Friday, 1 July 2022

Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan


Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan
Judul : BUYA HAMKA BERBICARA TENTANG PEREMPUAN
Penulis : Buya Hamka
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan pertama 2021
Jumlah halaman : 156

Naskhah Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan yang ada pada saya ini merupakan terbitan semula oleh penerbit di Malaysia, iaitu Jejak Tarbiah. Penulisan oleh Buya Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) ini bukanlah sebuah naskhah yang membicarakan tentang sifat-sifat perempuan. Ia juga bukan penulisan yang semata-mata ditujukan buat perempuan. Tetapi ia sebuah naskhah yang membicarakan hak dan kedudukan perempuan di dalam Islam. Di mana sebelum kedatangan Islam, kedudukan perempuan dianggap rendah dan tiada hak berbanding lelaki.

Naskhah ini hanya setebal 156 halaman dengan 16 bab, tetapi bagi saya ianya cukup lengkap dan padat dalam membicarakan hak perempuan dan bagaimana Islam telah mengangkat darjat perempuan sama seperti lelaki.

Saya kongsikan sebahagian poin penting di dalam naskhah ini :
  1. Lelaki dan perempuan berasal dari kejadian yang satu, apa yang membezakan setiap manusia itu adalah takwa kepada Allah.
  2. Lelaki dan perempuan sama tugasnya dalam menegakkan Islam - amar makruf nahi mungkar.
  3. Lelaki dilihat seperti mendapat kelebihan pahala kerana kewajiban seorang lelaki untuk keluar berjihad dan menunaikan solat Jumaat, tetapi sesungguhnya seorang perempuan yang taat serta mengamalkan apa yang Allah reda maka nilainya mengimbangi segala kelebihan yang ada pada lelaki. Ini kerana meskipun lelaki dan perempuan mempunyai hak yang sama, tetapi tugas adalah berbeza sesuai fizikal keduanya.
  4. Sebelum berkahwin, perempuan boleh membuat syarat-syarat terlebih dahulu yang mesti dipenuhi oleh bakal suaminya jika mereka berkahwin dengan meminta taklik talak.
  5. Perempuan tidak hilang hak dan peribadinya walaupun telah berkahwin - tidak perlu menghapus nama ayahnya dan ditukar kepada nama suaminya, juga mempunyai kebebasan hak ke atas harta sendiri (malah boleh mengeluarkan zakat kepada suaminya jika suami itu termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat).
  6. Sesuai dengan fizikal lelaki yang lebih kuat, maka sewajarnya lelaki menjadi pemimpin juga pembela kepada perempuan - suami bertanggungjawab keluar mencari belanja sara hidup keluarga dan isteri bertanggungjawab menjaga harta yang ada di dalam rumah.
  7. Lelaki mendapat pembahagian warisan yang lebih berbanding perempuan adalah kerana lelaki bertanggungjawab memimpin juga membela perempuan. Maka sebahagian besar bahagian warisan yang diterimanya itu akan digunakan untuk tujuan tersebut. Walaupun lelaki menolak pembahagian untuknya, tanggungjawab tersebut tidak gugur.
  8. Jika berlaku perselisihan dalam rumahtangga, lelaki dan perempuan sama-sama mempunyai hak melantik hakam (orang tengah / pendamai). Ini menjelaskan bahawa hak isteri untuk dibela adalah sama dengan hak suami.

Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan
Isi buku Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan.

Buya Hamka juga menyatakan apa itu maksud lelaki sebagai pemimpin perempuan. Memetik kata-kata beliau :

Qauwwamuna bererti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. Memujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu mencukupkan apa keperluannya, kainnya, bajunya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas laki-laki untuk membela perempuan. Ertinya menurut kekuatan dan kemampuan si laki-laki. - halaman 114

Seterusnya, Buya Hamka menyebut tentang ciri-ciri perempuan yang dianggap baik oleh Allah, iaitu perempuan solehah. Memetik kata-kata Buya Hamka :

Dia ialah perempuan taat, yang sedar diri, yang tahu sampai di batas mana dia harus berjalan. Iaitu perempuan yang memelihara hal-hal yang tersembunyi. - halaman 115

Jelas sekali, naskhah ini walaupun berkisar tentang hak dan kedudukan perempuan tetapi yang patut membacanya adalah kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan. Supaya lelaki tahu menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dan perempuan pula tahu apa hak dirinya. Dengan itu masing-masing boleh saling menghargai dan hidup harmoni sesuai dengan tujuan penciptaan lelaki dan perempuan untuk saling melengkapi.

Naskhah ini juga telah memberi penjelasan berkenaan beberapa persoalan yang pernah bermain dalam fikiran saya. Disebabkan itu, proses pembacaan menjadi lebih seronok. Walaupun bahasa penulisan naskhah ini bukanlah sepenuhnya bahasa Melayu yang kita gunakan pada hari ini, tetapi tidaklah begitu jauh berbeza sehingga mengganggu tumpuan. Di akhir penulisan juga ada disebut bahawa judul asal buku ini adalah ‘Kedudukan Perempuan Dalam Islam’ (hasil carian saya mendapati naskhah dengan judul ini telah diterbitkan buat kali pertama pada awal tahun 70-an).

Saya kongsikan pesanan penting daripada Buya Hamka di dalam buku ini :
Kalau terdapat pertikaian yang tidak selesai dalam masyarakat Islam yang masih jahil dalam hukum-hukum agama, bukanlah kerana Islam tidak memberikan hak bagi wanita, melainkan kejahilan umatnyalah yang menjadi penghalang. - halaman 154





16 comments:

  1. cantik cover buku ni, pengisiannya pun bagus. Thanks for sharing :)

    ReplyDelete
  2. Bagus tahu hal dan tanggungjawab wanita. Kesamaan tidak bererti memikul tanggungjawab yang sama.

    ReplyDelete
  3. ada beli buku karya Hamka di PBAKL tapi belum berkesempatan nak membaca

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa judulnya tu Ammi?
      Seronok dapat membeli di PBAKL.

      Delete
  4. wah...mantap ulasan awak tentang buku ini...buku yang saya lepas review pulak tentang wanita

    ReplyDelete
  5. Mulianya wanita dalam Islam. Syukur sangat

    ReplyDelete
  6. Byk sgt pertikaian ttg hak wanita di med sos skrg esp hak wanita yg sdg dibicarakan di mahkamah... kalau jenis yg baca headline saja mmg boleh jd bersangka buruk dh... bahaya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Mim. Kalau tak tahu, lebih baik diam.

      Delete
  7. menarik sangat, kita sebagai orang perempuan boleh tambah ilmu.

    ReplyDelete
  8. Bagus perkongsian Ujie ini.
    Saya sangat kagum dengan hasil tulisan HAMKA. Cara olahannya mudah difahami.

    ReplyDelete
  9. Cover bukunya macam klasik, isinya pula sangat bermanfaat tambah ilmu.

    ReplyDelete
  10. Suka saya baca review Ujie tentang buku ni. Terima kasih juga, share intipati penting, buat info kami.

    ReplyDelete
  11. bagus sekali mengupas hak2 wanita Islam mostly dalam isu perkahwinan...Islam itu lengkap...kita kena menggali ilmu..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****