Sunday, 21 December 2025

Kali Pertama Memancing Ikan

Catatan Sabtu, 20 Disember 2025

Seumur hidup, belum pernah saya memegang joran apa lagi memancing ikan. Terbit keinginan memancing ikan apabila saya sering menyaksikan penduduk tempatan di utara tanah air memancing ikan bersama keluarga - lelaki, perempuan, tua dan muda.

Biasanya saya lihat mereka memancing di kawasan bendang dan di parit. Jadinya tak hairan kalau kita memandu di sini, nampak sana sini orang sedang memancing di parit tepi jalan. Paling seronok bila saya lihat kanak-kanak sedang memegang joran, bukan leka dengan skrin gajet.

Alhamdulillah setelah lebih lima tahun saya berhijrah ke utara, akhirnya pagi semalam saya berpeluang memegang joran dan belajar memancing dari jiran-jiran. Saya ikut sekadar nak tengok macam mana orang memancing ikan, kemudian dipelawa mencuba. Mula-mula saya segan dan rasa kekok, lepas tu ehh seronok!

Foto pagi - masa ni hanya saya bersama jiran-jiran, Encik Suami berada di tempat lain. Kami memancing di sebuah kolam takungan berhampiran, bukan kolam berbayar. Banyak juga ikan yang berjaya saya naikkan, tapi semuanya ikan tilapia bersaiz kecil. Bolehlah kan, buat permulaan belajar memancing 😀

Lewat petangnya, saya ikut jiran-jiran memancing sekali lagi. Kali ni saya belajar letak umpan sendiri - walau rasa kasihan juga nak cucuk udang hidup pada mata kail, tapi nak tanggalkan ikan yang berjaya dinaikkan saya masih belum berani.

Encik Suami ikut bersama, seingatnya sebelum ini pernah jugalah dia ikut jiran memancing sekali dua. Masih belum banyak pengalaman. Rezeki Encik Suami, percubaan kali pertama petang semalam terus dapat ikan haruan bersaiz besar. Sampai terlepas joran daripada pegangan, masuk ke dalam kolam dan bergerak ke sana sini 😅

Foto di atas berjaya dirakam setelah usaha-usaha dilakukan - joran berjaya ditarik ke tepi kolam bersama ikan haruan yang masih ada di mata kail. Rupa-rupanya ikan ini belum makan umpan, tapi entah macam mana bahagian ekornya terkena mata kail.

Jiran dah tanya, bila nak pergi memancing lagi? 😀







1 comment:

  1. Moment masa kecik selalu memancing dengan arwah mak. Mak la tukang tanggalkan ikan kalau mengena. Syok kalau dapat ikan.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****