Thursday, 21 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Gua Buaya & Gua Kelawar

Sambungan entri INI

Encik Mahadi membawa bot kami keluar dari kawasan hutan bakau untuk ke lokasi seterusnya, iaitu Gua Buaya. Eh, ada buayakah?

Kilim Geoforest Park
Perjalanan yang mempesona, bot sedang melalui celahan tebing bukit batu kapur.

Langkawi Mangrove Tour
Di sepanjang perjalanan, pandangan mata saya terpukau dengan keunikan landskap batu kapur di sini. Sungguh saya tak sangka bahawa Langkawi menyimpan khazanah alam seindah begini. Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan alam ini.


GUA BUAYA

Saya sangkakan kami perlu berjalan kaki masuk ke gua. Rupa-rupanya, kita duduk je di dalam bot dan bot akan masuk ke dalam gua.

Langkawi Mangrove Tour
Pintu masuk Gua Buaya.
Pengalaman yang belum pernah saya lalui - masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Laluan yang sempit.
Laluan dalam gua ni agak sempit, memang menguji kecekapan pemandu bot untuk bergerak. Gua ini bukan sentiasa boleh kita masuk ya, bergantung kepada paras air. Macam sekarang ni air surut, bolehlah bot lalu. Dalam gua ni dapatlah kita perhatikan formasi batuan. Saya nampak ada stalaktit saiz kecil.

Sekejap je kita berada dalam ni, sekitar beberapa minit. Macam lalu terowong pendek. Bolehlah buat ambil pengalaman masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Batu kapur berbentuk buaya, itulah asal nama Gua Buaya.
Sebaik saja keluar dari gua, Encik Mahadi menunjukkan kepada kami formasi batuan berbentuk buaya. Jadi, itulah asal nama Gua Buaya. Tak ada buaya pun ya. Hehe. Kalau ada buaya, siapa pula berani nak datang sini kan?

Seterusnya, kami dibawa ke Gua Kelawar pula…


GUA KELAWAR

Langkawi Mangrove Tour
Jeti ke Gua Kelawar
Gua Kelawar ni terletak di kaki bukit. Sekelilingnya adalah hutan paya bakau. Manakala pintu Gua Kelawar pula menghadap Sungai Kilim. Inilah keunikan Kilim, adanya ekosistem paya bakau di perbukitan batu kapur.

Bot kami berhenti di jeti ini. Encik Mahadi menurunkan kami semua dan bot beredar ke tempat lain. Di sini kita bebas meneroka tanpa jurupandu lawatan. Di atas ni ada kaunter, perlu bayar RM2 seorang untuk masuk ke Gua Kelawar. Rupanya bayaran masuk gua ni tidak termasuk dalam pakej lawatan. Dalam Gua Kelawar ni sangat gelap, jadinya ada disediakan lampu suluh untuk disewa dengan kadar RM1 saja. Tapi kalau hilang kena bayar RM25. Kami dah bersedia dengan membawa lampu suluh sendiri.

Jom kita teruskan penerokaan…

Gua Kelawar Langkawi
Pintu masuk ke Gua Kelawar.
Tak susah pun untuk kita meneroka Gua Kelawar ni sebab dah disediakan laluan bersimen. Ikut saja laluan tersebut dari pintu masuk sehingga ke pintu keluar. Cabaran utamanya adalah kegelapan di dalam gua. Tapi bagi saya, gua ni tidaklah gelap pekat sebab tak begitu panjang laluan di dalam gua. Ada kemasukan cahaya dari luar. Tapi masih perlu kepada cahaya lampu untuk kita mengatur langkah dengan selamat. Sebelum kita masuk, ada notis larangan guna flash pada kamera. Mungkin tak mahu kelawar terkejut dengan cahaya flash.

Gua Kelawar Langkawi
Kelawar bergantungan di langit-langit gua.
Sebaik melangkah masuk ke dalam gua, saya terhidu bau yang tak sedap. Bau najis kelawar la agaknya. Tapi tak nampak pula mana kelawarnya. Lampu suluh dihala ke sekitar gua untuk melihat-lihat. Pemandangan biasa di dalam gua, kita akan dapat melihat stalaktit dan stalakmit. Tapi tak ada pula stalaktit atau stalakmit yang cantik berkilau seperti yang pernah saya lihat di gua-gua lain.

Sehinggalah lampu suluh kami menyuluh sesuatu di langit-langit gua…sekumpulan kelawar bergantungan! Tak pasti spesis apa, kelawar di sini bersaiz kecil. Bila diperhatikan, seram juga saya lihat rupa kelawar. Rasanya ini merupakan pengalaman pertama saya melihat kelawar bergantungan di langit gua. 

Gua Kelawar Langkawi
Keluar dari gua, kita akan dapat menikmati pemandangan hutan paya bakau. Masa ni cuaca panas terik. Nampak cantik pokok-pokok bakau ni bila disimbah cahaya matahari.

Gua Kelawar Langkawi
Mind your head, watch your step.
Selepas laluan dengan pemandangan hutan paya bakau tadi, sekali lagi kita perlu masuk gua untuk meneruskan perjalanan keluar dari kawasan ini. Nak masuk ni kena berhati-hati, bumbung gua sangat rendah dan pada masa yang sama kita perlu melangkah anak tangga. Jadinya kita kena berjalan sambil membongkokkan badan. Sekejap je, lepas tu boleh melangkah macam biasa. Laluan dalam ni lebih pendek berbanding laluan gua pertama tadi.

Gua Kelawar Langkawi
Tangga untuk naik ke atas bukit.
Sampai di hujung jalan untuk keluar dari gua, terdapat satu tangga kayu dengan notis larangan naik ke atas. Rupanya inilah tangga untuk kita melihat pemandangan atas bukit. Mungkin atas faktor keselamatan maka kita dilarang naik ke atas.

Gua Kelawar Langkawi
Suasana kesibukan di jeti, bot-bot mengambil dan menurunkan pelancong.
Selesai lawatan di gua-gua, Encik Mahadi kemudiannya membawa kami bersiar-siar di Laut Andaman dan ke lokasi terakhir lawatan ini iaitu restoran terapung. Insya Allah catatannya pada entri akan datang.





25 comments:

  1. Cantiknya. Bila masuk gua, mesti ada rasa sejuk sikit, kan.
    Bila tengok kelawar, teringat vampire. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha…sama la kita, terus teringat vampire. Lagi pulak bila nampak mulut kelawar tu terbukak.

      Delete
  2. cantik pemandangan tapi dalam gua dan kelawar tu tak berapa gemo, lagilah ruang yang sempit tu rasa sesak napas

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada jugak yang tak mau masuk Gua Kelawar, boleh tunggu kat jeti tu.

      Delete
  3. Kalau saya seram pula tengok kelawar depan mata. Takut kena gigit.
    Nama gua senang ingat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh..kelawar menggigit ya? Saya tak tau, jadi seronok jugalah dapat tengok kelawar di habitatnya.

      Delete
    2. Ke saya tersalah fakta sebab ingat kelawar menggigit.

      Delete
    3. Hasil carian internet, iye laa NA. Kelawar boleh menggigit 😄. Bahaya jugak kalau terkena gigitan dia.

      Delete
  4. Pengalaman menarik ni kak Ujie. saya tak pernah sampai sini lagi. kalau datang dengan mak ayah rasanya kena skip Gua Kelawar. Lawa gambar kelawar tu. Teringat diorang disalahkan sebagai punca Covid19. Wallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya..kalau mak ayah kita agak tak sesuai masuk Gua Kelawar. Boleh tunggu kat kaunter tiket. Masuk gua ni dalam 15 minit.

      Delete
  5. Subhanallah, cantik ciptaanNya.. Teruja saya melihatnya.. Teringin jugak masuk gua.. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah ada kesempatan untuk Nona suatu masa nanti.

      Delete
  6. kelawar tu semua tengah tidur ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pasti, sebab ada yang bukak2 mulut - terganggu kot. Yang pasti kelawar tak aktif waktu siang, tu yang bergantungan je.

      Delete
  7. Menariknya pengembaraan masuk gua dengan menaiki bot. Saya pun first time tengok suasana begini. Subahanallah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cuma kurang puas sebab laluan pendek je. Tapi bolehlah...ambik pengalaman :)

      Delete
  8. MasyaAllah..indahnya ciptaan Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah di Malaysia ada keindahan begini.

      Delete
  9. Bila tengok gua kelawar ni teringat masa masuk Deer Cave di Mulu Sarawak. Mmg dari luar lagi dah terbau najis kelawar.

    ReplyDelete
  10. cantiknya view...menarik dapat tengok kelawar kat gua..comel je .yg bukak2 mulut tu lapar kot ke mengigau...hehe..

    ReplyDelete
  11. Cantik panorama laluan batu kapur belah dua tu. Rezeki akak dapat pengalaman lalu bawah gua tu. Kalau air naik memang tak dapatlah peluang tu. Seram kalau banyak sangat kelawarnya. Takut menyerang tiba tiba. Tapi okaylah juga kan trip macam ni. Pengalaman baru dan aktiviti yang agak rare. Jarang orang pergi Langkawi pergi tempat² begini.

    ReplyDelete

Komen kalian...bicara antara kita ^_^