Catatan hari Rabu - Sabtu, 25 - 28 Februari 2026.
Selama empat hari saya ikut Encik Suami ke Lembah Klang atas urusan kerja. Buat pertama kali, kami menginap di Mardhiyyah Hotel & Suites yang terletak di Shah Alam. Hotel ini dahulunya dikenali sebagai Grand Blue Wave Hotel.
Perjalanan dari rumah Perlis ke Shah Alam, Selangor sejauh hampir 500 km terasa sangat melelahkan dek pergerakan kenderaan yang tidak lancar di lebuh raya - terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di banyak tempat dan hujan lebat di beberapa tempat. Tambahan pula kami sedang berpuasa.
Kami tiba di hotel sudah pun lewat petang. Sebaik kaki melangkah masuk di ruang legar hotel, terdengar alunan lembut bacaan zikir dan selawat. Terasa lain suasananya.
Ruang legar hotel luas, saya hanya memotret satu sudut je. Badan dah penat, saya ambil foto sekadarnya setakat buat kenangan dan rujukan.
Penginapan kami di aras 13, bilik jenis Deluxe King RM188/malam tidak termasuk bayaran Selangor Sustainability Fee RM7/malam.
Perabot dan karpet nampak agak usang, tetapi semuanya dalam keadaan bersih dan tiada bau yang tak menyenangkan. Keluasan bilik sangat memuaskan dan lengkap pelbagai kemudahan. Pendek kata, cukup selesa untuk kami menginap di sini selama tiga malam.
Ruang bilik air ni saja sedikit bermasalah buat kami. Tab mandi (tak kelihatan dalam foto di atas) dan shower di tempat sama - setiap kali nak guna shower kena masuk dalam tab mandi.
Satu lagi masalah, masa hari pertama elok je boleh keluar air panas (hangat) tapi masuk hari kedua cuma air sejuk je keluar. Tak mampulah nak buat urusan lama-lama dalam ni 😅. Bila kita duduk hotel, sejuk lain macam ya walau pun dah tutup pendingin hawa. Kami tak buat aduan sebab waktu siang saya tinggal seorang, malaslah saya nak tunggu/terima orang masuk bilik. Dah malas, hadap jelah kan.
Pemandangan sekitar hotel dari jendela bilik kami. Tersergam indah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Teringin nak ikut solat tarawih di masjid ni, tapi nampaknya tak berkesempatan - lepas berbuka, kepala saya jadi berat. Lebih selesa tarawih di bilik je.
Harga bilik penginapan kami tidak termasuk hidangan bufet sahur, perlu tambah lebih kurang RM50/seorang. Hidangan bufet berbuka puasa pula lebih kurang RM180/seorang. Kami sahur dan buka sendiri jelah, lebih berbaloi 😁
Terdapat banyak pilihan kedai makan di sekitar Shah Alam, kami sempat mencuba hidangan di tiga buah kedai makan - dua buah kedai kami beli makanan menerusi GrabFood dan hanya sebuah kedai je kami pergi sendiri ke tempatnya.
Warong Tiga Lima | Kedai makan yang terletak berhampiran hotel, cuma berjalan kaki sekejap je sampai. Kami ke sini selesai solat tarawih. Tadi berbuka dengan sebungkus nasi Arab kongsi berdua (beli menerusi GrabFood), jadi sekarang barulah nak makan kenyang-kenyang.
Kami makan mi kari, mi goreng mamak dan cucur bawang. Rasanya belum menepati selera saya, jadinya sekali tu jelah kami ke sini. Apa pun, rasa makanan adalah subjektif - kena datang cuba sendiri ya. Layanan di sini sangatlah baik dan mesra dan makanan semua sampai cepat.
Rumah Makan Selebriti | Berbuka hari kedua, sekali lagi kami beli makanan menerusi GrabFood. Berbuka di bilik, lebih selesa dan mudah. Masya Allah sedap sungguh masakan Rumah Makan Selebriti ni - lontong darat, soto dan ayam goreng berempah semuanya kena dengan selera saya.
Paling sedap - lontong darat dihidangkan dengan lauk paru balado, rendang daging, sambal goreng, sambal tumis, serunding kelapa dan kuah kacang.
Oleh kerana sedap, waktu sahur kami cuba pula nasi lemak. Pun sedap walaupun beli sebelum tidur, makan pada waktu sahur - nasi lemak, ayam goreng dan telur goreng dah sejuk. Hari ketiga berbuka, sekali lagi saya makan lontong darat. Encik Suami mencuba mi rebus, pun sedap tapi lontong darat tetap nombor satu!
Harganya agak mahal, lontong darat RM16.90 pembelian menerusi GrabFood. Agaknya kalau makan di kedai tidaklah mahal gitu. Menurut saya, harganya berbaloi dengan pelbagai jenis lauk yang sedap semuanya. Lontongnya pula bukan nasi impit tetapi lontong daun pisang - lembut dan beraroma. Tengok harga macam mahal, tapi bila dah makan terus rasa tak mahal pun 😁
Kalau kalian ke Shah Alam, nak tidur hotel boleh menginap di Mardhiyyah Hotel dan kalau nak makan bolehlah mencuba hidangan di Rumah Makan Selebriti - saya baru tau ia dimiliki oleh selebriti Nazia Mustafar.






No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****