CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026
Sambungan entri terdahulu —> Solat Berbumbungkan Langit, Melihat Kaabah dari ‘Rooftop’ Masjidil Haram
Awal pagi esok kumpulan kami akan bergerak ke Madinah, jadinya hari ini merupakan hari terakhir aktiviti kami di Tanah Suci Mekah.
Subuh di ‘Rooftop’ | Saya dan Encik Suami solat Subuh di rooftop Masjidil Haram. Kubah kecil di rooftop menjadi lokasi kami bertemu selepas solat Subuh dan solat jenazah. Foto dirakam sekitar pukul 5.30 pagi.
Dalam perjalanan turun, kami singgah di aras 1. Foto di atas memaparkan suasana ruang solat aras bawah.
Sarapan | Pukul 6.55 pagi, kami makan sarapan di dewan makan hotel. Bagi rakan jemaah yang melakukan umrah tambahan, mereka sarapan lebih awal kerana pada pukul 7 pagi bas akan bergerak menuju ke tempat miqat di Taneem (juga dikenali sebagai Tanaim).
Mencari Al-Quran Per Juzuk Sebagai Oleh-oleh | Kami berhasrat mencari al-Quran per juzuk (satu juz satu naskhah) sebagai oleh-oleh dari Mekah buat diri kami sendiri. Boleh saja jika nak mencari di Madinah tetapi kami mahu beli di Mekah sebagai kenangan umrah pertama.
Idea membeli al-Quran tercetus setelah saya membaca naskhah travelog dan refleksi umrah karya Nisah Haron yang berjudul Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah.
Jika kita mahu beli al-Quran biasa tu mudah saja, terdapat banyak gerai atau kedai yang menjualnya untuk tujuan wakaf atau untuk diri sendiri. Tetapi kami mahu al-Quran per juzuk, jadinya perlu cari di kedai buku.
Hasil carian Google Maps ‘bookstore near me’ membawa pencarian kami ke sebuah kedai buku di Makkah Commercial Centre.
Tersesat masuk ke The Clock Towers Shopping Center. Oleh kerana ini kali pertama kami berjalan-jalan di bangunan sekitar Masjidil Haram, jadinya kami tak tahu nama-nama bangunan di sini (kecuali bangunan Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami).
Saya agak terkejut sebab baru tahu ada pusat beli-belah moden dan besar begini berhampiran Masjidil Haram. Tapi kami tak sempat dan tak larat nak meronda, bila sedar tersilap bangunan terus je keluar untuk mencari di manakah Makkah Commercial Centre.
Pintu gerbang The Clock Towers Shopping Center yang gah.
Pintu masuk Masjidil Haram di hadapan pintu gerbang tadi. Dekat je.
Kami berjalan ke bangunan seterusnya, barulah jumpa MCDC Mall yang juga dikenali sebagai Makkah Commercial Centre.
Berbeza dengan bangunan Clock Towers, keadaan di sini lengang tak ramai pengunjung.
Alhamdulillah…akhirnya jumpa kedai buku yang dicari iaitu Dawah Corner Bookstore. Lokasinya di Aras 1, berhampiran eskalator.
Saya bayangkan kedai buku besar, rupa-rupanya kecil je. Mulanya kami masuk ke dalam kedai, kemudian baru perasan jualan al-Quran diletakkan di bahagian luar.
Kami beli dua set al-Quran per juzuk - set mushaf warna biru putih dengan saiz lebih besar menjadi pilihan Encik Suami berharga 250 riyal, manakala set mushaf warna coklat putih pilihan saya berharga 220 riyal.
Beli juga tiga buah buku himpunan surah pilihan sebagai oleh-oleh buat mak saya, mak Encik Suami dan kami sendiri. Harganya 25 riyal sebuah.
Alhamdulillah rasa gembira dapat memiliki al-Quran per juzuk pilihan saya ini sebab lebih ringan mudah dipegang semasa membaca, mushaf Madinah dengan kertas berkualiti dan cetakan yang jelas.
Membeli al-Quran sebagai oleh-oleh tidaklah mudah kerana kita perlu menjaga adab bagi memuliakan al-Quran :
- Perlu ada wuduk ketika memegang al-Quran.
- Pegang beg yang membawa al-Quran di paras dada.
- Semasa dalam kenderaan, letak beg yang membawa al-Quran di tempat tinggi.
Begitu juga kalau kita nak bawa al-Quran sendiri ke Tanah Suci, perlu jaga adabnya. Saya pernah nampak jemaah bawa al-Quran sendiri masuk ke masjid untuk dibaca sementara menunggu waktu solat. Masalahnya, al-Quran tersebut disimpan dalam beg dan hanya letak di hadapan tempat sujud. Kemudian datang jemaah lain lalu di depan dan langkah beg tersebut.
Beli Kopiah di Safwah Tower | Terdapat banyak kedai jualan di Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami. Kami pergi ke beberapa buah kedai melihat barangan dijual. Tak ada yang berkenan di hati, saya tak beli apa-apa.
Begini rupa deretan kedai di Safwah Tower tingkat atas. Encik Suami singgah beli kopiah untuk kawan-kawan tempat kerja.
Sebelum naik ke bilik, kami ke food court beli makanan. Kali ini kami mencuba hidangan piza saiz sederhana berharga 35 riyal.













Terima kasih juga atas peringatan tentang adab memegang dan menjaga Al-Quran tu kadang-kadang benda kecil macam ni orang terlepas pandang. Semoga naskhah Al-Quran per juzuk ni membawa berkat dan rajin dibaca sentiasa.
ReplyDelete