Monday, 8 September 2025

Meraikan 35 Tahun dan 23 Tahun

Cuti panjang hujung minggu yang baru berlalu, meninggalkan kenangan indah buat saya :

⏵ MERAIKAN 35 TAHUN PERSAHABATAN

Saya dan kawan-kawan sekolah menengah berkumpul di sebuah banglo tepi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi meraikan 35 tahun persahabatan - kami bertemu dan memulakan kehidupan di asrama pada Disember 1990.

Acara sebenar berlangsung selama dua hari satu malam bermula hari Sabtu, tetapi para AJK acara dan kawan-kawan yang berkesempatan datang sudah pun berkumpul mulai petang Jumaat. Riuh rendah banglo semalam tiga hari dua malam!

Saya dan Encik Suami bertolak dari utara tanah air pada awal pagi hari Jumaat. Lewat petang selesai urusan Encik Suami di Shah Alam, kami menuju ke Bangi - menginap di Hotel Tenera. Kalau balik rumah NS, banyak hal nak kena urus sebelum dapat tidur. Jadinya saya memilih bermalam di hotel supaya dapat berehat secukupnya sebelum bertemu kawan-kawan. Alhamdulillah bilik tidur selesa dan bufet sarapan pun sedap.

Pagi hari Sabtu selepas bersarapan, Encik Suami hantar saya ke Port Dickson. Sepanjang perjalanan saya rasa berdebar dan teruja, Encik Suami pula asyiklah mengusik saya - siap buat suara menjerit teruja. Cisss!

InsyaAllah catatan lanjut acara reunion di entri lain.


⏵ MERAIKAN 23 TAHUN PERKAHWINAN

Hot Stone Bowl Wagyu Beef Steak
Hari Ahad 7 September 2025, genap 23 tahun usia perkahwinan saya dan Encik Suami. Aktiviti bersama kawan-kawan berakhir lewat malam hari Sabtu, sebelum melelapkan mata (waktu sudah melepasi 12 tengah malam) sempatlah saya menghantar mesej ucapan buat Encik Suami.

Dalam perjalanan kembali ke rumah Perlis, kami singgah makan di The Place Steak Houze, Alor Setar, Kedah. Makan malam ringkas di tempat yang menarik, servis bagus dan makanan sedap - sudah cukup bagi meraikan hari istimewa kami.

*

Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah pada pukul 10 malam. Jojo si anak bulu bising mengiau menyambut kepulangan kami.

Bangun pagi ni terasa letih dan sakit badan kesan perjalanan jauh dan aktiviti bersuka ria bersama kawan-kawan. Letih tapi seronok!

Terima kasih Allah atas kurniaan 35 tahun persahabatan dan 23 tahun perkahwinan yang penuh warna. Semoga persahabatan kami dan perkahwinan ini terus utuh dan diberkati Allah 💙







3 comments:

  1. lamanya bersahabat. semoga hubungan terus baik hingga akhir usia. Happy anniversary juga untuk kak Ujie dan suami.

    ReplyDelete
  2. Tahniah Ujie menyambut ulangtahun perkahwinan ke 23. Eh, tak sangka pulak kita sama² ada di Port Dickson hari Sabtu lepas ya, hihi.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah...
    semoga terus bersahabat sampai bila-bila..

    selamat ulang tahun perkahwinan juga, semoga sihat2 selalu bersama suami.. aamin

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****