Tuesday 18 June 2024

Catatan Aidiladha 1445H / 2024M

Jika tahun lepas, saya dan Encik Suami merasai pengalaman baru dengan menyambut Hari Raya Aidiladha di negara jiran iaitu di Bangkok, Thailand. Tahun ini pula kami meraikan Aidiladha buat kali pertama di negeri Perlis. 


SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA
Uniknya di negeri ini, solat Aidiladha digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang. Ia bersesuaian dengan sunnah Rasulullah SAW iaitu mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang.

Hari Jumaat lepas, Encik Suami balik dari masjid (untuk solat Jumaat) membawa pesanan dari pengurusan masjid berkenaan solat Aidiladha iaitu solat bermula pukul 7.45 pagi di dataran masjid dan perlu bawa sejadah sendiri. Sekiranya solat tak dapat dilakukan di dataran, maka solat dalam masjid akan bermula pada pukul 8 pagi.

Isnin, 17 Jun 2024 / 10 Zulhijjah 1445
Kami tiba di Masjid al-Husna, Batu Bertangkup pada pukul 7.45 pagi. Inilah masjid yang paling hampir dengan kediaman kami, iaitu kurang 6 km dari rumah.

Memandangkan sejak malam tadi hujan lebat di kawasan kami dan cuaca mendung pada pagi tersebut, maka solat raya dilakukan dalam masjid. Nampaknya tak dapatlah saya merasa pengalaman solat raya di dataran masjid.

Solat Hari Raya Aidiladha bermula kira-kira pukul 8 pagi dan diikuti dengan khutbah raya yang bertajuk ‘Tiada Agama Tanpa Pengorbanan’. 30 minit kemudian semuanya selesai dan jemaah bersalam-salaman sebelum beredar meninggalkan masjid.

Sedikit perbezaan yang saya perasan, di sini tiada alunan selawat ketika kita bersalaman seperti pengalaman biasa saya sewaktu solat raya di Johor. Hasil carian saya menemukan penjelasan berkenaan hal ini, kalau nak tahu bolehlah KLIK DI SINI.

Syukur ke hadrat Allah, terdapat dua kegembiraan buat saya pada hari ini - iaitu berpeluang menunaikan solat Aidiladha di masjid dan rezeki bertambahnya usia saya. Lagi beberapa tahun masuk ke angka ‘5’ pula. Moga saya mampu menjalani hidup dalam redha Allah 💙


HIDANG RAYA YANG RINGKAS
Kami raya berdua saja, sama seperti pengalaman raya ketika pandemik dulu. Jadinya saya masak yang ringkas sajalah. Ketupat segera, daging kambing masak sate dan sambal kacang menjadi hidangan pagi raya kami.

Saya masak lebih sedikit, buat dua set hidangan seperti dalam foto di atas untuk diberi kepada jiran terdekat. Ketupat segera tu terpaksa saya beri dalam bentuk potongan sebab ketupat segera yang dimasak rupa kurang elok, gara-gara saya terlebih masukkan dalam pressure cooker. Daging kambing masak sate tu pulak jadi berminyak banyak walaupun proses memasaknya saya cuma guna sedikit saja minyak, mungkin itu minyak yang terhasil daripada lemak kambing. Dah elak cedok minyak tapi termasuk jugak, biar sajalah 😄


IKEA BATU KAWAN, PULAU PINANG
Memandangkan kami tak ada rancangan tertentu, kami ambil keputusan untuk ‘jalan-jalan raya’ ke IKEA. Ada satu barang yang kami nak return sebab tak jadi guna dan ada beberapa barang perlu dibeli. Kami bergerak menuju ke Pulau Pinang kira-kira pukul 11 pagi dalam suasana mendung dan hujan turun di beberapa tempat.

Di Plaza Tol Jitra, tak banyak kenderaan. Mungkin masing-masing sedang menyambut raya bersama keluarga di kampung.

Di IKEA, ramai juga yang sama seperti kami - ‘jalan-jalan raya’ di sini 😁. Masing-masing berbaju raya sekeluarga. Kami pula dah bertukar pakaian biasa saja.

Sedang berlangsung sale di IKEA dan ada tambahan diskaun 10% untuk ahli.

Saya beli empat jenis pokok, semuanya dengan harga diskaun. Paling murah RM4.05 dan paling mahal RM8. Pokok pandan pun saya beli jugak, mudah nak memasak bila ada pokok di rumah.


Ini sajalah kisah hari raya saya pada tahun ini. Walaupun ringkas tetap saya catat di blog sebagai kenangan hidup.







19 comments:

  1. Semua ni akan jadi kenangan jadi kita tulis & simpan saja di blog :D

    Rindu pulak dgn Plaza Tol Jitra tu ☺️
    Selamat Hari Raya Aidil Adha ye PU.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, menulis supaya kekal dalam memori.

      Hilangkanlah rindu tu PH ☺️

      Delete
  2. Salam Aidiladha kak..Whoa..Happy Birthday..Semoga terus diberkati Allah.. Ringkas tapi bermakna..So kena simpan jugak kenangan tu .hehe

    ReplyDelete
  3. Selamat Hari Raya Aidil Adha PU
    Tadi dah komen, x sure masuk ke tidak hehe ...

    ReplyDelete
  4. Taqabbalallahu minna waminkum.
    Salam Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

    Sanah Helwah. Moga sentiasa sihat, murah rezeki dan dirahmati Allah.

    ReplyDelete
  5. Birthday Kak Ujie jatuh Hari Raya Aidiladha ye? Selamat Hari Raya dan Selamat Ulangtahun Kak Ujie, semoga diberikan kesihatan yg baik, dipanjangkan usia dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT 🤲🏻

    ReplyDelete
  6. Wah...menarik solat di kawasan lapang mengikut sunnah..
    Kalau dah nama kambing,pada saya tetap terbaik rasanya...
    Selamat Ahri Raya Aidil Adha Unie

    ReplyDelete
  7. Salam Aidiladha . Raya korban kat perlis ehh

    ReplyDelete
  8. Selamat hari raya Aidil Adha dan selamat harijadi terlewat 😄
    Teringat pasal minyak itu, masa raya korban, makan sup yang banyak lemak hasil daripada rebus daging juga.
    Beraya di IKEA ya.

    ReplyDelete
  9. Salam Aidiladha.. Allahu rindu nya nak balik Perlis...

    ReplyDelete
  10. Terkadang ingin juga nak raya di negara orang. Tapi tuh lah, kalo raya memang tak bisa Krn asisten rumah saya cuti. Jadi kalo saya pergi juga, tak ada yg jaga anak2 bulu 😅

    Waaah kak ujie birthday juga raya kemarin 🤗👍. Semoga semakin berkah usianya, dan sehat juga dilancarkan rezeki kakak yaa 🤗

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****