Showing posts with label Buah Nadir. Show all posts
Showing posts with label Buah Nadir. Show all posts

Thursday, 22 May 2025

Buah Letup-Letup - 'Jajan' Zaman Kanak-Kanak

Di sekitar rumah saya ni ada pelbagai jenis pokok. Ada yang ditanam oleh penghuni terdahulu dan banyak juga pokok yang tumbuh liar, antaranya - pokok letup-letup (passiflora foetida). Ia juga dikenali dengan nama pokok ulat bulu atau pokok letup-letup bulu.

Pokok letup-letup tumbuh secara menjalar di belukar atau melilit di batang pokok lain. Kiranya, pokok ni kategori rumpai - tumbuhan yang tidak berguna dan perlu dimusnahkan kerana mengganggu pokok tanaman kita. Tapi sekarang ni bila dah jarang ditemui, kalau jumpa tu rasa macam dapat benda berharga 😀

Jangan terkeliru ya, ada sejenis lagi pokok dengan nama lebih kurang sama iaitu pokok letup-letup kelambu (physalis angulata). Ianya sejenis pokok renek dan rupa buahnya juga berbeza dengan buah letup-letup (passiflora foetida).

Bunga pokok letup-letup
Bunga pokok letup-letup. Cantik bunganya dengan kelopak berwarna putih dan bahagian tengah berwarna ungu. Tambah menarik, terdapat semacam bulu melindungi kelopak bunga ini.

Buah letup-letup Passiflora foetida
Buah pokok letup-letup yang masih muda - berwarna hijau. Bentuknya bulat dengan bulu di sekelilingnya - seakan melindungi buah. Foto dirakam pada 7 Mei lalu.

Pokok letup-letup Passiflora foetida
Foto pagi tadi 22 Mei - jalan-jalan pagi sambil merakam foto alam. Buah letup-letup bertukar warna kuning sepenuhnya, tanda sudah matang dan boleh dimakan. Cara makan buah letup-letup - picit atau tekan sedikit kulit buah untuk mendapatkan isinya. 

Pokok letup-letup Passiflora foetida
Begini rupa isi buah letup-letup. Boleh terus makan isinya - telan bersama biji. Jangan risau, bijinya tak tumbuh dalam perut 😆

Bagaimana rasa buah letup-letup? Rasanya manis dengan sedikit rasa masam. Kira sedap pada deria rasa saya.

Setelah sekian lama tak makan buah letup-letup, bila makan kali ni sungguh mengimbau memori zaman kanak-kanak saya. Zaman di mana saya bebas bermain di luar rumah dan makan buah letup-letup yang ditemui di tepi jalan - macam makan jajan. Kalau jumpa bunga jarum, saya ambil bahagian tengahnya dan hisap madunya (nektar). Kalian yang pernah melalui pengalaman serupa, tentu tak jauh beza umur kita kan 😀 








Wednesday, 1 June 2022

Jom Kita Petik Buah Harumanis dan Buah Setoi / Sentul

SABTU | 28.05.2022

Cerita hujung minggu lalu - saya dan encik suami ke rumah adik ipar (adik perempuan encik suami) yang menetap di Perlis. Mak mentua pun ada di sana, selepas raya di Johor terus adik ipar bawa mak ke Perlis. Bolehlah mak bertukar angin.

Menariknya rumah adik ipar saya ni, disekelilingnya dipenuhi dengan pelbagai tanaman yang dijaga rapi. Mereka suami isteri sangat rajin berkebun walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya sebagai pendidik. Memang saya kagum! Kalau saya dapat kawasan rumah yang luas, belum tentu lagi saya rajin nak berkebun dan sentiasa menjaga rapi begini.

JOM PETIK BUAH HARUMANIS

Antara pokok buah yang ditanam di rumah adik ipar - buah mangga Harumanis. Musim buah Harumanis di Perlis bermula pada bulan April. Dah lama adik ipar ajak kami datang untuk memetik sendiri buah mangga Harumanis di rumahnya, tapi baru sekarang kami berkesempatan datang. Sekarang ni dah berada di penghujung musim buah Harumanis, buah dah tak begitu banyak. 

Buah Harumanis Harum Manis
Buahnya rendah, mudahlah nak dipetik dan sesuai untuk berfoto konon sedang menuai hasil sendiri…hehe. Encik suami dengan gembiranya memetik buah dan saya pulak seronok memotret sana sini.

Buah Harumanis Harum Manis
Buah Harumanis yang bersaiz besar - selepas dipetik dan ditimbang beratnya sekitar 800 gram! Menurut tuan punya pokok, inilah buah Harumanis yang paling berat pernah direkodkan.

Buah Harumanis ni semuanya dibungkus dengan kertas pembalut berwarna coklat. Selain bertujuan melindungi buah, kertas pembalut berwarna coklat akan menghasilkan kulit buah Harumanis berwarna hijau muda.

Buah Harumanis Harum Manis
Menikmati buah Harumanis yang sedap lemak manis, duduk pulak menghadap pemandangan tanaman yang dijaga rapi dan buah Harumanis pulak orang potongkan. Memang nikmat sangat!

JOM PETIK BUAH SETOI / SENTUL

Lepas sesi memetik buah Harumanis, adik ipar ajak petik buah Setoi atau Sentul. Buah apa tu? Nama buah Setoi atau Sentul memang pernah tahu, tapi buah dan pokoknya agak asing bagi saya. Rasanya saya penah makan sekali semasa melalui jalan di Pahang, singgah membeli dari gerai di tepi jalan.

[info] Pokok sentul atau kecapi merupakan pokok hutan yang tergolong dalam kategori pokok buah-buahan nadir di Malaysia. Pokok ini semakin jarang ditemui dan ramai dalam kalangan generasi muda tidak lagi mengenalinya. Sentul atau nama saintifiknya Sandoricum koetjape tergolong dalam famili Meliaceae seperti pokok rambai, langsat dan sentang. Pokok yang sederhana besar ini boleh mencapai ketinggian sehingga 30 m dengan diameter batangnya sehingga 90 cm. Taburan semula jadinya adalah di sekitar Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Pokok sentul mempunyai banyak khasiat perubatan tradisional. Buahnya mengandungi vitamin B, C, kalium dan fosforus. Air rebusan akarnya diminum untuk merawat cirit-birit, bengkak usus, kekejangan dan melegakan kembung dan sakit perut. Akar dan kulit kayunya juga digunakan dalam merawat ibu-ibu selepas bersalin. Daun pokok sentul pula diletakkan pada kulit untuk merangsang peluh dan merawat gatal-gatal kulit. Air rebusan daunnya juga digunakan dalam mandian bagi meredakan demam panas. Kulit batang sentul pula biasa dibuat serbuk untuk merawat penyakit kurap. Selain itu, kayu pokok sentul turut digunakan dalam pertukangan, pembinaan ringan dan pembuatan perkakas rumah. (Sumber : frim.gov.my)

Buah Setoi Sentul
Encik suami dan adiknya sedang memetik buah Setoi. Tinggi pokoknya dan berbuah lebat.

Buah Setoi Sentul
Bukan mudah, sekali memetik dapat sebiji dua buah Setoi. Eh, jaring pemetik buah tu bukan koyak tau, saya ambil foto fokus pada buah jadinya jaring ‘terhilang’ pulak.

Buah Setoi Sentul
Inilah buah Setoi atau Sentul. Dan ada beberapa nama panggilan lain mengikut bahasa setempat.

Buah Setoi Sentul
Rupa isi dalam buah Setoi - putih, lembut dan ada ulas. Tapi ni dah tak nampak ulas, sebab sebahagian dah masuk mulut. Cara makan pulak macam kita makan ulas manggis yang ada biji besar - kemam dan luah balik. Rasa buah Setoi? Yang saya makan ni rasa masam sikit dan manis sikit. Kira ok lah isi buah Setoi ni, boleh dimakan segar. Kulit buah Setoi ni tebal. Menurut adik ipar, buah Setoi ni biasanya orang buat jeruk dan kulitnya orang buat masak sebagai sayuran.

——————————————————-

Buah Nona
Ada banyak jenis buah-buahan lain di sekeliling rumah adik ipar. Antaranya buah Nona. Ada juga buah lemon, bersaiz besar cantik. Geram je saya tengok. Memang menjadi sungguh hasil tanaman mereka ni. Tentunya memerlukan usaha yang gigih.

Kita selit satu foto selain buah - Sweetie namanya. Dia pun sibuk ke sana ke sini.






.

Wednesday, 17 November 2021

Ceri Terengganu

Sambungan entri BUAH APA NI?, ada beberapa nama pokok buah yang disebut oleh sahabat blogger. Berdasarkan nama-nama pokok buah tersebut, saya buat carian internet dan padankan dengan gambar yang saya ada.

Hasilnya, komen blogger Dana yang menyebut Ceri Terengganu paling menepati jawapan yang dicari. Terima kasih Dana dan semua yang memberi idea nama pokok buah ni. Sebelum ni saya betul-betul tak ada idea nak buat carian nama apa.

————————————————
 norhidana 17 November 2021 at 07:39
“kalau dah masak warna merah maroon ye kak? kalau tak silap dana pernah baca, di panggil pokok ceri terengganu atau ada juga panggil buah rokam...”
———————————————————

Ini gambar yang dirakam oleh saya, buah warna kemerah-merah. Belum masak.

Ini pula gambar yang diperolehi hasil carian internet. Gambar milik indahnyatrg.blogspot.com. Sepadan bentuk daun dan buahnya. Cuma dalam gambar ni, buah sudah masak berwarna merah tua. Jemput baca info lanjut mengenai buah yang menarik ini di blog beliau DI SINI.


Info ringkas pokok Ceri Terengganu (sumber wikipedia) :
  • Pokok Ceri Terengganu atau juga dikenali sebagai pokok Johor atau pokok Perupuk memiliki nama saintifik Lepisanthes alata.
  • Buah Ceri Terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. 
  • Banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini juga disebut kelelek atau gegelek.
  • Berbuah di sepanjang tahun. Buahnya yang menarik tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah yang warna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat.

Pokok Ceri Terengganu dikategorikan sebagai pokok buah nadir (jarang ditemui dan tidak ditanam secara komersial). Patutlah saya langsung tak kenal dan tak pernah jumpa. Nampaknya memang betul inilah buah yang pernah suami saya makan semasa zaman kanak-kanaknya di Batu Pahat, Johor. Bila buahnya masak, memang ada rupa seperti bawang (suami panggil ‘buah bawang’).

Kalau sesiapa ada info tambahan atau kisah masa lalu (seperti suami saya) yang berkaitan pokok Ceri Terengganu ni bolehlah kongsikannya di ruangan komen ya.




.