Sunday 16 June 2024

View Point Gunung Medan, Kangar

[Catatan Hari Sabtu, 8 Jun 2024]

Ketika ini mungkin ramai yang sedang sibuk di dapur bagi menyiapkan hidangan raya. Saya pulak tak begitu sibuk memasak sebab kami suami isteri tak pulang ke kampung halaman di Johor. InsyaAllah kami akan menyambut Hari Raya Aidiladha di Perlis buat kali pertama.

Berbalik kepada tajuk entri, hujung minggu lepas kami ke salah satu tempat menarik di Perlis iaitu View Point Gunung Medan yang terletak di Kangar. Walaupun namanya ‘Gunung Medan’, hakikatnya ia bukanlah tempat yang tinggi seperti gunung. Saya pun tak pasti berapa ketinggian sebenar tempat ini, Galaxy Watch saya merekodkan ketinggian 80 meter.

View Point Gunung Medan, Kangar
Laluan bertar menuju ke View Point Gunung Medan. Di sebelah kanan terdapat kawasan parkir yang agak luas dan juga kaunter (bagi sewaan glamping dan kenderaan shuttle). Berhampiran kawasan parkir juga terdapat kemudahan tandas.

Kita ada pilihan sama ada nak berjalan kaki atau menaiki kenderaan sendiri/shuttle untuk sampai ke atas. Kalau berjalan kaki macam kami ni agak penat jugaklah sebab laluan berbukit, tapi bagus sebagai aktiviti senaman. Kalau bawa kenderaan sendiri perlu ikut masa dibenarkan sahaja dan kalau nak naik kenderaan shuttle juga ada masa tertentu sahaja (sila rujuk foto terakhir).

View Point Gunung Medan, Kangar
Sampai bahagian atas, terdapat kawasan glamping di sebelah kanan.

View Point Gunung Medan, Kangar
Di sebelah kiri ada sebuah bangunan kaca dan juga deretan gerai jualan. Bangunan kaca tu merupakan sebuah kafe. Kami tak mencuba makanan/minuman di sini sebab tadi baru sahaja bersarapan sebelum datang ke sini.

View Point Gunung Medan, Kangar
Tamat laluan bertar, kita perlu mendaki anak tangga untuk menuju ke puncak. Sebelum ini saya tengok perkongsian orang, anak tangga ini berwarna-warni. Kali ini warna putih saja, mungkin ini cat asas sebelum dicat dengan warna baru.

View Point Gunung Medan, Kangar
Di sebelah kanan pendakian anak tangga, terdapat sebuah buaian untuk kita berfoto atau duduk bersantai menikmati pemandangan di bawah. Jangan risau, buaian ini tak boleh dihayun pun sebab dah ditambat dengan rantai besi.

View Point Gunung Medan, Kangar
Inilah menara tinjau di bahagian puncak yang menawarkan pemandangan 360°. Tentu cantik panorama di sini kalau kita datang sewaktu matahari terbit dan terbenam.

View Point Gunung Medan, Kangar
Eh, ada 360 Photo Booth! Saya tak pernah guna tapi tahulah kegunaan benda ni. Alang-alang dah ada stand, saya pinjam guna untuk kami foto berdua dengan berlatarkan pemandangan indah bukit-bukau dan hamparan sawah padi.

View Point Gunung Medan, Kangar
Pemandangan indah hamparan sawah padi. Rasa tenang dapat lihat pemandangan begini. Ketika ini di Perlis, orang sudah mula menanam padi. Alhamdulillah juga cuaca pagi ini cukup selesa - tak terlalu panas seperti selalunya. Sesuailah untuk kami bersantai di atas menara ni.

Walaupun menara tinjau ini menawarkan pemandangan dengan sudut 360°, tetapi pokok-pokok tinggi menghalang pemandangan. Bukanlah perlu tebang bersihkan semuanya ya, tapi cukuplah sekadar pengunjung dapat menyaksikan panorama sekeliling yang terbentang indah.

View Point Gunung Medan, Kangar
Perkara lain yang menarik perhatian saya - punching bag di bawah menara tinjau, bunga warna merah cantik di tepi laluan tar (carian mendapati namanya pokok Cratoxylum cochinchinense juga dikenali Derum Selunchor atau Kemutong) dan keunikan batang pokok di kawasan puncak.

View Point Gunung Medan, Kangar
Nak tahu info lanjut berkenaan sewaan glamping, kafe dan lain-lain, sila klik foto di atas untuk paparan lebih jelas.

Kalau kalian berkunjung ke Kangar dan nak menyaksikan pemandangan Kangar dari tempat tinggi, bolehlah datang ke View Point Gunung Medan. Jarak pendakian dari laluan tar hingga tiba di menara tinjau cuma kira-kira 500 meter. Tak jauh dan tak terlalu tinggi tapi tetap terasa penat ya πŸ˜„

Jalan masuk menuju ke tempat ini pula cuma sesuai untuk laluan sebuah kenderaan, jadinya kena berhati-hati bila berselisih dengan kenderaan lain.



Video berdurasi 0:57 minit.







7 comments:

  1. Cantiknya view sedap mata memandang.

    ReplyDelete
  2. Masyaa Allah....
    indah ciptaan Ilahi😍

    ReplyDelete
  3. Dekat sangat dengan rumah CCL ni ... Selalu briskwalk jer nak ke sana .. ehh CCL taktau pulak ada 360 photo booth ni ..mybe baru lagi kot .

    ReplyDelete
  4. Ini bagusnya kalau dapat buat rutin senaman hari-hari. Tempat cantik dan kalau penat boleh rehat dan minum/makan sebelum balik.

    ReplyDelete
  5. Best tgk suasana yang tenang di Gunung Medan ni :D

    ReplyDelete
  6. Photo 360 itu pastilah suami saya yg happy sangat pakai 🀣🀣. Dia memang hobi berfoto πŸ˜‚.

    Unik juga punching bag digantung di sana ya kak πŸ˜„. Ada ke yg benar2 latihan tinju di sana πŸ˜…

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****