⏵ PENENTUAN WAKTU SOLAT DALAM PENERBANGAN DENGAN HALAL TRIP
Saya tahu berkenaan Halal Trip sewaktu membuat carian persediaan trip ke Jepun. Ketika itu, buat kali pertama saya perlu menunaikan solat Subuh sewaktu dalam penerbangan.
Bagaimana kita nak tahu waktu solat Subuh ketika pesawat berada di udara? Cara paling asas adalah dengan memerhatikan ketika terbitnya fajar sadiq iaitu cahaya putih terang menyebar secara melintang di ufuk timur. [Bacaan lanjut di laman web muftiwp.gov.my]
Tetapi dengan teknologi masa kini, kita boleh rujuk laman Halal Trip bagi mengetahui waktu solat dengan lebih mudah.
Buka laman web https://www.halaltrip.com/prayertimes/inflight/ atau boleh juga gunakan aplikasi Halal Trip. Masukkan maklumat penerbangan dan klik calculate.
Paparan maklumat penerbangan dan waktu solat.
Berdasarkan pengiraan, waktu solat Subuh bermula pada pukul 4.37 pagi (waktu Malaysia).
![]() |
Klik foto untuk paparan lebih jelas. |
Arah kiblat turut disertakan, boleh jadi panduan sekiranya terdapat ruang solat di sudut pesawat. Sila ambil maklum juga nota kaki berkenaan jam rujukan kita dan berkenaan ketepatan pengiraan waktu solat.
⏵ BERWUDUK DALAM TANDAS PESAWAT
Kalau waktu solat di awal penerbangan, lebih mudah kita siap-siap berwuduk di lapangan terbang sebelum naik pesawat. Tapi kalau sebaliknya, terpaksalah kita berwuduk dalam tandas pesawat.
Cabaran utama ketika nak berwuduk di dalam tandas pesawat - wuduk perlu dilakukan dengan segera dan tanpa kesan basah di tandas.
Syukurlah kedudukan kerusi saya tak jauh dari tandas, mudah saya perhatikan bila tandas kosong. Saya juga siap-siap pakai tudung jenis mudah buka dan sarung semula. Begitu juga pakaian, pilih lengan baju yang mudah disingsing. Buka stokin sebelum ke tandas dan tukar selipar. Pendek kata, buatlah persediaan supaya proses wuduk dalam tandas pesawat jadi mudah dan pantas.
Saya berwuduk dengan menggunakan botol spray saiz kecil. Lakukan wuduk pada anggota yang wajib saja (muka, tangan, kepala dan kaki) dan cukup buat 1 kali. Pastikan selepas spray anggota wuduk, airnya mengalir barulah kita ratakan air tersebut kecuali bahagian kepala (tak perlu air mengalir).
Sebelum keluar, pastikan tandas dalam keadaan kering untuk keselesaan pengguna seterusnya.
⏵ PANDUAN SOLAT DALAM PESAWAT
Sama seperti solat biasa, cuma dilakukan dalam keadaan duduk. Bab pemakaian pula, saya bawa dan pakai sarung lengan supaya aurat lengan tak terbuka ketika melakukan pergerakan solat.
Panduan solat dalam pesawat - dalam keadaan duduk di kerusi pesawat.
Kalau rasa tak yakin atau bimbing terkeliru, eloklah buat amali solat dalam pesawat ini sebelum kita terbang. Semoga dengan segala persediaan rapi, kita dapat menunaikan solat dalam keadaan tenang dan mudah.
Sebarang kemusykilan, eloklah bertanya terus kepada mereka yang arif dan berkelayakan. Saya sekadar berkongsi menurut kefahaman dan apa yang saya yakini.
Terima kasih kak Ujie share panduan ni. Senang juga bila ada appsnya, mudah kita nak tahu masuk waktu solat.
ReplyDelete