Friday 13 September 2024

Masjid Pusat Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla, Thailand | Ahad, 25 Ogos 2024]

Menyambung kembali catatan lawatan singkat ke Songkhla. Selepas menikmati hidangan di The Seaside Halal, konvoi kami menuju ke sebuah masjid yang terkenal di sini iaitu Masjid Pusat Songkhla (The Central Mosque of Songkhla).

Ia juga dikenali sebagai masjid ‘Taj Mahal’ kerana seni binanya dan juga dikenali sebagai masjid ‘orang Malaysia kahwin’ - suatu kenyataan yang tak sedap kita dengar.

Kami ke sini untuk menunaikan solat jamak Zohor-Asar, serta nak melihat sendiri rupa masjid besar yang menjadi lambang kewujudan agama Islam di wilayah Songkhla.

Semasa kami tiba, kelihatan beberapa buah bas diparkir di perkarangan bangunan masjid. Suasana petang tersebut agak meriah dengan pengunjung. Saya sempat berbual ringkas dengan salah seorang pengunjung, katanya mereka dari Jawa Barat, Indonesia.

Di suatu sudut (kedudukan jauh sedikit dari masjid), saya lihat ada sebuah makam. Carian saya mendapati, makam tersebut milik Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon yang meninggal dunia pada tahun 2023.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Pemandangan bahagian hadapan Masjid Pusat Songkhla. Foto-fotonya kurang menarik kerana cuaca mendung selepas hujan membasahi bumi.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Perlu mendaki anak tangga untuk masuk masjid. Kemudian perlu menuruni anak tangga untuk ke tempat wuduk dan tandas di tingkat bawah. Tak sesuai bagi mereka yang ada masalah lutut.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Bahagian dalam masjid - ruang solat utama. Sebelah kiri yang ada penghadang tu ruang solat muslimah. Masjid ini tak menggunakan karpet, terasa sejuk tapak kaki melangkah. Bagusnya lantai begini, lebih mudah penjagaannya dan tak perlu dana untuk ganti karpet usang.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Seni bina yang dikatakan seperti Taj Mahal di India. Maka sebab itu masjid ini juga dikenali sebagai ‘Taj Mahal Thailand’. Tapi saya lebih suka jika kita tak menyebut satu-satu tempat itu dengan nama tempat lain. Setiap tempat adalah unik dan ada identitinya sendiri.

5 petang waktu Thai.
Mengabadikan memori di Masjid Pusat Songkhla. Berjalan dengan ‘kanak-kanak riang’ memang sentiasa aktif dan ceria 😀. Saya tiada dalam foto sebab jadi tukang foto.

Hari sudah menghampiri lewat petang. Acara jalan-jalan di wilayah Songkhla masih belum berakhir. Konvoi kami menuju ke bandar Hatyai pula. Bersambung pada catatan akan datang.







Thursday 12 September 2024

Sampai Nanti

 
Judul : SAMPAI NANTI
Penulis : Syaz Eym
Penerbit : Nursyazni e-Book Pub
Tahun terbit : 2024
Jumlah halaman : 566


Sampai Nanti sebuah novel versi e-book yang berkisar tentang konflik diri, percintaan, persahabatan dan perkahwinan. 

Pengkhianatan masa lalu Najah terhadap sahabat baiknya, akhirnya memakan diri. Hadirnya insan ketiga membuatkan Najah tersedar tentang cinta dan perasaan terhadap suaminya, Mustaqim. Muncul pada detik yang tepat, Hatim hadir memberi kata-kata semangat buat Najah.

Mampukah rumah tangga Najah dan Mustaqim bertahan? Masih adakah peluang kedua buat Najah untuk mengecap bahagia?

Sampai Nanti, sebuah kisah yang penuh pengajaran dan nilai positif. Tahniah buat sahabat blogger Syaz yang berjaya menggarapnya dengan begitu kemas.

“Ya. Sebab tu, saya selalu percaya pada peluang kedua. Kadang-kadang, yang pertama itu cuma untuk mempersiapkan kita supaya dapat menghadapi kali kedua dengan lebih baik. Lebih mensyukuri apa yang kita ada, dan yang kita mampu beri.” - Hatim








Wednesday 11 September 2024

Dua Puluh Dua Tahun


Foto dirakam pada 25 Ogos 2024 lalu.

"Bosan tak ya hidup berdua aje?"
"Kak, macam mana boleh kekal tabah (perkahwinan tanpa zuriat)?"
“Memang tak nak ada anak ya?”

Ini antara soalan yang pernah diajukan kepada saya 😄

Hari Sabtu lalu bersamaan 7 September 2024, genap sudah usia bahtera rumah tangga saya dan Encik Suami selama 22 tahun.

Tak sempat saya nak mencatat memori di blog pada tarikh tersebut kerana kami sedang bercuti di kampung halaman. Kebetulan, pagi hari tersebut kami berada di rumah mak saya - lokasi majlis akad nikah kami. Terus terkenang memori dua puluh dua tahun lalu - bagaikan ada layar yang menayangkan semula detik-detik tersebut.

Alhamdulillah…saya bersyukur dengan segala aturan dari Allah Yang Maha Kuasa. Terima kasih Allah atas kurniaan seorang suami dan sahabat baik 💙

Semoga rumah tangga kami dan sahabat blogger semua sentiasa diberkati Allah serta beroleh bahagia di dunia dan akhirat.








Tuesday 10 September 2024

Empat Malam di Selatan Tanah Air | Catatan 4-8 September 2024

Alhamdulillah minggu lepas saya dan Encik Suami berkesempatan pulang ke kampung halaman kami di selatan tanah air. Kali terakhir kami berada di kampung adalah sewaktu sambutan hari raya Aidilfitri.


⏵ RABU, 4 SEPTEMBER 2024
Kami bertolak dari rumah Perlis sebelum waktu Zohor dan tiba di Cyberjaya kira-kira pukul 8.30 malam. Encik Suami pergi berjumpa seseorang, sementara menunggu tu saya makan di Saba Restaurant.

Selesai urusan, kami balik ke rumah NS untuk bermalam.

Kunafa di Saba Restaurant. Sedap tapi tak mampu nak habiskan makan.


 KHAMIS, 5 SEPTEMBER 2024
RESTORAN SALOMAK SAMPODEH | Paginya rancang nak bersarapan di Restoran Salomak Sampodeh. Tapi bertukar jadi makan tengah hari sebab kami sampai sekitar pukul 10 pagi, makanan tengah hari dah terhidang. Rezeki sungguh! Dapatlah kami makan masakan cita rasa Nismilan (Negeri Sembilan) di negeri asalnya.

Deretan lauk-pauk yang cukup menggoda. Tapi sebab masih awal, ada menu yang belum siap dimasak.

5 jenis lauk pilihan kami. Sedap semuanya 😋

Sedang kami menikmati makanan, pemilik restoran iaitu pasangan suami isteri jiran belakang rumah kami pun tiba. Terkejut mereka nampak kami orang jauh ada di restoran mereka. Dulu kerap jugalah saya dan jiran berborak di lorong belakang rumah kami, tapi sejak berpindah jauh ni memang dah lama kami tak berborak.

Alhamdulillah…tumpang seronok dengan kejayaan jiran kami mengusahakan restoran ini. Syukur juga sebab memudahkan saya nak menikmati masakan Nismilan - lokasinya tak begitu jauh dari rumah NS, menawarkan pelbagai jenis hidangan tradisi dan harganya yang berpatutan dengan rasanya yang memenuhi selera saya. Moga Restoran Salomak Sampodeh terus maju jaya!


VECHAIR TECHNOLOGY |  Selepas makan, kami ke showroom menjual kerusi roda di Seri Kembangan, Selangor. Sejak awal tahun ini Mak saya dah mula menggunakan kerusi roda. Dan baru-baru ini kami adik-beradik sepakat nak belikan pula kerusi roda elektrik, lebih mudah Mak bergerak tanpa perlu bantuan orang tolak kerusi roda. Tangan Mak dah tak kuat untuk gerakkan sendiri kerusi roda.

Tapi tak banyak pilihan dan tiada stok kerusi roda elektrik di Pontian, berbeza di bandar besar kawasan Lembah Klang ni memang lebih banyak pilihan dan harganya kompetitif. 

Terdapat pelbagai jenis alat bantuan pergerakan dijual di sini. Kita boleh cuba sendiri sebelum membeli.

Kami beli kerusi roda elektrik jenis begini. Boleh guna di dalam rumah dan luar rumah. Ada 5 kelajuan dan perlu cas penuh selama 8 jam untuk pergerakan anggaran sejauh 16 km.

Bagi yang nak cari alat bantuan pergerakan, saya syorkan beli di sini. Harga berpatutan, layanan yang cukup mesra, sangat mudah berurusan dan penerangan produk yang jelas. Boleh lawati media sosial mereka di Instagram, Facebook, TikTok, Youtube - @vechair.


RUMAH KOPI SOGAMA | Alhamdulillah kami sampai di Pontian, Johor sekitar pukul 6.30 petang. Sebelum sampai rumah mak, kami singgah makan di Rumah Kopi Sogama. Keadaan di hadapan kedai sesak dengan kenderaan sebab masa ni budak-budak balik sekolah agama.

Biasanya kalau ke sini, kami duduk di bahagian luar belakang/tepi. Kali ini kami dapat duduk dalam sebab pelanggan tak ramai.

Saya suka makan di sini sebab servis pantas walaupun sewaktu ramai pelanggan. Pilihan menu memang tak banyak, tapi yang ada ni pun dah cukup sedap memuaskan selera saya.


 JUMAAT, 6 SEPTEMBER 2024
Petang hari Jumaat, saya dan ahli keluarga yang ada di Pontian datang berkumpul di rumah Mak kami. Alhamdulillah seronok dapat berkumpul dan berborak sambil menikmati hidangan ringkas. Tak ramai pun, semuanya 13 orang saja termasuk kami suami isteri.

Sate, nasi lemak dan carrot cake kami beli di Rumah Kopi Sogama.

Beli sate 150 cucuk je, tak perlu tempahan awal. Kami cuma maklumkan beberapa jam sebelum nak ambil. Sate ni disediakan oleh penjual yang menyewa gerai di Rumah Kopi Sogama. Sedap rasa sate dan kuah satenya.


 SABTU, 7 SEPTEMBER 2024
PAK LURAH BISTRO | Dari kampung saya, kami menuju ke kampung Encik Suami di Batu Pahat, Johor. Sebelum sampai rumah mak mentua, kami singgah makan di Pak Lurah Bistro. Kedai makan di tepi Jalan Besar Parit Sulong ni dah jadi macam satu tempat wajib singgah setiap kali kami balik kampung.

Kopi chandu ais, kacang pool dan nasi kambing dengan dendeng kambing. Sebab sedap sungguh dendeng kambingnya, kami beli bawa balik dua bekas dendeng kambing - satu untuk rumah mak mentua dan satu lagi kami bawa ke Perlis.

SERI MEGA SEAFOOD | Lewat petangnya, kami keluar makan malam bersama mak mentua dan adik ipar sekeluarga.


Kali ini saya puas hati dapat makan sotong celup tepung, bukan cekodok sotong. Makanan lain yang dipesan juga semuanya sedap. Alhamdulillah!


 AHAD, 8 SEPTEMBER 2024
Seawal pukul 8.30 pagi kami bertolak dari rumah mak mentua menuju ke rumah Perlis. Ikut rancangan asal, kami nak gerak lewat sedikit dan di pertengahan jalan akan bermalam di hotel. Tapi tiba-tiba Encik Suami ada urusan penting di Perlis pada pagi Isnin. Maka terpaksalah ubah rancangan.

Dalam perjalanan, kami keluar tol untuk singgah ambil barang di rumah NS. Lepas tu terus makan tengah hari dan membeli keperluan di Aeon Nilai. Gitu gini, lebih dua jam jugalah habis masa di Nilai.

Perjalanan balik ke utara lancar tanpa halangan. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Perlis pada pukul 10 malam. Jumlah jarak perjalanan dari negeri paling utara ke negeri paling selatan (pergi dan balik) - 1,915 km. Satu lagi rekod yang pahit untuk ditelan - berat badan saya naik 2 kg dek berselera makan di sana sini 😂


Terima kasih Allah atas segala kurnia 💙







Wednesday 4 September 2024

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Sedang elok konvoi kami tiga buah kenderaan bergerak meninggalkan Zoo Songkhla, hujan turun dengan lebatnya. Destinasi kami seterusnya - kedai makan halal.

Alhamdulillah kami ternampak sebuah kedai makan halal yang terletak di tepi jalan. Mudah dilihat. Macam mana tahu halal? Ada papan tanda tertera The Seaside Halal. Masa ni hujan dah reda, cuma gerimis masih membasahi bumi.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau dari jalan raya, akan nampak sebuah pondok kecil yang dijadikan surau. Pergi belakang sikit barulah nampak ruang makan yang menghadap tasik.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Awalnya saya menyangka kedai makan ini menghadap lautan. Tetapi rupa-rupanya inilah Tasik Songkhla - tasik semula jadi terbesar di Thailand dengan keluasan 1,040 km². 

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau cuaca cerah, tentu cantik dapat berfoto di jeti ini.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Saya tertarik dengan atap kedai makan ini yang menggunakan daun, entah daun apa ya? Atap daun begini nampak klasik dan mewujudkan suasana nyaman.

Kami buat pesanan makanan berpandukan buku menu tulisan Thai dan bahasa Inggeris. Antara makanan yang kami order - tiga ekor ikan siakap dan ikan jenahak (berbeza jenis masakan), tomyam seafood dan sotong celup tepung. Pantas juga mereka memasak, tak perlu lama menunggu satu persatu hidangan kami tiba di meja makan.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Setiap gelas minuman dihiasi bunga telang.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Hmm…kecewa sungguh saya bila dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Bila dimakan, potongan sotong lerai dari tepung. Rasanya juga kurang memenuhi selera saya.

Sebenarnya, tempoh hari semasa kami makan di Satun pun dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Tapi masih boleh diterima sebab rangup luarnya dan sedap rasanya.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Alhamdulillah makanan lain semuanya memenuhi selera. Habis dimakan semuanya. Seronok jalan-jalan dengan geng yang sentiasa berselera, makan apa pun licin!


Destinasi seterusnya, kami ke masjid 'Taj Mahal'.








Monday 2 September 2024

Zoo Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Zoo Songkhla menjadi destinasi pertama konvoi kami di wilayah Songkhla. Lucunya, masing-masing tak tahu akan ke zoo 😂. Rata-rata ahli konvoi belum pernah ke wilayah Songkhla, jadi kami ikut saja kenderaan paling hadapan selaku tour guide tanpa bertanya arah tujuan.

Zoo Songkhla terletak di kawasan bukit, perjalanan agak berliku dan mendaki. Di sudut tertentu, saya dapat menyaksikan panorama indah lautan terbentang di bawah. Selepas itu baru saya tahu, lautan tersebut sebenarnya Tasik Songkhla.

Zoo Songkhla, Thailand
Bayaran masuk Zoo Songkhla.
Harganya boleh tahan ya untuk pelancong asing 😅. Tapi sebab dah sampai depan pintu masuk zoo, maka kita teruskan jugalah.

Anggaran bayaran dalam tukaran semasa duit Malaysia - RM44 / bayaran masuk dewasa dan RM6 / bayaran bawa masuk kereta. Kalau tak nak bawa masuk kereta, boleh naik tram dengan bayaran tertentu. Nak jalan kaki je? Tak digalakkan sebab kawasan ni luas dan berbukit. 

Zoo Songkhla, Thailand
Peta Zoo Songkhla (sumber : songkhla.zoothailand.org)
Setiap kenderaan akan diberi peta zoo dan jadual pertunjukan / waktu memberi makan haiwan tertentu, ada yang percuma dan ada yang perlu bayaran tambahan.

Zoo Songkhla, Thailand
Haiwan pertama yang saya nampak sebaik turun dari kereta. Entah kenapa, saya rasa kasihan pulak melihatnya. Di sini pengunjung boleh membeli makanan untuk beri badak makan.

Sedap tidur tengah hari ya singa. Masa ni pukul 12.15 tengah hari waktu Thai.

Pukul 12.30 tengah hari, pengunjung boleh menyaksikan secara percuma aktiviti memberi makan harimau. Mula-mula makanan iaitu daging diikat dan dimasukkan dalam air. Harimau ikut masuk air dan berusaha mendapatkan daging yang digerakkan ke sana sini. Pengunjung bersorak dan bertepuk tangan apabila harimau berjaya mendapatkan makanannya.

Zoo Songkhla, Thailand
Dua ekor harimau sedang berusaha mendapatkan daging yang digantung pula.

Zoo Songkhla, Thailand
Tak terus diberi, daging tersebut digerak-gerakkan. Saya mula rasa kasihan.

Zoo Songkhla, Thailand
Seekor lagi harimau memanjat tinggi untuk mendapatkan makanannya.

Saya tak menunggu lebih lama lagi. Saya kurang senang dengan suasana bunyi muzik kuat dipasang dan makanan diberi seperti mempermainkan haiwan yang sedang lapar. Saya rasa kasihan pulak pada harimau-harimau ini. Menurut saya, boleh saja beri makanan tanpa perbuatan mengacah harimau. Itu pun dah cukup buat pengunjung teruja dapat menyaksikan bagaimana harimau menikmati makanannya.

Lemur
Ring-tailed lemur.
Kami kemudiannya memandu ke kawasan yang menempatkan lemur. Jenis lemur yang ada di zoo ini berbeza dengan lemur yang saya lihat sewaktu kunjungan saya ke Taman Negara Bako, Sarawak. Comel dan sangat menarik rupa ring-tailed lemur. Halus je bunyi sesuai dengan rupanya. Di sini pengunjung juga boleh membeli makanan untuk diberi kepada lemur. Patutlah semuanya berkejaran mendekati kami (di sebalik jaring besi), mungkin menyangka kami akan beri makanan. 

Sloth
Linne’s two-toed sloth.
Teruja saya apabila tahu di Zoo Songkhla terdapat sloth, haiwan mamalia paling perlahan di dunia! Haiwan penghuni hutan hujan Amerika ini aktif pada waktu malam. Maka, kecewa jugalah kami sebab tak berpeluang menyaksikan bagaimana sloth bergerak. Nak tengok rupa paras sloth pun tak nampak, cuma nampak bahagian belakang badannya yang sedang berehat di dahan pokok.

Geng konvoi 10 orang (saya dan seorang lagi tiada dalam foto) di kawasan rusa.

Zoo Songkhla, Thailand
Di sini kita dapat menyaksikan rusa lepas bebas, bukan dalam kandang. Tapi kita dilarang berada terlalu dekat dengan rusa. Belum sempat dekat pun, kawanan rusa dah beredar memanjat lereng bukit. Tak sempat nak berfoto sama 😄

Tumbuhan yang menarik perhatian saya - ada buah dan bunganya berwarna purple lembut.

Setelah menghabiskan masa kira-kira 1jam 30 minit, kami beredar dari Zoo Songkhla. Masing-masing dah kelaparan, tak boleh berlama-lama lagi. Kalau ikutkan luas kawasan zoo dan haiwan yang nak diperhatikan, mungkin perlu beberapa jam di sini.

Secara keseluruhannya, Zoo Songkhla menarik untuk dikunjungi terutamanya jika datang bersama kanak-kanak. Boleh menambah pengetahuan berkenaan haiwan dan memupuk rasa sayang terhadap haiwan. Pun begitu, secara peribadi terselit rasa kurang seronok bila saya lihat ada haiwan yang seperti tak cukup makan dan mengharapkan pemberian makanan oleh pengunjung. Harapnya tak berlaku sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan-haiwan ini.


**********************************

ZOO SONGKHLA
189 Songkhla-Natawi Road,
Moo 5, Khao Roop Chang, Muang Songkhla,
Songkhla, Thailand.

Waktu operasi :
Setiap hari | 8.30 pagi - 4.30 petang