Friday, 5 June 2026

Padang Besar Street, Padang Besar

Catatan hari Ahad, 10 Mei 2026.


Padang Besar Street merupakan antara tarikan pelancongan terbaharu di negeri Perlis. Kompleks beli belah ini mula beroperasi sekitar September 2024.

Sejak berhijrah ke negeri paling utara, ini merupakan kali pertama saya ke Padang Besar Street. Jarak dari rumah kami sekitar 21 km, tak jauh dan taklah dekat sangat.

Biasalah kan…kalau tempat tu tak jauh dari rumah, kita fikir alah nanti-nantilah pergi. Sudahnya, hampir dua tahun beroperasi barulah saya jejak kaki ke sini. Itu pun secara tak sengaja, saya dan Encik Suami ke Padang Besar untuk ke Stesen Minyak Petronas.

Selesai isi minyak, tergerak hati ajak Encik Suami ke Padang Besar Street. Lokasinya berdekatan dengan Arked Padang Besar. Masa kami sampai, tak ramai pengunjung mungkin sebab dah lewat petang hari Ahad - para pelancong dari luar Perlis dah bergerak meninggalkan Perlis. Ketika ini juga hujan renyai membasahi bumi.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Pandangan hadapan Padang Besar Street, nampak menarik dan moden. Kami letak kereta di ruang parkir berbayar yang terletak berhampiran. Saya lupa catat berapa kadar caj parkir, tapi seingatnya tak murahlah.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Berbeza dengan kedai jualan Arked Padang Besar yang terletak di bangunan bertingkat, kedai jualan di Padang Besar Street cuma bangunan setingkat. Lebih mudah kita nak menjelajah setiap kedai tanpa perlu naik ke tingkat atas. Susunan deretan kedai yang teratur dengan ruang lapang di tengah memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Bila berjalan di sini, terasa seperti di Thailand sebab rata-rata produk jualan dari sana. Nak beli baju tertera ‘Hatyai’ pun ada di sini. Maklumlah, Padang Besar merupakan bandar kecil yang terletak di sempadan negara jiran.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Kami masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis pes masakan, pencicah dan kudapan dari Thailand. Kebetulan pes tomyam di rumah dah nak habis, bolehlah beli stok di sini.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Saya beli kuah rojak namplawan - pertama kali mencuba. Tapi nampaknya saya lebih suka tekstur dan rasa kuah rojak Mak Bee produk tempatan.

Walnut
Beli juga kacang walnut. Biasa kita beli dapat isinya je, ini masih dalam kulit keras. Lupa pulak nak tanya kacang ni dimasak dengan apa sebab ada rasa lemak masin. Kulitnya walaupun nampak keras tapi tak susah pun nak buka.

Jalan-jalan lagi, sampai di deretan kedai makan. Kami jalan sampai hujung kedai, memerhati kedai mana satu yang patut dipilih. 

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Kami makan di sini - kedai makan Imm Aroi. Tempat makan di sini selesa dan bersih. Cuma perlu berhati-hati bila melangkah di laluan antara kedai dan tempat makan ni sebab lantai licin - masa ni hujan gerimis.

Menu Kedai Makan Imm Aroi
Menu lengkap dengan harga, taklah terkejut semasa membayar.

Menu Kedai Makan Imm Aroi
Klik foto untuk paparan lebih jelas ya.

Padang Besar Street, Padang Besar, Perlis
Kami berdua pilih nasi goreng, tapi nak jugak makan tomyam, telur dadar dan sotong celup tepung. Alhamdulillah semuanya sedap sesuai selera kami. Cuma tak habis makan nasi goreng sebab banyak sangat, patutnya kami kongsi berdua je nasi goreng.

Kalau kalian ke Perlis, bolehlah ke Padang Besar Street untuk pengalaman beli-belah serta menikmati hidangan dalam suasana lebih selesa dan bersih.

Untuk ke sini, ikut saja panduan Google Maps - Padang Besar Street. Carian saya mendapati, tempat ini beroperasi setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 7.30 malam.







28 comments:

  1. Nak sangat ke Perlis lagi. Beberapa tahun lepas singgah sekejap je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lain kali datang lagi tidur 1-2 malam, boleh explore banyak tempat. Nak datang selalu, jauh 😄

      Delete
  2. Nak plan pi Perlis la nanti. Tak pernah sampai.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang kena plan tu Cie, Perlis ni kalau sesaja susah nak sampai 😄

      Delete
  3. wah area ni baru dibuka ke? 2 thn lepas tak silap ada gi perlis tp mcm x tersinggah plak tempat ni. Nampak gaya kena repeat perlis lagi ni ehhe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masa Ret datang, belum bukak la tu. Nanti repeat Hatyai, bolehlah singgah 😀

      Delete
  4. Uncle tak pernah rasa walnut ni... jumpa pun tak pernah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh beli online, saya suka makan walnut beli brand Signature Market.

      Delete
  5. Lamanya tak ke Padang Besar. Lain sangat dah nampaknya tu. Nak ke perlis macam jauhnya nak pegi semenjak duduk JB ni. hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang jauh sangat Zhi..hujung ke hujung 😄

      Delete
  6. Wah walnut dengan kulit. Itulah saya bayang mesti susah hendak pecahkan kulitnya.
    Ada pula Padang Besar Street. Entah bila dapat pergi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agaknya cara masak walnut tu jadi mudah nak bukak kulitnya. Tapi susah sikit nak tanggalkan kacang tu, pecah jadinya.

      Delete
  7. Wah, tambah tempat shopping di Perlis. Next roadtrip saya dan suami, kami plan nak ke Perlis. Cuma tak tahu bila lagi. 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah...kena bagi jadik! Boleh menggamit memori lalu.

      Delete
  8. Heaven sangat kalau dapat masuk kedai-kedai jual makanan dari Thailand.

    ReplyDelete
  9. Seronok dapat shopping dan makan-makan di Padang Besar.. Bersih sungguh kawasan persekitaran Padang Besar Street, terus LZ rasa teringin pergi ke sana, may be someday..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga Allah beri kesempatan buat LZ untuk jalan-jalan sini ya.

      Delete
  10. Wahh seronok ni kan shopping
    Mcm kat Hatyai
    Mcm2 ada

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak payah ke Hatyai kalau setakat nak shopping produk sana. Pakaian, makanan, barang kraf semua ada CikNur 😀

      Delete
  11. Sy baru sekali dua je kot ke Padang Besar. Balik kampung tak sempat nak pergi huhu... Meriah dan hidup suasana di PB sekarang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama kisah kita. Kalau dah namanya balik kampung, mana sempat nak jalan-jalan tempat lain berdekatan. Kecuali ambil cuti panjang.

      Delete
  12. Wahhhh nampak bersih, selesa dan besar tempatnya. Boleh masuk dalam agenda kalau ke Perlis satu hari yang entah bila tu ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takpe, masuk agenda dulu. Pasang niat 😀

      Delete
  13. lamanya x pi Padang Besar, SA suka pi sebab suka makan kat gerai-gerai tu...lepas tu SA suka beli stok tomyam paste dan cari barang- barang makanan yang lain...suka gak beli beras thai kat sini..tapi x berani beli banyak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa tak berani beli banyak SA? Kalau beli kat belah sini ok je kan tak lalu kastam.

      Delete
  14. Rasanya kat sini kot saya singgah dulu. Makan kat tempat ni la. Ada saya try makan kerabu kaki ayam. Sedapnya.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tempatnya nampak baru, bangunan setingkat, memang kat sinilah. Selalunya kerabu style Thai memang sedap kan..

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****