Istana Maimun - antara tempat bersejarah yang sempat kami lawati sewaktu berkunjung ke Medan, Indonesia. Suatu masa dahulu, bangunan istana yang terletak di Jalan Brigjend Katamso ini merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Deli.
Fakta Ringkas Kesultanan Deli :
- Kesultanan Deli merupakan sebuah kerajaan Islam yang bertapak di Tanah Deli (sekarang kota Medan dan Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara).
- Diasaskan oleh Tuanku Panglima Gocah Pahlawan pada tahun 1632.
- Kesultanan Deli masih tetap ada sehingga hari ini, tetapi tidak lagi memiliki kuasa politik setelah Proklamasi Kemerdekaan Indonesia.
- Sehingga hari ini, Kesultanan Deli mempunyai 14 orang sultan.
- Sultan Deli ke-11, Sultan Osman Al Sani Perkasa Alamsyah merupakan cucu Sultan Perak ke-26. Bonda beliau iaitu Tengku Maheran merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke-26) bersama isteri kedua baginda.
- Seripeduka Sultan Deli XIV, Tuanku Mahmud Lamantjiji Perkasa Alam atau singkatannya Tuanku Aji merupakan Sultan Deli ke-14. Beliau naik takhta pada Julai 2005 pada usia 8 tahun. Ini menjadikan beliau sebagai Sultan Deli paling muda dalam sejarah.
[Sumber rujukan : orangperak.com, kompas.com, pancabudi.ac.id]
Istana Maimun
Kami tiba di perkarangan Istana Maimun menghampiri pukul 12 tengah hari waktu tempatan. Pengunjung agak ramai, nampaknya suasana di sini lebih meriah berbanding di Tjong A Fie Mansion.
Bangunan Istana Maimun berdiri gah, sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Deli. Terdetik di hati saya, bangunan besar begini tentu ambil masa lama nak menjelajah. Saya agak teruja nak melihat bagaimana rupa dalam Istana Maimun.
Foto Istana Maimun dari sisi. Bila membelek foto yang ada, baru saya sedar yang saya terlupa merakam foto dari sudut hadapan istana. Maka tiadalah foto keseluruhan bangunan Istana Maimun.
Bagusnya jika ada foto (selain sebagai satu kenangan), mudah saya nak membelek dengan lebih teliti hal-hal yang kadang saya tak perasan pun semasa berada di lokasi.
Eh…ada tulisan bahasa Belanda di tiang depan tangga untuk masuk ke istana. Hasil Google Translate, dapatlah difahami tulisan ini menyatakan bahawa batu asas bangunan ini telah diletakkan pada 26 Ogos 1888 oleh Sultan Deli, Mahmud Al Rashid Perkasa Alamsyah. Kot ada yang faham bahasa Belanda bolehlah beri terjemahan yang lebih tepat ya.
Inilah ruang utama Istana Maimun yang turut menempatkan singgahsana. Rupa-rupanya, pengunjung hanya boleh melawat ruangan utama ini sahaja termasuk ruang kecil di sebelah belakang. Saya agak kecewa. Tapi yelah, mungkin itu yang sesuai dengan kadar bayaran masuk Rp. 10k.
Saya dapati tak banyak info & bahan pameran berkenaan Kesultanan Deli yang dipamerkan di sini. Cuma banyak orang-orang berjualan di dalamnya. Agak terganggu juga, kita nak melihat-lihat sekitar dan berfoto tapi kerap disapa oleh para penjual. Tambah pula yang menjual lato-lato, sibuk memainkan lato-lato ditangannya. Tak tenang sungguh!
Singgahsana yang menjadi tumpuan ramai untuk berfoto. Saya perlu menunggu untuk memotret foto singgahsana ini. Tapi tetap juga kena crop supaya tak masuk objek manusia yang berada berhampiran.
Di sini juga ada disediakan servis berfoto dengan pakaian khas Kesultanan Deli. Dalam foto di atas (belakang singgahsana) kelihatan deretan baju untuk dipilih. Ada banyak lagi pilihan pakaian di bilik kecil sebelah singgahsana ini.
Antara potret Sultan Deli yang dipamerkan di sini.
Foto di suatu sudut belakang bangunan istana.
Foto beranda di bahagian depan istana.
Bahagian luar istana (sebelah kiri). Terdapat deretan gerai menjual makanan di laluan tepi bangunan istana.
Fakta ringkas Istana Maimun :
- Didirikan atas perintah Sultan Deli, Sultan Ma’moen Al-Rasyid. Pembinaan bermula pada tahun 1888 dan siap pada tahun 1891.
- Nama ‘Maimun’ bersempena nama permaisuri sultan, Siti Maimunah.
- Istana Maimun terdiri daripada bangunan dua lantai dan terdapat tiga bahagian (ruang utama, sayap kanan dan sayap kiri).
- Ketika ini, Istana Maimun tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal Sultan Deli. Ia hanya digunakan untuk acara adat.
- Hanya ruang utama sahaja yang dibuka kepada pengunjung.
Meriam Puntung
Terletak berhampiran bangunan istana, terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan ‘meriam puntung’. Masih di kawasan yang sama dengan istana.
Sebelum ke Istana Maimun, saya dah mencari info berkenaan Meriam Puntung. Menurut info, ia merupakan sebahagian daripada meriam yang terpecah dua. Cerita lagendanya, meriam tersebut merupakan jelmaan seorang puteri dari Kerajaan Deli Tua. Maka ada yang menganggap meriam ini keramat. Itu kepercayaan orang, kita hormat jelah.
Saya tak tertarik nak melihat meriam puntung. Tapi encik suami ajak menjenguk, alang-alang dah sampai kita tengoklah dengan mata sendiri.
Saya hanya berdiri di muka pintu ruangan ini untuk merakam foto di atas. Saya malas nak masuk, cukuplah sekadar tengok dari jauh. Berkenaan rupa meriam puntung, saya dah tengok foto di internet.
Seorang wanita yang berada di pintu berulang kali mengajak saya masuk ke dalam. Saya akhirnya membuka kasut dan mahu masuk sendirian. Encik suami pula pada masa ini sedang sibuk ‘dikejar’ oleh seorang lelaki penjual cenderamata. Sebenarnya sudah dikejar oleh orang yang sama sejak sebelum kami masuk ke bangunan istana. Berulang kali menolak secara baik, tetap juga tak mahu berganjak.
Sebaik saja saya melangkah sebelah kaki masuk ke dalam ruangan kecil ini, wanita tadi meminta Rp. 2k. Saya agak terkejut sebab tak nampak apa-apa notis bayaran. Langkah kaki saya terhenti, tak jadi masuk. Saya ajak encik suami beredar dari sini. Walaupun cuma Rp. 2k, tapi cara wanita itu membuatkan saya rasa seperti ditipu. Lagi pula dari awalnya memang saya tak berminat nak ke sini.
Pada masa yang sama, lelaki penjual cenderamata tadi berterusan mengekori encik suami. Menjengkelkan! Akhirnya encik suami terpaksa tinggikan suara, barulah kami bebas berjalan. Bukanlah kami tak memahami perjuangan hidup orang mencari rezeki, tapi kalau asyik diekori dan didesak itu menimbulkan rasa tidak senang. Apa pun, inilah pengalaman.
Entri ini mengakhiri catatan perjalanan kami ke kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Walaupun tak pergi jauh cuma seberang lautan, kota ini tetap memberikan saya satu pengalaman berbeza dan membuka fikiran saya. Kota Medan bukanlah lokasi percutian dengan pemandangan indah, tetapi ia sesuai bagi yang mahu wisata kuliner - jalan-jalan cari makan dan melihat sisi lain kehidupan. Setiap destinasi adalah unik.
.
unik
ReplyDeleteRupanya ruang utama dan ruang belakang sahaja yang dibuka. Cantik singgahsananya.
ReplyDeleteTidak tenteram hendak jalan-jalan di situ kalau diganggu penjual cenderamata.
Cantik Istana Maimun walaupun tidak ambil gambar bahagian hadapannya.
ReplyDeleteSeni binanya sungguh indah, menjadi kebanggaan generasi sekarang dan akan datang.
Suka tengok bangunan lama & bersejarah yg masih dipelihara & dipelihara dgn baik ..
ReplyDeleteMemang tak selesa bila kita diekori. Cukup tak suka. Singgahsananya cantik sgt tersergam indah. ;)
ReplyDeleteSusah juga, ada orang ganggu masa kita nak berjalan. Macam paksa beli je tu. Lain sungguh ye, negara orang.
ReplyDeletekalau dulu masih boleh naik selfie di singgah sana skrg dh tak boleh ya. dan dulu 2012 tak ada pun penjual dalam istana maimun. nina siap boleh bergambar pkai baju istana
ReplyDeleteSeronok pergi tempat² bersejarah macam ni.. tp bila diekori pulak dgn stranger ni mmg x best la... dlu masa ke jakarta & bandung pun begitulah.. kena buat muka garang sikit jgn layan... diorg ni tgk dressing & cara pakai tudung lain diorang sukalah sbb tau bkn org local tu yg nk memaksa kita beli itu ini... kalau sorg boleh lah tp bila beli sorang, ramai lg pula yg nk offer kat kita lps tu
ReplyDeletemenarik ruangan utama Istana Maimun...mereka jg guna warna kuning sebagai warna diraja...sesuka hati je minta byrn Rp 2K, takde tulis kena bayar kan...
ReplyDeletemmg rimas kalau asyik diekori sebegitu, sekrg ni musim main lato-lato...