Tuesday 28 December 2021

Amazing Camp Legacy (Veteran VAT69), Lenggong | Penginapan Chalet

Rabu - Khamis | 15 - 16 Disember 2021

Kunjungan kali kedua saya ke Amazing Camp Legacy pada bulan Disember ini. Kali pertama, saya dan suami berkhemah (catatannya DI SINI). Kali kedua ni, kami memilih untuk menginap di chalet sebab kami bawa bersama dua orang anak saudara. Kawasan tapak perkhemahan dan kawasan chalet terletak di kawasan yang berbeza, tapi taklah terlalu jauh. Jadinya pengalaman bermalam di khemah dan bermalam di chalet juga berbeza.

Kami menginap di Chalet A, RM110 / malam termasuk sarapan pagi. Saya minta satu chalet dengan katil Queen dan satu chalet dengan katil Single. Sebahagian dinding chalet saya duduk ni diperbuat daripada hasil anyaman, mungkin sebab tu tak terasa panas sebab ada aliran udara melalui celahan anyaman.

Kalau nak chalet untuk 3 orang dan bilik air di dalam, boleh pilih chalet Jerai atau Kemar dengan harga RM150 / malam termasuk sarapan pagi.

Bilik air di luar chalet. Tak jauh mana pun. Saya ambil gambar bilik air ni dari chalet saya menginap. Terdapat 4 buah bilik air. Kelengkapan mandian perlu bawa sendiri. 

Langit malam yang indah. Berada di tempat yang kurang pencemaran cahaya, kita akan dapat melihat bulan dan bintang dengan lebih jelas dan lebih cantik. Suasana malam di sini tenang dan sunyi. Kami tidur awal sebab siangnya dah penat bermain air dan esok pagi nak main air lagi 😁

Waktu Subuh kami dikejutkan dengan bunyi yang asing di pendengaran saya. Bila buka pintu chalet, rupanya ada dua ekor ayam di atas dahan pokok. Suami kata ni ayam kluk kluk. Memang terasa suasana kampung bila menginap di sini.

Suasana pagi di sini meriah dengan bunyi unggas peliharaan pemilik tempat ni. Inilah rupa ayam kluk kluk. Mungkin juga ada nama lain, sebab kluk kluk tu merujuk kepada bunyinya. Cantik rupa ayam ni bila mengembangkan badannya.

Percubaan anak saudara untuk bergambar bersama kumpulan unggas di sini. Dapat dekat begini dah dikira satu kejayaan 😀. Tapi dengan angsa, masih belum berani dekat.

Ambil pengalaman memberi makan angsa. Sebelumnya, salah seekor angsa ni ‘menyudu’ suami saya. ‘Digigitnya’ baju tak mau lepas, sehinggalah diarahkan tuannya suruh lepaskan ‘gigitan’ 😅. Lepas tu, elok je keduanya makan di tapak tangan suami. Tak perlu takut kalau ‘disudu’ angsa, sebabnya angsa tak ada gigi dan paruhnya pun tak tajam.

Dewan Kerambit, inilah tempat kami bersarapan pagi. Dewan ini dihias dengan gambar-gambar kenangan pemilik sepanjang berkhidmat dengan PDRM. 

Kami berpeluang bersarapan pagi bersama pemilik Amazing Camp Legacy, iaitu Dato’ Abd Rashid bin Harun. Terasa segan juga saya duduk bersama orang hebat. Beliau merupakan Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando, juga pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan merupakan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang pertama.

Dalam pada segan, habis juga saya makan sebungkus nasi lemak dan kuih. Air kopi pun siap menambah 😄. Rupa-rupanya air kopi sedap tu dibuat sendiri oleh Dato’ Rashid. Istimewanya nasi lemak di sini, dibungkus sepenuhnya menggunakan daun pisang. Susah nak jumpa pada zaman sekarang ni kan.

Dato’ Rashid ni seorang yang peramah dan suka bercerita, juga pandai berjenaka. Saya suka mendengar buah fikiran beliau berkenaan masa depan negara. Juga tentang semangat dan impiannya dalam menubuhkan kem ini, ia bukan sekadar tempat untuk menikmati alam semulajadi. Saya suka idea beliau untuk menyampaikan ilmu ikhtiar hidup (survival) komando kepada orang awam menerusi latihan kepimpinan yang akan dikendalikan oleh veteran VAT69 Komando. Bukanlah nak suruh jadi macam komando, tapi sekurang-kurangnya ada ilmu untuk membaca situasi dan melakukan tindakan yang terbaik.

Kami beli buku biografi beliau - Abd Rashid Harun : Antara Kedaulatan dan Pengorbanan. Dapatlah tanda tangan beliau di buku ini. Kami juga membeli beberapa helai t-shirt cenderahati.

Aktiviti Utama - Main Air
Sebelum ni kami berdua je bermain air, kali ni lebih seronok bila ada budak-budak bersama. Kuranglah segan kami yang tahap umur makcik pakcik nak main air 😁

Dari kawasan chalet, kita perlu menuruni anak tangga untuk ke sungai di bawah sana. Bunyi deruan air sungai tu memang membuat hati melonjak seronok!

Ketiga-tiga gambar di bawah, kami berada di tempat yang berbeza. Setiap tempat ada keseronokan tersendiri, kenalah rasa semuanya. Ada yang cetek, ada yang dalam dan ada yang deras.

Airnya sejuk sangat. Petang pun sejuk, pagi lagilah sejuk!

Di tempat ni pula ada hammock, syok baring sambil pejam mata dan menikmati bunyi deruan  air sungai.


Puas kami bermain air sungai yang sejuk dan menyegarkan badan - berendam, menyelam, apungkan diri, bersantai dengan hammock di dalam sungai. Lagi pulak selama 2 hari kami di sini keadaan agak lengang sebab kami datang pada hari bekerja. Selain kami, cuma kelihatan beberapa khemah pengunjung di kawasan tapak perkhemahan.

Kelebihan air sungai di sini, tiada kawasan penempatan mahu pun kebun di bahagian atas. Jadinya air yang mengalir benar-benar bersih dan bebas pencemaran.

Bagi sesiapa yang sukakan kehidupan dengan suasana kampung yang tenang, juga keriuhan bunyi unggas di waktu pagi, bolehlah cuba menginap di sini. Dapat pula bermain air sungai berjeram, memang seronok! Kalau ada sekolah/jabatan nak buat kursus kepimpinan & latihan di sini pun memang sangat sesuai, ada penginapan dorm. Yang ni kena bertanya lanjut dengan pihak kem sendirilah ya.

—————————————————————
AMAZING CAMP LEGACY (VETERAN VAT69)
LOT 1550, KG. DANGLANG,
KUAK, LENGGONG,
PERAK.

Carian Google Maps : Amazing Camp Legacy (veteran VAT69)

Pertanyaan / tempahan :
013-985 6300 (En. Zam)
019-420 2770 (Pn. Ira)






.

13 comments:

  1. Seronok sangat sampai pergi kali ke-2.
    Cantik chaletnya.
    Apalah rahsia buat air kopi tersebut?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..iya NA, memang rasa nak pergi selalu sebab sungai situ cantik sangat.

      Kena interview Dato' untuk rahsia air kopi tu 😄

      Delete
  2. Menarik tempat ni. Moga dapat sampai satu hari nanti

    Geram air sungai yang mengalir jernih tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga ada kesempatan untuk Cici pulak ya.

      Delete
  3. Seronoknya. Nanti nak pergi sini jugaklah. Boleh berkhemah tak kat sini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh Syu. Link entri berkhemah ada kat belah atas entri ni.

      Delete
  4. Menarik ni!
    Ada rezeki nak juga ke sini sbb daerah Lenggong Gerik ni semua masih kekal kehijauannya kan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, tempat ni masih terpelihara. Sesuai untuk yang suka tenang dan suka kehijauan.

      Delete
  5. Berkhemah best, duduk dalam chalet pun best. Yang penting tempat ni memang best lah. Itu yang boleh repeat datang. Angsa tu kalau nampak dari jauh pun dah lari dulu dah rasanya. Walaupun cakap tak ada gigi ke apa tapi tetap takut. Hahaha...
    Untung akak dapat jumpa orang hebat dan penulis hebat. Dapat signature lagi tu. Macam best pulak berhammock dalam air. Mahu tertidur tu nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kihkih...sama macam anak sedara akak, takut sungguh dengan angsa. Akak takut jugak sebenarnya, tapi buat-buat berani 😄

      Alhamdulillah dapat banyak pengalaman baru kat tempat ni.

      Delete
  6. comelnya itik putih tu, kaki & paruh kaler orange..itik angsa mmg menakutkan, kalau kena sudu, mmg tak lepas..bagus Datuk buat kem mcm ni..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****