[Catatan Trip ke Kuching - Hari Keempat | Isnin, 20 Mei 2024]
Hari terakhir kami di Kuching, Sarawak. Keadaan kaki Encik Suami semakin teruk, kaki kirinya bertambah sakit sehingga sukar nak melangkah. Makanya, aktiviti yang dirancang pada pagi ini dibatalkan.
SUNTIKAN HYALGAN
Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, saya buat carian lokasi klinik terdekat. Syukurlah terdapat sebuah klinik berhampiran hotel.
Kami tiba di Klinik Perdana kira-kira pukul 9.10 pagi. Tiada pesakit lain menanti, dapatlah Encik Suami berjumpa doktor dengan segera. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mencadangkan agar Encik Suami mendapatkan suntikan bagi merawat buku lali yang sakit.
Info berkenaan suntikan. |
Doktor beri dua suntikan - satu di bahagian berhampiran pelipat siku kiri dan satu lagi suntikan di bahagian pergelangan kaki kiri. Caj rawatan dan suntikan sebanyak RM399.
Terkejut mendengar cajnya 😅, maklumlah kami tak pernah ada pengalaman mendapatkan suntikan begini. Kami perlu bayar sendiri terlebih dahulu sebab bukan klinik panel - bayar dahulu kemudian claim. Alhamdulillah selepas itu, claim lulus penuh tanpa masalah.
LAKSA SARAWAK DAN NASI GORENG DABAI
Dari klinik, kami ke King Laksa Sarawak untuk menikmati hidangan pagi. Semalam dah ke sini, dah tahu tempatnya senang terus pergi tak payah mencari mana nak makan.
Laksa Sarawak. Semalam ambil pilihan sotong, kali ini ambil yang biasa je.
Pertama kali mencuba nasi goreng dabai. Warna purple gelap itulah buah dabai. Mungkin ini buah dabai yang dah dibuat jeruk sebab rasanya masin. Tak habis kami makan nasi goreng ni sebab rasa sangat masin.
KEK LAPIS WARISAN
Rugi pula kalau dah sampai Kuching tapi tak membeli kek lapis Sarawak. Saya buat carian kedai kek lapis berhampiran lokasi kami dan kemudiannya memilih untuk ke Kek Lapis Warisan.
Tak susah mencari sebab kedainya terletak di tepi jalan besar. Sebuah bangunan dengan ruang parkir yang sederhana luas. Rupa-rupanya, bukan saja ada kedai jualan tetapi ada ruang demo pembuatan kek lapis. Menarik!
Kami masuk ke kedai terlebih dahulu, selesaikan hal utama iaitu nak membeli kek lapis Sarawak. Masa ni keadaan kaki Encik Suami semakin membaik, rasa sakit semakin berkurangan. Jadinya bolehlah kami bersama-sama memilih dan membeli kek lapis.
Tester pelbagai perisa kek lapis Sarawak. Banyak sungguh sampai tak tau mana satu nak dicuba 😀
Dah merasa, barulah kami membeli. Terdapat dua pilihan, iaitu kek lapis biasa dan kek lapis premium. Harga bermula dari RM10 sehingga RM30.
Keropok kering buah dabai pun ada dijual.
Siap membeli di dalam kedai, kami ke ruang sebelah pula.
Selain menyaksikan pembuatan kek lapis Sarawak, pengunjung juga boleh ikut mencuba. Tapi saya lebih suka merakam foto, tak rajin nak mencuba buat 😄
Seronok tengok, macam senang je tengok orang buat selapis demi selapis. Tapi sebenarnya tidaklah mudah, lagi pula kena tahan bahang panas oven.
Info Kek Lapis Warisan.
MASJID JAMEK NEGERI SARAWAK
Dari Kek Lapis Warisan, kami menuju ke Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan menziarahi masjid yang menjadi mercu tanda di Petra Jaya, Kuching.
Dari jauh kelihatan kubah masjid tersegam indah bagai menyambut kehadiran kami.
Binaan menara berdiri megah menambah keunikan masjid ini.
MasyaAllah cantik sungguh reka bentuk dalaman masjid ini.
Sudut telekung ni pun nampak menarik dan telekung digantung kemas.
Masjid dengan binaan dua tingkat ini bukan sekadar menjadi tempat ibadah solat, tetapi ia juga menjadi tempat bagi pendidikan awal kanak-kanak. Sewaktu saya nak berwuduk di tingkat bawah, saya menyaksikan kumpulan kanan-kanak kecil berpakaian seragam sedang menggosok gigi beramai-ramai. Bagus sungguh!
MOMS LAKSA KAFE
Lokasi JJCM (jalan-jalan cari makan) kami yang terakhir di bandar raya Kuching - Moms Laksa Kafe yang terletak di Jalan Hj. Taha.
Selagi ada di Kuching, selagi tu tak jemu menikmati laksa Sarawak 😀. Walaupun nama menu sama, tapi terdapat perbezaan rasa di tempat makan yang berbeza.
TERBANG PULANG MENAIKI PESAWAT FIREFLY
Pukul 4 petang, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kereta sewa kami pulangkan di lokasi sama sewaktu kami ambil. Sewaktu serahan semula, kereta sewa akan diperiksa oleh staf syarikat Ikram Transport. Semuanya dalam keadaan baik, deposit dikembalikan secara online.
Pesawat yang kami naiki berlepas ke Pulau Pinang pada pukul 6.40 petang.
Sampai di Pulau Pinang, perjalanan diteruskan menuju ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah sebelum pukul 12 tengah malam.
Catatan trip ke Kuching berakhir di sini. Trip yang saya rasa sangat puas sebab dapat menikmati alam semulajadi - hutan dan gua. Ada beberapa tempat yang tak sempat kami pergi kerana masalah kaki Encik Suami, antaranya Semenggoh Wildlife Centre dan Borneo Cultural Museum. InsyaAllah ada kesempatan kami pasti akan berkunjung lagi ke negeri Bumi Kenyalang ini.
Berkenaan kaki Encik Suami pula, nampaknya suntikan yang diambil sangat berkesan. Selepas beberapa jam suntikan, kaki Encik Suami kembali pulih. Esok harinya selepas balik dari Kuching, Encik Suami dapat meneruskan trip kerja ke Bangkok selama lima hari tanpa sebarang masalah kaki. Alhamdulillah.
Pernah cuba nasi goreng dabai tapi restoran malaysia kat semenanjung je. Saya tak boleh gi dengan masam2 buah dabai tu dalam nasi goreng. Kalau kek lapis saya suka masam manis.
ReplyDelete