Catatan hari Sabtu - Ahad,
11 - 12 Oktober 2025.
Denai Kabus Agro Farm and Adventure Resort atau lebih dikenali sebagai Denai Kabus merupakan antara tempat percutian agro pelancongan yang terkenal di negeri Perak. Lokasinya yang terletak di kaki gunung Kenderong dan Kerunai menawarkan suasana tenang dengan panorama indah alam semula jadi.
Denai Kabus terletak kurang 8 km dari Air Beruk Campsite - lokasi saya dan Encik Suami menginap pada bulan Ogos lalu. Walaupun masih di kawasan yang sama, tetapi setiap tempat memberikan pengalaman yang berbeza.
Tempahan penginapan saya buat empat hari sebelum pergi. Tempahan perlu di buat secara online (link saya sertakan di hujung entri), sangat mudah urusannya.
Dari jalan utama, kita perlu melalui jalan kecil sejauh kira-kira 3 km sebelum tiba di Denai Kabus. Terasa jauh jugalah bila berada di laluan kecil dan tidak rata, tambahan pula hujan di sepanjang perjalanan.
Kami tiba di Denai Kabus pada pukul 2.50 petang. Cantik berkabus ketika ini.
Bangunan yang menempatkan kaunter pendaftaran, kafe dan kedai runcit mini.
Di sini tiada sungai, tetapi ada semacam terusan bertingkat dengan aliran air dari gunung. Tingkat pertama waterpark, tingkat kedua kolam renang (foto di atas) dan tingkat seterusnya untuk aktiviti berkayak.
Penginapan kami jenis Havea Studio yang terletak berhadapan dengan kolam renang. Harganya RM240 satu malam bagi kadar hujung minggu. Masa untuk daftar masuk pada pukul 2 petang dan daftar keluar pada pukul 12 tengah hari.
Luas, bersih dan semua kemudahan tersedia berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah dapat penginapan yang selesa.
Tuala mandi, air minuman, tisu dan peralatan mandian tidak disediakan, kecuali shower gel dalam botol besar disediakan dalam bilik air. Tetapi tuala mandi dan tisu kita boleh minta di kaunter pendaftaran.
Bilik air bersih selesa, cuma ada sedikit bau tak menyenangkan yang mungkin berpunca dari sistem kumbahan - berbau setiap kali kita flush tandas.
Kami bawa multi cooker, peralatan makan dan bekalan makanan untuk kudapan malam dan sarapan.
Hujan dah berhenti, kami keluar makan di kafe. Foto dirakam dari tingkat atas kafe.
Hidangan kami - set tempoyak patin / RM17.90 dan set asam pedas tenggiri / RM18.90. Minuman teh o lemon ais / RM3.50. Terasa agak mahal set hidangan kami berdua ni berbanding dengan saiz ikan, rasa masakan dan cara hidang - menggunakan pinggan dan sudu pakai buang.
Selesai makan, kami jalan-jalan di sekitar kawasan ini.
Pakej aktiviti yang ditawarkan di sini. Boleh juga pilih aktiviti tertentu saja.
Kalau datang ke sini tanpa menginap pun kita masih boleh buat aktiviti yang ada di sini. Saya dapati ramai juga pengunjung yang melakukan aktiviti di sini - ada yang berkayak, naik ATV dan zipline (boleh tonton dalam video di hujung entri).
Waterpark RM5 / seorang. Percuma jika menginap di sini.
Kawasan penginapan Cottage A dan tapak perkhemahan.
Suasana malam di sini tenang. Ada juga kumpulan kecil sedang buat aktiviti BBQ tapi tidaklah bising hingga mengganggu.
Esoknya seawal pukul 7.15 pagi, kami berdua keluar untuk menikmati suasana pagi di sini. Kami mendaki ke kawasan bukit berhampiran. Ini juga laluan yang sama jika kita nak melakukan aktiviti zip bike.
Kami tiba di tempat aktiviti zip bike. Nampak tak jauh mana, tapi rasanya saya tak berani pun nak naik zip bike ni. Agaknya kalau usia muda saya masih berani buat aktiviti begini, tapi umur saya lagi beberapa tahun dah nak masuk separuh abad.
Kami tiba di kawasan bukit yang tertera tulisan besar ‘Denai Kabus’. Dari sudut ini saya dapat memerhatikan keseluruhan kawasan Denai Kabus Resort. Puas memerhati sekeliling dan berfoto kenangan, jomlah kita turun.
Jalan-jalan di kawasan taman. Nun di atas bukit sana tulisan besar ‘Denai Kabus’ - tempat kami mendaki tadi.
Ketika ini juga barulah kelihatan dua puncak gunung yang menjadi latar indah tempat ini, iaitu Gunung Kenderong dengan ketinggian 1,223 meter (sebelah kiri foto) dan Gunung Kerunai dengan ketinggian 1,000 meter (sebelah kanan foto). Tapi tak lama kemudian, kedua-dua puncak ini hilang dari pandangan - diselubungi kabus.
Untuk makluman - buat masa ini aktiviti pendakian hanya boleh dilakukan di Gunung Kerunai.
Selesai aktiviti jalan-jalan pagi, kami kembali ke bilik penginapan untuk bersarapan. Kami masak ringkas je. Nasi lemak bawa pek segera, cuma perlu rendam pek dalam air panas. Tapi saya tertinggal pek sambal tumis segera, terpaksalah makan nasi lemak tanpa sambal.
Lebih kurang pukul 10.30 pagi, kami ke kolam renang yang terletak di hadapan bilik. Suasana masih sunyi, hanya kami berdua berada di kolam renang. Bagus jugalah, lebih privasi. Air kolam terasa sangat dingin, maklumlah punca air dari gunung. Lantai kolam terasa agak licin, jadi saya tak berani nak bergerak jauh. Lagi pula saya tak pandai berenang, cuma berani bermain air di bahagian tepi kolam. Encik Suami yang betul-betul enjoy - berenang dari hujung ke hujung.
Kami mendaftar keluar kira-kira pukul 12 tengah hari. Tamat sudah percutian kami di kaki dua puncak gunung - walau jarang-jarang nampak puncaknya dek litupan kabus tebal. Alhamdulillah…seronok jugalah dapat menikmati suasana damai dan nyaman di sini. Kalau datang ramai-ramai mungkin lebih seronok dapat sama-sama buat pelbagai aktiviti di sini.
Video berdurasi 3 minit 14 saat - perjalanan dan suasana sekitar Denai Kabus.
******************************************
DENAI KABUS AGRO FARM AND ADVENTURE RESORT
Jalan Gunung Kenderong,
Kampung Pahat, Gerik,
Perak.
Info lanjut - penginapan, aktiviti dan tempahan boleh klik DI SINI.



















Memang besar dan lapang bilik Havea Studio, siap ada 1 katil bujang lagi.
ReplyDeleteYa Allah tengok video itu rasa mendamaikan tempat itu.
Kawasan perak ini memang baguuuuuus yaaa. Luas juga. Saya baru sampai Ipoh, kota lainnya belum.
ReplyDeleteKalau sampai ke sini, memang teringinlah nak stay di tempat begini, kaki gunung pula. Sejuk, berkabut. Memang tempat favorit saya sangat 🤩🤩. Rasanya stay sebentar tak puas 😄
Yey, sampai juga ke Denai Kabus. Harap berpuas hati lah dengan pengalaman penginapan di DK. Best pagi2 memang sejukkkkkk kawasan sekitar tu. Tapi makanan kat kafe tu macam mahal je :O
ReplyDeletesaya suka pi perak ..terutama kawasan pedalaman. kawasan hutan begini memang kena dengan jiwa saya.. jaman muda2 dulu, sekurangnya sebulan sekali saya akan keluar melarikan diri ..mencari hutan hijau, alur air, pulau2..
ReplyDeleteSy perasan tempat ni bila lalu nak balik kampung, tapi tak pernah singgah. Cantik gambar yg nmpk 2 gunung tu, esp gunung yg berkabus tu lawa sangatttttt.
ReplyDeleteBestnya bercuti tempat camni. Segar je bangun2 tengok pemandangan.
ReplyDelete