Wednesday 22 December 2021

Superfruit | Buah Gac

Ada yang kenal buah ini (lihat gambar di bawah)? Inilah BUAH GAC. Sebelum ini saya sekadar tahu nama buah ini (tanpa kenal rupanya), dan ini merupakan kali pertama saya melihatnya sendiri.

Buah Gac dikategorikan sebagai superfruitSuperfruit merupakan kelompok buah-buahan yang memiliki nutrisi tinggi yang bermanfaat bagi kesihatan, seperti antioksidan, serat, vitamin dan mineral dan banyak nutrisi lainnya yang tentu bermanfaat bagi kesihatan tubuh.

Superfruit ialah terminologi yang digunakan oleh industri makanan untuk menggambarkan buah-buahan yang mempunyai nilai nutrisi yang melebihi tahap nutrisi asas.

Istilah superfruit ini telah diperkenalkan pada 2005 untuk mempromosi beberapa jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti yang lazimnya diaplikasikan dalam makanan kesihatan dan minuman serta berpotensi untuk mencegah atau mengurangkan penyakit. (Sumber info : web laman eksotik perlis)

Buah Gac
Buah Gac - warna oren kemerahan, kulitnya berduri tetapi tidaklah begitu tajam.

INFO BUAH GAC
Buah Gac atau gac fruit atau dalam bahasa saintifiknya Momordica Cochinchinensis dari famili Cucurbitaceae merupakan buah yang boleh didapati di rantau Asia Tenggara yang berasal dari Selatan China ke Timur Laut Australia, termasuk Thailand, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

Pokok buah Gac mempunyai musim yang pendek dan hanya mengeluarkan buah sekali setahun sekitar bulan Disember dan Januari, menyebabkan kurangnya kelihatan jika dibanding dengan buah-buahan lain. Buah Gac telah mula popular dan dipasarkan di luar Asia dalam bentuk jus kerana kandungan fitonutrien yang tinggi.

Buah Gac atau melon merah, tumbuh sebagai tumbuhan menjalar pada pagar atau pada trilis. Gac mengeluarkan buah berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna oren gelap apabila matang, dan biasanya berbentuk bulat atau bujur dengan saiz antara 13 cm panjang dan 10 cm garis pusat. Kulit bahagian luarnya berduri kecil (bergerigi) manakala pulpa didalam berwarna merah gelap menutupi kelompok biji benih. Rasanya agak pahit seperti peria.

Secara tradisinya, Gac dimakan sebagai buah-buahan manakala daunnya dimasak untuk hidangan di Vietnam, Gac juga digunakan untuk perubatan. Membrane biji benih dikatakan dapat membantu dalam melegakan dan menyejukan mata dan juga untuk menggalakkan kesihatan penglihatan. Begitu juga, dalam perubatan tradisional Cina, biji benih buah Gac, yang dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai mù Bie zǐ yang membawa maksud 'kayu penyu benih', digunakan untuk pelbagai tujuan dalaman dan luaran.

Buah Gac mencapai µg 380/gram lycopene jika dibandingkan dengan buah tomato yang hanya mengandung µg 31/gram lycopene. Kandungan beta-karoten dan lycopene memberikan warna oren, jingga dan merah pada buah atau sayur. Pengambilan buah atau sayur yang mengandungi lycopene mampu memperbaiki kerosakan pembuluh darah, menekan pembentukan kolestrol, ketumpatan rendah (LDL – low density lipoprotein) dan mengurangkan risiko serangan jantung. 

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Cambridge England yang diketuai oleh Parag Gajendragadkar, mengukur tekanan darah, kelajuan aliran darah, kadar kalestrol baik atau high density lipoprotein (HDL) dan low density lipoprotein (LDL) menggunakan pelbagai parameter. Hasilnya pengambilan lycopene terbukti meningkat keanjalan saluran darah pesakit dan mengurangi serangan jantung sehingga 53%.

Oleh kerana kandungan yang tinggi beta-karotena dan lycopene, ekstrak gac mampu mendapat pasaran yang baik sebagai makanan tambahan dalam bentuk kapsul lembut atau jus minuman. (Sumber info : web laman eksotik perlis)

Jom potong buah Gac.

Buah Gac
Beginilah rupa isi buah Gac setelah dipotong. Yang warna kuning tu lembut, saya tak cuba makan. Saya lihat di Facebook ada yang kisar jadikan jus dan ada yang campur dalam masakan. Biji-biji kecil dengan selaput warna merah gelap tu pula katanya cuma boleh dimakan sebanyak 3 biji sahaja dalam sehari. Kalau berlebihan mungkin akan mendatangkan mudarat disebabkan nilai nutrisinya yang tinggi. Bagaimana rasanya? Tiada rasa. Bagi saya, ianya bukanlah sedap untuk dimakan begitu saja. Tapi sebab dah ada, makan sajalah untuk ambil khasiatnya.

Buah Gac
Begini rupa biji benih buah Gac. Kecil, leper dan berwarna hitam.

Bagi yang berminat nak mendapatkannya, saya lihat ada yang menjual benih, anak pokok dan buah Gac ini di Shopee, Lazada dan Facebook. Hasil carian saya juga mendapati pokok buah Gac ini ada ditanam di Taman Buah-Buahan Eksotik yang terletak di Jalan Batu Pahat, Perlis. Bolehlah datang melawat bagi yang ingin melihat pokok dan buah Gac secara dekat. Saya tak pasti mereka menjualnya atau tidak.



13 comments:

  1. Pernah jumpa masa gi floating market di Bangkok..beli sebiji bw balik M'sia..ha'ah..tawar rasanya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok jugak kita rasa tawar, ada orang kata rasa pahit. Tapi tak pasti yang kata pahit tu sebab makan biji kecik tu, atau makan isi kuning.

      Delete
  2. Tak pernah makan lagi buah ni. Striking betul warna dalamnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takut jugak nak makan masa mula-mula nampak warna isi dalam tu 😄

      Delete
  3. Pertama kali dengar dan tengok buahnya kak. Unik betul. Kalau buah exotic memang susah lah nak jumpa. Rasa nak makan tu teragak agak sikit. Warna dia cantik tapi. Terima kasih share kak.
    Tengok tempat ingatkan Batu Pahat Johor. Perlis rupanya.

    ReplyDelete
  4. Pertama kali tahu akan buah ni.
    Tq for info.

    ReplyDelete
  5. Oh begitu rupa buah gac. Ada dengar tapi tidak pasti rupa sebenar-benarnya.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas perkongsian. Info baru ni. Even makanan berkhasiat pun kena diambil berpada kan

    ReplyDelete
  7. tq for the info.
    aida tak pernah tgk & makan buah ni.
    ni la first time membaca tentangnya :)

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****