Showing posts with label Misi Jelajah Axia. Show all posts
Showing posts with label Misi Jelajah Axia. Show all posts

Tuesday, 13 January 2015

Taman Rekreasi Gunung Lang

...catatan terakhir untuk penjelajahan kali ini...

Kami tiba di Bandaraya Ipoh menjelang tengahari. Matahari agak terik. Berpandukan GPS, dengan mudah kami tiba di Taman Rekreasi Gunung Lang yang terletak kira-kira 5km dari bandaraya Ipoh. Masa kali pertama jalan-jalan ke Ipoh dulu, dah teringin nak jejak Gunung Lang ni. Tapi tak kesampaian sebab tiada kenderaan awam (kecuali teksi) ke sini. Masa tu kami datang Ipoh naik ETS (entri DI SINI)

1. Masuk kawasan ni percuma. Letak kereta pun percuma. Tapi kalau nak naik bot ada sedikit bayaran. 

2. Pemandangan dari jeti. Landskap bukit batu kapur, air tasik yang kehijauan dan hidupan air yang jelas dipermukaan...memang indah! Maha Suci Allah yang menjadikan.

3. Naik bot di sini untuk ke seberang sana.

4. Pelbagai spesis ikan dan tuntung (agaknya). Besar-besar semuanya! Kalau korang nak beri ikan-ikan ni makan, boleh beli makanan ikan di kaunter tiket.

5. Perjalanan ke 'pulau' yang sangat dekat, kira-kira 300 meter. Naik ni takde jaket keselamatan. Dalam bot saya ni penuh warga asing je. Dah macam kita pulak yang jalan-jalan kat luar negara.

6. Antara tarikan kat sini. 

7. Antara menara tinjau yang disediakan. Kami tak naik, malas. Sekarang rasa rugi pulak.

8. Laluan yang disediakan. Tempat ni memang sesuai untuk aktiviti santai seisi keluarga dan sangat cantik untuk sesi fotografi. Taman permainan kanak-kanak pun ada. 

9. Pemandangan indah dari jeti. Nak balik dah...

Kalau ikut info, tempat yang kami pergi naik bot ni adalah pulau. Tapi nampak ada kereta 4x4 dan motor. Maksudnya tempat ni bersambung dengan bandar Ipoh (bukan pulau) dan ada laluan. 

Bagi yang ingin menghabiskan masa bersama keluarga dengan kos yang minima, tempat ni memang sesuai. Untuk sesi fotografi pun sangat cantik. Dan untuk saya sendiri, saya suka tempat ni kerana keindahan landskap batu kapurnya. Info lanjut mengenai tempat ni, boleh KLIK DI SINI.

*********************************************

Untuk perjalanan balik ke Negeri Sembilan, terpaksa melalui lebuhraya sebab kesuntukan masa. Tak tercapai hasrat nak lalu jalan biasa untuk melihat tempat orang. Tapi sempat jugak ke Tanjung Malim, beli t-shirt HumairaDesign dan makan pau YIK MUN yang terkenal tu. Ada halal Jakim ya. Tapi harga agak mahal RM2 untuk setiap pau. Sedap sangat ke? Tak jugak, sebab tak selembut 'pau pesta' yang terkenal kat Batu Pahat. Tapi inti kari dagingnya memang puas hati, banyak dan sedap. Yang inti kacang pulak, macam hangit kacangnya. Cuba sekali je.

Trip pertama 'Misi Jelajah Axia' ini, penjelajahan meliputi kira-kira 700km (sehingga tiba di rumah) dengan penggunaan petrol kurang dari RM100. Insya Allah ada rezeki masa, kesihatan dan wang bolehlah buat trip kedua pulak (ke mana ya?).

Monday, 12 January 2015

Lumut dan Ikan Bilis Mata Biru

...sambungan catatan lalu...

2 JAN. 2015
Dari Menara Condong Teluk Intan, kami kini di berada di Lumut. Terus cari penginapan sebab hari dah pun gelap. Berpandukan GPS Axia (buat carian hotel terdekat), dengan mudah terpapar senarai hotel. Ada yang tertera nombor telefon, kami telefon beberapa buah hotel untuk bertanyakan harga. 

Akhirnya kami pilih untuk ke GM Holiday Inn, sebuah hotel bajet. Hotel ni terletak di sebelah kiri jalan, jika kita menghala ke bandar Lumut / jeti ke Pangkor. Terletak di blok rumah kedai yang telah diubah suai menjadi hotel. Di blok yang sama, terdapat beberapa buah hotel bajet lain. Ada yang semurah RM39 utk bilik standard. Pendek kata, di Lumut ni takde masalah nak cari penginapan. Memang senang jumpa sebab semua kat tepi-tepi jalan dan sekitar bandar Lumut. Pilih je ikut bajet dan tujuan kita.


Bilik kami - Deluxe King dengan kadar RM65. Agak puas hati. Masih ada ruangan yang cukup untuk solat. Cuma berbau kurang menyenangkan sikit, suami kata bau asap rokok. Bilik airnya pulak saya kurang selesa sebab tak berapa bersih. Takpe, duduk kejap je kan. Bagi yang berminat, boleh layari www.gmholidayinn.com.my atau hubungi 05-683 8898. Boleh je korang tengok bilik dulu, tak puas hati boleh tukar bilik. Kami sampai dah malam, tak larat dah.

Lepas dapat penginapan, baru keluar cari makan. Pun tak susah, sepanjang jalan tadi memang dah nampak tempat makan. Kami terus je ke Ikan Bakar & Steamboat Lumut, tak jauh dari hotel. Lepas makan, terus balik bilik.

3 JAN 2015
Sekitar jam 8 pagi kami check-out. Bersarapan di restoran berhampiran, deretan yang sama dengan hotel. Lepas tu terus ke bandar Lumut untuk beli hasil laut. Tak ke Pulau Pangkor pun, tiada dalam perancangan dan sebenarnya dah pernah pergi (14 tahun dulu lah!).

  
Di bandar Lumut, kami ke kedai Hasil Laut Jamilah, yang ni memang orang Melayu Muslim. Mana tau? Saya buat carian kat internet. Yang melayan kami pun seorang lelaki Melayu, pekerja katanya. Soalan pertama kami, 'Yang mana satu IKAN BILIS MATA BIRU?'. Yelah, Lumut kan terkenal dengan ikan bilis mata biru. Rupa-rupanya, 'Semua ni ikan bilis mata biru. Beza pada saiz ada kecik ada besar, dan kualiti'. Tersenyum-senyum kami! Tahan ketawa sebenarnya. Baru tau! Tengok rupa macam ikan bilis biasa je, tak taulah mana dapat panggilan 'mata biru'. Tapi kalau ikan bilis yang halus putih tu memang matanya nampak biru. 

Tambah pekerja lelaki tu lagi, ikan bilis mata biru dari Lumut ni lebih sedap, kurang masin dan tak liat. Dari segi harga, berbeza ikut kualiti. Kalau korang ke Lumut bolehlah pergi kedai ni, lokasinya bersebelahan sekolah dan berhadapan Medan Tempat Letak Kereta Bertingkat.

Selesai membeli, penjelajahan diteruskan menuju ke Ipoh. Kita bukak buku peta sebagai panduan tempat-tempat yang bakal dilalui dan set GPS untuk bantuan.

Wednesday, 7 January 2015

Padi Menguning dan Banjir

Dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Lumut...

...kami melewati pemandangan indah sawah padi yang menguning. Indah!

Tapi kemudiannya, kami melewati kawasan yang dilanda banjir. Jalan raya tak banjir, hanya di sebelah kanan dan kiri jalan dipenuhi air banjir. Di beberapa tempat saya nampak penduduk sedang menunggu giliran untuk menaiki sampan (mungkin nak ke rumah mereka di bahagian dalam). Ramai jugak yang nampaknya 'berumah' di tepi jalan raya ini. Ada yang membina khemah, ada yang tinggal di pondok (gerai jualan rasanya). Nampaklah bantal, pakaian dan keperluan lain.

Bagai lautan! Berdasarkan pemerhatian, saya rasa ini adalah sawah padi. Kalaulah tengah menguning macam yang mula-mula kami jumpa tu, memang kesian sangat. Moga mereka tabah dengan dugaan ini. 

Di sepanjang jalan kawasan banjir ni sebenarnya agak meriah. Di beberapa tempat ramai yang mengambil kesempatan untuk menangkap ikan. Ada yang memancing, ada yang menjala dan ada yang menggunakan alatan lain (tak tau namanya). Sekali tengok macam ada pesta.


~ banjir...dalam duka, pasti terselit manisnya ~

Tuesday, 6 January 2015

Menara Condong Teluk Intan

Tahun 2015, saya dan suami mulakan dengan misi menjelajah Semenanjung Malaysia menggunakan kereta kecil - Axia. Misi memang nampak besar, tapi tak taulah sejauh mana je boleh jelajah. Banyak tuntutan lain, terutamanya tuntutan masa. Kenapa nak jelajah dengan kereta kecil? Faktor utama tentulah kos petrol, seterusnya kos penyelenggaraan pun lebih rendah. Yang penting, kereta kecil ni lebih sempoi dan mudah menyelit kat ruang sempit. 

2 JAN. 2015
Untuk trip pertama kali ni, cuma sempat 2 hari 1 malam. Tiada perancangan rapi, cuma tengok buku peta dan dibantu oleh GPS Axia. Destinasi kami ialah Teluk Intan, perjalanan melalui Kuala Selangor-Sekinchan-Tg Karang-Sabak Bernam-Hutan Melintang-Teluk Intan.

Alhamdulillah...selamat tiba di bandar Teluk Intan tepat jam 4petang, jam di menara sedang berbunyi. Macam menyambut kedatangan kami pulak. Perasan! Bumbung biru tu deretan kedai makan, kita makan dulu! 
Masa lepas makan tu, didatangi seorang Cina tua (naik basikal, topi ada riben). Mintak duit. Suami ajak makan, dia nak duit jugak. Mujur akak peniaga tu datang bagitau, jangan bagi duit sebab Cina tu banyak duit tapi memang suka mintak sana sini. Siap mengaku orang Islam. 

Pertama kali menjejakkan kaki di sini. Sebuah seni bina unik. Nampak macam banyak tingkat, siap cakap dengan suami...kita naik sikit jelah.

Cuba kira...macam berapa tingkat tu? 
Sebenarnya, TIGA tingkat je!

Fakta sejarah mengenai menara ini. Dibina pada tahun 1885. Patutlah hati tergerak nak ke sini, sama dengan nombor plat kereta kami rupanya! Kebetulan yang menarik. 

Tiada bayaran dikenakan.

Inilah tingkat bawah/pertama. Yang ada kepungan kayu tu, bawahnya air. Nampak banyak duit syiling. 

Tak banyak benda nak perhatikan pun, jom kita terus naik tingkat dua. Hati-hati tangga agak curam dan kecik je.

Pemandangan bahagian luar menara di tingkat dua.

Kita naik tingkat tiga (paling atas), barulah nampak kat atas tu...tangki air.

Kat lubang tengah tu, ada tangga tau.

Kita ke bahagian luar menara, nampaklah pemandangan bandar Teluk Intan ni. Kat sekeliling menara ni dipenuhi khemah jualan.

Tak tahu ni benda apa dan apa fungsinya. Kan bagus kalau ada disediakan info.

Setelah 1jam berada di bandar Teluk Intan ni, kami bergerak menuju ke Lumut. Keputusan baru je diambil masa makan-makan tadi. Tengok buku peta dan dibantu oleh GPS, kita teruskan penjelajahan. 

Info ringkas :
- Teluk Intan adalah pusat pentadbiran bagi Hilir Perak.
- Sebelum ini dikenali sebagai Teluk Anson, sempena nama Jeneral Archibald Anson yang datang ke Teluk Intan.

(info lanjut DI SINI.)

~ Sekian catatan Teluk Intan sebagai panduan korang yang nak pergi, dan sebagai perkongsian bagi yang tak berkesempatan ke sini. Entri seterusnya...banjir. ~