Saturday 29 June 2024

Taman Negara Bako - Eksplorasi Alam Semula Jadi Bermula!

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Kedua | Sabtu, 18 Mei 2024]

Inilah tujuan utama kunjungan kami ke Kuching - mahu meneroka keindahan alam semula jadi di Taman Negara Bako. Kami juga memilih untuk menginap satu malam di dalam kawasan taman negara, dapatlah kami lebih masa bagi meneroka tempat ini secara santai dan ikut serta dalam aktiviti ‘night walk’.


INFO RINGKAS TAMAN NEGARA BAKO
  • Taman negara paling kecil dan tertua di Sarawak, diwartakan pada tahun 1957.
  • Mempunyai tujuh jenis hutan dalam sebuah taman negara iaitu hutan pantai, paya, bakau, bukit, kerangas, gunung dan batu kapur.
  • Terdapat pelbagai jenis haiwan liar seperti babi berjanggut (bearded pig), monyet belanda (proboscis monkey) dan kubung (flying lemur).
  • Menawarkan banyak pilihan laluan hutan untuk pengunjung melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Semasa kunjungan kami, terdapat tujuh laluan yang dibuka kepada pengunjung.
  • Terdapat penginapan dalam taman negara dengan pilihan penginapan jenis chalet, lodge, asrama & tapak perkhemahan.
  • Untuk ke taman negara (Park HQ), pengunjung perlu menaiki bot di Terminal Bako.
Untuk info lanjut, sila layari laman sarawakforestry.com.


Peta Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Peta kedudukan Taman Negara Bako (dalam kawasan berwarna merah putih). Untuk ke taman negara (Park HQ), kita perlu menaiki bot di jeti Terminal Bako (kawasan bertanda anak panah putih).

Kedudukan jeti Terminal Bako di muara sungai Kampung Bako.


SARAPAN PAGI DI KOPI O CORNER
Sebelum memulakan perjalanan ke Taman Negara Bako, kami bersarapan di restoran Kopi O Corner yang terletak di Jalan Satok.

Kopi O Corner
Hidangan pagi kami pada hari kedua di Kuching - laksa Sarawak dan set bubur ayam. Kami beli juga sebungkus mi goreng sebagai bekalan.


PERJALANAN KE TERMINAL BAKO
Dengan berpandukan aplikasi Google Maps, kami menuju ke Terminal Bako di Kampung Bako dengan jarak 28 km dan mengambil masa kira-kira 35 minit. Pemanduan lancar dan mudah tanpa sebarang masalah.

Laluan redup di bawah kanopi pokok di Jalan Bako.


TERMINAL BAKO
Suasana di tepi jalan Kampung Bako kelihatan meriah dengan aktiviti jual beli, mungkin ada pasar pagi. Sebaik melepasi kesibukan orang ramai, kereta kami tiba di sebuah kawasan berpagar - Terminal Bako.

Terminal Bako
9.28 pagi
Kawasan parkir percuma di Terminal Bako. Kami tinggalkan kereta satu malam di sini.

Terminal Bako
Bangunan Terminal Bako. Terminal Bako beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Dalam bangunan ini ada tandas, surau dan gerai makan. Tandasnya berkeadaan memuaskan dan masakan di gerai makan memenuhi selera saya. Surau je saya tak masuk/gunakan.

Terminal Bako
Kami menuju ke kaunter tiket taman negara. Apabila tahu kami akan bermalam di taman negara, (tanpa tanya nama saya) petugas kaunter terus ambil borang ‘accommodation permit’ yang sudah bercetak dengan maklumat diri saya. Tempahan awal saya lakukan pada 23 April lalu melalui laman ebooking.sarawak.gov.my. Agaknya selain saya, tak ada pengunjung perempuan rakyat Malaysia yang membuat tempahan penginapan pada hari tersebut. 
TIKET | Harga tiket atau permit taman negara bagi warga negara - RM10 seorang dewasa. Kami diberi tiket dengan cetakan hitam putih pada kertas saiz A4, tapi dapat juga dalam bentuk soft copy yang dihantar melalui e-mel (foto di atas).

PENDAFTARAN | Pengunjung ke taman negara juga perlu mendaftar secara online di selfregister.sarawakforestry.com. Pendaftaran perlu di buat sebelum tiba di terminal jeti bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan talian internet. Pengunjung juga boleh mendaftar beberapa nama (ahli kumpulan) dengan satu pendaftaran sahaja. Selepas mendaftar, screenshot e-registration booking slip yang tertera kod QR dan tunjuk kepada petugas kaunter untuk diimbas.

BOT | Selesai urusan di kaunter taman negara, kami ke kaunter perkhidmatan bot. Terdapat dua pilihan pengendali bot, boleh pilih mana-mana pengendali. Kadar tambang yang ditawarkan sama sahaja iaitu RM100 satu bot bagi perjalanan sehala dengan muatan maksimum lima orang. Pengunjung perlu buat tempahan dan pembayaran untuk bot pergi dan balik dengan jumlah RM200.

Untuk penjimatan, boleh berkongsi bot dengan pengunjung lain tetapi mesti sama waktu pergi dan balik. Kami pula cuma berdua. Apa pilihan yang kami ada? Untuk perjalanan pergi, kami berkongsi bot dengan dua orang perempuan warga UK (United Kingdom). Kos RM100 bahagi empat orang, jadi RM25 seorang. Untuk perjalanan balik, kami berdua sahaja satu bot jadi kosnya RM50 seorang.

Total kos bot pergi balik kami bayar RM150 untuk dua orang. Tetapi masa baliknya berlaku satu hal yang membuatkan pengendali bot perlu kembalikan sebahagian bayaran kami. Itu nanti saya cerita di entri lain.

Oh ya, kadar tambang yang saya nyatakan di atas terpakai bagi perjalanan dari jeti Terminal Bako ke jeti Park HQ sahaja. Kadar tambang berbeza dikenakan jika kita nak bersiar-siar ke tempat tarikan lain (pantai-pantai) di taman negara. Saya lupa pulak nak ambil foto senarai tambangnya.

Seperkara lagi, pergerakan bot bergantung kepada waktu pasang surut air laut. Jadinya tidak ada masa yang tetap pada setiap hari untuk bot memulakan perjalanan.

Terminal Bako
Ketika ini hujan membasahi bumi Kampung Bako. Pengendali bot maklumkan kami perlu menunggu seketika sehingga hujan agak reda. Sementara menunggu, saya berjalan melihat-lihat jeti. Terpandang pula papan tanda amaran buaya, terselit juga rasa takut tapi kita berdoalah mohon perlindungan-Nya.

Di seberang sana, terdapat perkampungan.


MEREDAH HUJAN DAN OMBAK KUAT MENUJU KE TAMAN NEGARA BAKO (PARK HQ)
Pukul 10.35 pagi, hujan masih belum berhenti tetapi sudah pun beransur reda. Perjalanan menaiki bot pun bermula. Cuma tadi katanya naik bot empat orang penumpang (kami berdua dan dua orang perempuan warga UK), tapi rupanya berlima termasuk seorang lelaki yang menguruskan pembelian tiket bot kami tadi.

Selepas itu baru kami tahu, beliau juga menjadi pemandu pelancong bagi pengunjung warga UK tersebut. Eh, patutnya kos kena bahagi lima oranglah kan 🤔. Tapi masa ni kami tak terfikir pun hal ni sebab rasa teruja untuk memulakan sebuah pengembaraan alam.

Pergerakan bot bermula dari muara sungai menuju lautan. Keadaan permukaan air tenang, bot melaju dengan lancar meredah hujan. Walaupun tak lebat, tapi sebab gerakan laju bot maka basah jugaklah pakaian kami.

Bagus juga ada penumpang kelima yang duduk di hadapan sekali, beliau menawarkan diri untuk mengambil foto kami. Ada jugaklah rakaman memori kami naik bot ni.

Pemandangan indah Gunung Santubong. Eh, terus ternyanyi dalam hati - 🎶 Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, Penjaga gunung negeri Sarawak 🎶

Tak lama kemudian, pergerakan bot menjadi lebih mencabar. Bot terhentak-hentak melawan ombak laut yang agak kuat. Saya kukuhkan kedudukan kaki bagi mengimbangi badan sambil memeluk erat beg. Suasana yang kurang menyenangkan tapi saya rasa seronok melalui pengalaman baru.

Ketika ini juga, pemandangan sekitar bertambah mempesona dengan keindahan pantai dan batuan dengan bentuk unik (kesan hakisan angin dan ombak). Tapi hanya boleh dipandang tak boleh diambil foto atau video, sia-sia saja kalau telefon terjunam ke Laut China Selatan dek pergerakan bot yang terhentak-hentak. Bukan saya saja yang teruja, dua orang penumpang yang duduk di belakang pun nampak teruja menyaksikan keindahan alam di sini.

10.52 pagi
Alhamdulillah bot kami selamat tiba di jeti taman negara setelah kira-kira 15 minit perjalanan.

Taman Negara Bako
Papan tanda ‘Selamat Datang Ke Taman Negara Bako’ menyambut kami sebaik naik di jeti.

Taman Negara Bako
Dari jeti, kami perlu berjalan menuju ke bangunan Park HQ. Entah berapa ratus meter, tapi terasa jauh jugak berjalan. Masa ni hati saya sedang melonjak riang dan rasa tak sabar nak melakukan aktiviti eksplorasi hutan di sini. Baru berjalan begini pun saya dah cukup teruja memerhati sekitar. Semuanya indah di mata saya 🤩


Video berdurasi 1:14 minit sekitar perjalanan kami menuju ke Taman Negara Bako.


…bersambung…







8 comments:

  1. subhanaAllah.. mesti taman negara bako ni berkeluasan besar disebabkan mempunyai 7 jenis hutan.. taman negara kuala tahan pun saya blm lagi jejak, apatah lagi taman negara bako.. teringinnya!!

    ReplyDelete
  2. Hutannya sangat luas ya, banyak jenisnya juga, mana lagi habis hujan, tambah sejuk dan indah lihat hijau pepohonan, pasti seru berjalan di sini, menghirup udara yang bersih dan segar.

    ReplyDelete
  3. cantik nya jalan yg nak menuju bangunan Park HQ tu ye.

    ReplyDelete
  4. Sha suka betul kalau dapat lalu bawah kanopi pokok tu.. Kalau dekat Perak, area Taipin.. Melaka pun ada.. Pergh!! Vibes dia tu..

    ReplyDelete
  5. Ini kalau bawa anak-anak jelajah memang sukalah diorang.. Cantik tempatnya..

    ReplyDelete
  6. Bukan selalu dapat ke sini. Jadi baik bermalam di taman negara.

    ReplyDelete
  7. teringin sangat nak ke sarawak... tapi sampai sekarang tidak berkesempatan untuk pergi lagi.. huhu

    ReplyDelete
  8. wahhhh! Ana pun suka berjalan kalau kwsn kanopi kehijauan mcm ni!

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****