.55 kg dan satu kotak lagi berisi 10 biji buah dengan berat 2.8 kg. Alhamdulillah penghantaran pantas oleh PosLaju - pos hari ini, lusa sampai ke Johor dan Melaka.

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 24 November lalu. Dapatlah penuh satu baldi ni - semuanya 36 biji. Tinggal sedikit saja lagi buahnya di pokok, tak dapat nak petik sebab berada pada kedudukan tinggi dan mengarah ke lereng bukit.

Limau Bali Sunkist
Isi buah limau bali sunkist seakan-akan isi buah limau bali, rasanya juga hampir serupa. Bezanya, saiz buah lebih kecil seperti buah limau sunkist. Mungkin sebab itulah nama buah limau ini - limau bali sunkist.

Rasanya manis - cuma tahap manis tu berbeza antara buah. Yang pasti setakat ini, belum ada yang rasa masam atau tawar. Selain dimakan terus, boleh juga diperah untuk minum jusnya. Encik Suami rajin memerah buah limau guna alat pemerah tangan, sebiji buah ni dapatlah anggaran 120 ml jus limau. Sekali perah guna dua biji limau barulah puas minum.

Alhamdulillah, hasil tuaian kali ni ramai yang dapat merasa - jiran-jiran, kawan-kawan kerja Encik Suami dan keluarga. Ada juga yang bertanya lagi sebab sedap katanya.