CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026
Sambungan entri terdahulu —> Hira Cultural District, Mekah
MUZIUM WAHYU (REVELATION EXHIBITION)
Selepas menunaikan solat Maghrib, barulah kumpulan kami di bawa masuk ke Muzium Wahyu.
Dah masuk, kami perlu duduk menunggu giliran di ruang legar ini. Terfikir juga, kenapa masuk muzium pun perlu duduk menunggu? Rupa-rupanya ia bukan muzium konvensional yang sekadar memaparkan bahan pameran, tetapi di sini pengunjung akan di bawa merentas masa menerusi penceritaan digital.
Kami di bawa dari satu ruang ke satu ruang berbeza bagi menghayati jalan cerita sirah Rasulullah SAW. Itulah sebabnya pengunjung perlu menunggu giliran supaya tak bersesak.
Suasana di dalam salah satu ruangan yang memaparkan pameran audiovisual. Menarik teknik penceritaan digital begini, mata saya jadi segar dan lebih fokus menghayati kisah yang disampaikan.
Setelah beberapa kali duduk bangun berpindah di ruang-ruang kecil, kami di bawa ke suatu ruang dengan skrin lebih besar. Bukan setakat paparan skrin dengan visual memukau dan kesan bunyi yang mendebarkan, di hadapan kami terbentang replika panorama bukit dan gunung dengan kesan visual yang berubah selari dengan paparan kisah di skrin. Sangat menarik!
Selesai pameran audiovisual, kami dibawa ke ruang pameran konvensional. Sayang sekali, saya tak dapat fokus meneliti bahan pameran yang ada di sini. Maklum saja bila bergerak dalam kumpulan besar, memang susah sikitlah kita nak membelek setiap bahan pameran.
Simulasi visual Gua Hira’. Terdapat dua simulasi gua disediakan - satu untuk pengunjung lelaki dan satu untuk pengunjung perempuan.
Saya tak berkesempatan mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira’, simulasi visual begini sangatlah membantu memberi gambaran rupa Gua Hira’.
Oleh kerana keadaan di sini agak sesak dan masing-masing menunggu untuk berfoto, saya keluar lebih awal. Laluan keluar membawa pengunjung terus ke ruang cenderamata.
Menarik pilihan cenderamata yang ditawarkan di sini, ada pelbagai produk. Kita juga boleh buat ukiran nama pada sejadah dan botol minuman. Staf jualan di sini rajin bercakap memujuk kami membeli, mereka cuba bertutur bahasa Melayu/Indonesia dengan bunyi yang kedengaran lucu.
Walaupun pilihan produk nampak menarik, tapi belum cukup menggoda saya untuk dibawa balik ke Malaysia. Encik Suami tertarik dengan pilihan minyak wangi, tapi akhirnya tak membeli. Agaknya tengok saya tak beli apa-apa, Encik Suami pun tak jadi beli.
Kami berjalan keluar dan duduk menunggu rakan jemaah yang lain di luar bangunan. Tempoh masa kami di dalam Muzium Wahyu hanya kira-kira satu jam. Sejujurnya, saya rasa kurang puas sebab sekejap sangat.
MAKAN NASI UNTA DI KABSA HASHI
Dari Muzium Wahyu di kaki Jabal Nur, bas bergerak ke tempat makan nasi unta. Lokasinya di tepi jalan, tak jauh dari Jabal Nur.
Bas kami parkir di tepi jalan. Sekali lagi, kumpulan kami perlu menunggu kumpulan pelanggan yang sedang menikmati hidangan nasi unta. Nampaknya mereka juga jemaah dari Malaysia, cuma berbeza syarikat pengendali umrah.
Dari kedudukan ini juga, kita boleh menyaksikan kemeriahan cahaya lampu di Jabal Nur. Matahari waktu siang memancar garang, jadinya mendaki pada waktu malam merupakan pilihan popular para jemaah.
Semasa menunggu di dalam bas, saya tertidur. Mengantuk dan letih sangat rasanya. Bila tiba giliran makan, saya sudah pun hilang selera. Suasana dalam tempat makan pula sesak dan perlu makan secara duduk di lantai, kurang selesa buat saya kerana kaki saya cepat rasa kebas. Terus rasa malas nak ambil sebarang foto.
Hidangan nasi unta. Setalam kongsi makan empat orang. Foto oleh Encik Suami.
Saya makan sekadar merasa, cuma beberapa suap. Bukan tak sedap, cuma saya yang tak selera. Encik Suami makan dengan berselera, malah siap menambah nasi dan daging.
Kalau ditanya bagaimana rasa daging unta? Saya kurang pasti nak jawab sebab makan sikit je. Yang pasti daging unta yang saya makan ni lembut. Tiada rasa yang pelik, rasanya mungkin macam daging lembu.
Lebih kurang pukul 10 malam (pukul 3 pagi waktu Malaysia), kami bergerak balik ke hotel penginapan. Sampai bilik, sibuk berkemas pula. Esok sebelum pukul 6 pagi, beg perlu letak di luar bilik untuk urusan perjalanan ke Madinah.









Menarik muziumnya ada tontonan dan simulasi. Kalau terlepas tu agak sayang jugalah.
ReplyDeleteJarang sangat nak membeli cenderamata sesuatu tempat tu kan. Kalau ada yang menarik minat baru membeli.
Rare kat sini ada nasi unta.
Terang bercahaya dengan lampu di Jabal Nur. Dapat melihat dari jauh, semoga ada rezeki naik ke sana nanti.
Peniaga tau orang Malaysia dan Indonesia suka berbelanja.. itu yang sebolehnya mereka belajar.
ReplyDeleteRasanya waktu sy ke sini dulu Muzium Wahyu belum ada sbb tak dengar pulak ada jemaah sebut. Seronok wpun banyak dapat ikut simulasi masuk ke Gua Hira'.
ReplyDeleteRasa daging unta sy pun dah tak ingat ๐
Aiiiih sayang sangat cuma sebentar dan terlalu ramai di dalam ya kak. Memang tak puas jadinyaa . Tapi saya suka dengan simulasi itu. Bisalah kita merasakan naik gua Hira kan
ReplyDeletePenasaran rasa nasi unta. Waktu saya kesana tak ada kesempatan mencoba daging unta
Seronoknya merasa simulasi Gua Hira'. Orang sana bukan aje boleh cakap bahasa kita, dorang siap boleh bezakan kita ni orang Malaysia atau Indonesia. Hebat!
ReplyDeletesekejap sangat tu
ReplyDeletekalau pergi muzium ni paling tidak 2 jam
barulah dpt menghayati apa yg dipamerkan...
amboiiii besar betul potongan bawang tuuuu ;-)
pertama kali dengar nasi unta. menarik dengar nya. selalu kambing, ayam je..
ReplyDelete