Tuesday, 23 December 2025

Nanjing | Qinhuai River Cruise - Bertemu Pelajar Muslim Xinjiang - Selamat Tinggal Nanjing

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 -14 APRIL 2025



QINHUAI RIVER CRUISE
Aktiviti terakhir sebelum meninggalkan kota Nanjing - kami menaiki bot menelusuri Qinhuai River. Kita boleh pilih naik bot pada waktu siang atau waktu malam - kadar bayaran lebih tinggi jika pilih waktu malam. Kami pilih night cruise supaya dapat menyaksikan keindahan malam di sini.
Info | Qinhuai River or Qin Huai River (秦淮河), a branch of the great Yangtze, is 110 kilometers in length and pass through the urban area of Nanjing. As the largest river in the area around Nanjing, Qin Huai River is called the "lifeblood" of the city. When the night falls, all the buildings along the river are lit, showing the visitors its most beautiful appearance. The night view in Qinhuai River area is a big highlight of Nanjing City. [Sumber : chinadiscovery.com]

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Pondok menjual tiket bot terletak di sebelah kiri dalam foto di atas. Cantik binaan pondok kaunter dengan ciri-ciri tradisional Cina.

Kawasan di Qinhuai District ini sesak dengan pengunjung sebab ia tempat tumpuan pelancong. Jadinya nak membeli tiket bot pun bersesak juga. Mulanya seorang wakil kumpulan kami pergi beli tiket, tapi rupa-rupanya pelancong asing perlu datang sendiri ke kaunter bersama pasport untuk membeli tiket.

Kalau datang berdua saja dengan Encik Suami, mungkin kami tak buat aktiviti river cruise ni sebab tempatnya sangat sesak dan masalah komunikasi (jadi susah nak berurusan di kaunter). 

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Bot bersusun rapat di Qinhuai River, sedia menanti para pelancong. Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Masa ni kami semua sedang bergerak untuk masuk ke dalam bot. Ada petugas yang akan arahkan kita menuju ke bot mana satu.

Kami berlima masuk bot yang sama - sebuah bot dengan seni bina tradisional Cina. Bot ini bertutup sepenuhnya dengan dinding cermin. Terdapat set meja dan kerusi untuk empat orang bersusun di kanan dan kiri bot. Walaupun ada meja, tapi tak ada makan-makan ya.

Saya dan Encik Suami duduk di meja paling depan, berhampiran pemandu bot. Tetapi kami dapat kerusi dengan kedudukan menghadap bahagian belakang, jadi penat leher nak menoleh ke depan dan kurang menikmati perjalanan. Tiada foto suasana di dalam bot, kalau ambil foto nanti nampak muka orang je sebab duduk berdekatan.

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Perjalanan kami menelusuri Qinhuai River bermula kira-kira pukul 6.30 petang. Sungainya tak begitu luas, bot-bot yang membawa pelancong bergerak perlahan. Sepanjang perjalanan, diberi penerangan tentang tempat-tempat yang dilalui. Macam biasa, pertuturan dalam bahasa Cina jadi saya cuma dengar tanpa memahami.

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Kami melewati beberapa buah jambatan yang dihias meriah. Terdapat deretan bangunan dengan seni bina tradisional Cina di kanan dan kiri sungai. Saya lihat ramai orang sedang berfoto dengan berpakaian tradisional Cina di bangunan tersebut. Tentu cantik hasil fotonya dengan latar Qinhuai River dan suasana menjelang malam.

Night Cruise Qinhuai River Nanjing
Bila hari semakin gelap, suasana bertambah cantik bercahaya di sana sini.

Video berdurasi 1 minit - memaparkan suasana di Qinhuai River.

Perjalanan menelusuri sungai mengambil masa kira-kira 50 minit. Bot berpatah balik ke tempat di mana kami naik tadi. Selesai aktiviti river cruise, kami berjalan kaki menuju ke sebuah restoran makanan halal.

Meriah sungguh suasana malam di sini.

Cantik tanglung bergantungan di pokok.


BERTEMU PELAJAR MUSLIM XINJIANG
Terasa jauh juga kaki melangkah, tapi rasa seronok dapat memerhatikan kehidupan malam di sini. Kami akhirnya tiba di sebuah blok bangunan yang menempatkan deretan restoran. Restoran makanan halal terletak di sudut hujung bangunan, entah apa nama kedai ni saya tak pasti.

Ruang restoran agak luas dan dipenuhi pelanggan. Pelayan lelaki di sini kelihatan seperti memakai songkok di kepala, tapi bila diamati ia bukanlah songkok.

Kalendar Islam di sudut restoran.

Dumpling
Walaupun pelanggan ramai tapi tak perlu menunggu lama. Antara makanan yang dipesan - dumpling kukus.

Pesan juga sate kambing. Rasanya sangat pedas.

Dua botol air soda oren ini habis gara-gara makan sate pedas 😄. Bukan minum seorang, tapi saya kongsi dengan Encik Suami.

Hampir selesai kami makan, masuk satu rombongan pelajar sekolah. Bertambah meriah suasana dalam restoran. Seorang kawan kami memulakan perbualan dengan pelajar yang duduk berhampiran dengan meja kami. Rupa-rupanya mereka kumpulan pelajar Muslim dari wilayah Xinjiang yang sedang dalam program pertukaran pelajar selama lima hari, malam ini merupakan malam terakhir mereka sebelum kembali ke Xinjiang.

Rancak jugalah kawan Cina kami berborak dengan dua orang pelajar yang peramah. Lucunya, mereka tak tahu di mana Malaysia tetapi kenal Lee Chong Wei berasal dari Malaysia. 

Encik Suami berfoto bersama dua orang pelajar tersebut. Mereka berdua ni berusia 15 tahun. Mereka teka umur Encik Suami sekitar 30-an 😂. Biasanya orang yang tinggal di negara empat musim kelihatan lebih berusia, agaknya sebab tu mereka nampak Encik Suami macam lebih muda.

Sebelum berpisah, salah seorang daripada mereka memandang saya sambil mengucapkan ‘Assalamualaikum’. Nak berborak ada halangan bahasa, jadinya saya hanya banyak tersenyum kepada mereka. Seronok rasanya dapat bertemu mesra dengan saudara seagama.



SELAMAT TINGGAL NANJING!
Pukul 9.50 malam, kami tiba di Nanjing Lukou International Airport untuk perjalanan pulang ke tanah air. Tiada pemeriksaan keselamatan yang ketat seperti di Guangzhou.

Nanjing Airport
Lapangan terbang ini agak lengang, tak ramai orang. Selesa untuk kami duduk menunggu. Lega juga saya lihat keadaan begini kerana saya perlu mencari ruang sesuai untuk menunaikan solat jamak Maghrib Isyak. Tiada Prayer Room di sini.

Bilik Nursery ini menjadi tempat solat kami. Terdapat beberapa bilik Nursery di aras yang sama, saya pilih tempat yang paling lengang. Kami bergilir menggunakan bilik ini. Alhamdulillah dapat solat dengan selesa walau ada rasa berdebar.

Scoot Airlines
15 April 2025, pukul 1.40 pagi pesawat Scoot Airlines yang kami naiki berlepas meninggalkan bumi Nanjing. Kami akan transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang.

Ini merupakan pengalaman pertama saya terbang dengan Scoot Airlines - syarikat penerbangan tambang rendah (low-cost carrier) yang merupakan anak syarikat Singapore Airlines (SIA).


Selamat tinggal Nanjing!







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****