Thursday, 27 January 2022

Pendakian Pertama di Tahun 2022 | Gunung Keriang, Kedah

AHAD | 16.01.2022

Gunung Keriang merupakan bukit batu kapur berketinggian 217.92 mdpl (meter di atas permukaan laut) yang terletak kira-kira 9 km dari Alor Setar, Kedah. Kedudukannya di tengah-tengah jelapang padi Kedah menyajikan pemandangan indah bagi para pendaki. Gunung Keriang juga terkenal dengan kecantikan batu kristalnya.

Untuk ke sini, buat carian di aplikasi Google Maps ‘Gunung Keriang Peak Trailhead (Behind Shop)’. Laluan permulaan pendakian Gunung Keriang terletak di belakang deretan kedai. Kawasan parkir disediakan secara percuma. Tandas awam ada, tapi nampaknya tak boleh digunakan masa saya ke sini. Di deretan kedai tu pula, ada kedai yang menjual batu kristal Gunung Keriang. Tapi saya tak berkesempatan melihat-lihat, masa sampai nak cepat mendaki dan masa balik dah penat serta lapar nak cepat makan pula.

Jom kita mulakan pendakian…

Saya dan suami memulakan pendakian di Gunung Keriang pada pukul 10.15 pagi. Kita akan melewati kawasan perkuburan Islam (di sebelah kiri saya).

Permulaan pendakian, mendaki anak-anak tangga.

Disebabkan Gunung Keriang merupakan bukit batu kapur, maka hampir keseluruhan laluan kita perlu memanjat batu. Satu cabaran dan pengalaman baru bagi saya dan suami. Ada laluan yang agak sukar dan ada laluan yang mudah dengan bantuan handrail atau tali. Sambil tu perhatikan juga pelbagai formasi batuan yang unik di sepanjang perjalanan. Tapi awas, kena berhenti kalau nak memerhati sebab kita mendaki batuan perlu kekal fokus melihat setiap langkah.

Gunung Keriang, Kedah
Pemandangan indah negeri Kedah yang dapat kita saksikan sewaktu pendakian.

Eh, ada dekorasi juga di atas ni ya. Nampak macam baru di buat. Ada juga dekorasi kayu berbentuk arnab di tepi tu. Bolehlah bergambar sambil melepas lelah di sini. Walaupun menurut pendapat saya alam semula jadi lebih indah kekal seperti adanya, tetapi dekorasi begini saya masih boleh terima kerana menggunakan bahan semula jadi. 

Antara formasi batuan yang menarik. Macam disusun. Sampai di sini, terdapat satu papan tanda. Ke kiri (atas) menuju ke puncak Gunung Keriang dan ke kanan (bawah) menuju ke Gua Terus. Tapi sayangnya, laluan ke Gua Terus sudah di halang dengan pita dan terdapat notis larangan. Menurut info dari pendaki lain, Gua Terus ditutup disebabkan terdapat runtuhan. Nampaknya bukan rezeki kami untuk meneroka Gua Terus.

Antara lubang-lubang gua kecil yang ditemui. Kami jenguk sikit sambil menyuluh ke dalam.

Celahan batu besar ni bukanlah laluan ke puncak. Ada ruangan di sebalik batu besar ni kalau nak menyorok. Saya berdiri setakat di situ saja untuk foto kenangan. 

Antara laluan yang melegakan. Laluan yang susah memang tak sempatlah nak ambil foto.

Menghampiri puncak, pemandangan yang cantik di bawah sana. Hati-hati nak bergambar, batunya agak tajam bergerigi dan panas. Maklumlah, sekarang masuk waktu tengah hari dan sedang musim panas terik di utara. 

Gunung Keriang, Kedah
Alhamdulillah! Dengan izin Allah, saya dan suami selamat sampai ke puncak Gunung Keriang sekitar pukul 11.30 pagi. Lega! Beginilah rupa puncak Gunung Keriang. Terdapat sebuah pondok kecil untuk melepas lelah dan berlindung daripada terik matahari. Tak ada tempat rata, semuanya berbatu dan tajam. Kena berhati-hati mengatur langkah dan memegang batuan yang panas. Syukur juga keadaan berangin di atas ni, kuranglah rasa panas.

Terdapat dua pelantar untuk pendaki berfoto kenangan. Salah satunya di sini - ‘Pelantaq Keriangan’, cantik pelantar ni. Tapi tak boleh ramai-ramai demi keselamatan. Nak bergambar pun jangan lama sangat, kena bergilir dengan pendaki lain ya.

Kalau nak berfoto ada sayap, boleh bergambar di replika (entah apa nak sebut) berbentuk sayap di atas ni. Tapi saya kurang berminat dan berharap benda-benda begitu tak perlulah diletak atas puncak. Pendapat peribadi saya, tempat tarikan alam semula jadi seharusnya dikekalkan begitu adanya kerana itu yang dicari oleh pencinta alam semula jadi. Sudah memadai pondok rehat dan pelantar untuk kemudahan pendaki.

Panorama jelapang padi menghijau dari puncak Gunung Keriang. Sangat cantik dan tenang memandangnya. Dari sudut bertentangan pula, kita boleh nampak Menara Alor Setar. Itulah kelebihan Gunung Keriang, kita boleh lihat panorama hampir 360 darjah (kalau tak terhalang dengan pepohon).

Aktiviti suami saya semasa di puncak, sibuk meneropong. Saya pun dibelikan sebuah binokular yang lebih kecil dan ringan. Memang seronok dapat memerhati bawah dengan lebih jelas.

Kami beredar dari puncak Gunung Keriang setelah menghabiskan masa sekitar 30 minit untuk berehat dan menikmati panorama alam. Perjalanan turun terasa lebih mudah. Namun tetap mencabar sebab perlu menuruni batu-batu pula.

Alhamdulillah kami selamat kembali di kaki Gunung Keriang sekitar pukul 12.40 tengah hari. Rekod perjalanan naik mengambil masa 1 jam 15 minit dan turun mengambil masa 40 minit. Kami ambil masa untuk naik, maklum saja stamina pun kurang dan saya pula banyak berhenti memerhati sekitar. Cuma kali ni tak dapat ambil gambar flora dan fauna sebab tak jumpa sangat, mungkin kerana bukan laluan hutan.

Untuk peminat aktiviti pendakian atau pencinta alam semula jadi, bolehlah cuba mendaki Gunung Keriang ni. Ada cabaran dan keunikan tersendiri. Tak perlukan permit dan tak perlukan juru pandu. Perhatikan saja tanda-tanda yang telah disediakan disepanjang laluan. Pastikan pakai kasut dengan tapak yang bagus dan sarung tangan yang sesuai untuk memudahkan kita memanjat batu-batu. Kalau boleh, elakkan sampai puncak pada waktu tengah hari untuk mengelakkan panas terik.


25 comments:

  1. Mencabar trail berbatu ni. Batu tajam tajam pulak tu kena hati hati. Cantik trailnya menarik lain dari biasa. Biasa trail tanah je. Atas pun siap pelantar dan dekorasi lagi. Cantik view atas. Selain lega dah berpenat, rasa puas dapat tengok view dari atas. Tahniah kak berjaya sampai puncak :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Fiza. Seram jugak mulanya tengok semua laluan batu. Memang sangat hati-hati tak boleh leka. Pengalaman pertama.

      Delete
  2. Selamat beriadah
    Cantik pemandangannya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah…cantik dan rasa tenang tengok.

      Delete
  3. Bagi saya mencabar kalau mendaki batu-batu yang tajam.
    Apapun kena buat persediaan. Bawa botol air juga kan kalau haus.
    Setuju kalau ada tarikan semukajadi tidak perlu buat props.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang mencabar, lagi pulak ni kali pertama saya mendaki trek berbatu 😅
      Air bawa sebotol seorang, coklat, ORS. Makan minum tulah masa rehat kat puncak.

      Delete
  4. wahhh cantiknyq nmpk view sawah padi
    lamaaa ciknur x hikingg
    kena. tunggu musim durian hiking kat bukit duriann he hzz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amboi cik nor..kat mana tu bukit durian? 😄

      Delete
  5. wahhhh cantik betul kak pemandangannya, Subhanallah... sawah padi terbentas luas sayup mata memandang.
    Masa tahun 2019 masa ke kedah ada lah lalu tengok gunung ni cantiknya, tapi tak la dapat mendakinya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Orang kata kalau padi tengah menguning lagi cantik. Tapi dapat tengok tengah menghijau pun cantik juga.

      Delete
    2. kalau hijau pun dah cantik, kuning lagilah kan kak

      Delete
  6. CAntiknya pemandangan! Sayup mata memandang!

    ReplyDelete
  7. aduhai..melting tengok pemandangan sawah dari atas tu... kat pahang dan johor ni banyak kebun getah je...

    ReplyDelete
  8. Dulu sy bersekolah di Alor Star... Hari2 nampak Gunung Keriang ni :)
    Cantik betul pemandangannya, seakan lukisan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah untunglah PH, hari-hari tengok pemandangan alam yang menenangkan.

      Delete
  9. cantiknya pemandangan. dua minggu lps sy sekeluarga pi mendaki Bukit Keluang di Besut, Terengganu. Mencabar juga la. Ramai org naik pd pagi Sabtu tu....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya teringin jugak nak mendaki Bukit Keluang tu kalau berkesempatan ke Terengganu. Mungkin kena elak hujung minggu supaya tak ramai sangat.

      Delete
  10. hebat kak Ujie. bestnya..kalau dekat dah lama pergi. sy sependapat dengan akak. kurang suka hiasan moden berlebihan di kawasan alam semulajadi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Taklah hebat mana, beberapa hari jugak sakit kaki tangan 😆

      Kan...mencacatkan pemandangan.

      Delete
  11. hi kak, nk tanya..berapa bayaran untuk nak mendaki gunung keriang nii?

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****