Catatan hari Isnin, 24 November 2025.
Pukul 7.40 pagi saya dan Encik Suami keluar dari rumah menuju ke Sungai Petani, Kedah - ada urusan di sana. Kami ikut jalan dalam iaitu jalan Kampung Titi Kerbau, Changlun. Sepanjang jalan saya nampak ada rumah penduduk yang sudah dinaiki air banjir, juga deretan kenderaan di parkir di bahu jalan.
Tak lama selepas itu…
Kami tiba di jalan yang sudah ditenggelami air - nampak deras aliran air dari kiri ke kanan jalan. Foto di atas hasil zoom-in, jadi nampak kawasan banjir ni macam dekat tapi sebenarnya kami sudah pun berhenti pada jarak selamat.
Kenderaan kami berhenti untuk beri laluan kepada sebuah bas, sebuah jentera bomba dan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan. Pemandu treler beri isyarat tangan kepada kami - jangan lalu dan suruh berpatah balik. Kami memang tak berani nak lalu sebab tak tahu berapa jauh dan berapa dalam jalan yang ditenggelami air. Selepas semua kenderaan berat lalu, kenderaan kami berpatah balik dan masuk Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis.
Sebenarnya, sebelum kami tiba di kawasan banjir tadi memang ada seorang lelaki di tepi jalan buat isyarat tangan. Tapi kami gagal memahami maksud yang cuba disampaikan, sekarang baru saya faham lelaki tersebut nak bagitau jalan tak boleh dilalui. Semoga Allah membalas kebaikan mereka yang cuba membantu.
***
Waktu petang (perjalanan balik ke rumah Perlis), sekali lagi perjalanan kami terhalang. Jalan utama di pekan Changlun juga dinaiki air. Pagi tadi kami melalui jalan ini tanpa masalah, nampaknya situasi hujan berpanjangan menyebabkan air banjir melimpah ke jalan raya.
Ada beberapa orang memakai baju hujan (mungkin polis) sedang berkawal di sini, hanya kenderaan berat dibenarkan lalu. Kenderaan ringan diminta berpatah balik.
Kali ini kami berpatah balik dan meneruskan perjalanan ikut jalan dalam - melalui jalan Kampung Napoh seterusnya jalan Kampung Baru Bukit Kecil, kemudian keluar di Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis. Jalan dalam laluannya sempit dan jadi sesak bila semua kenderaan perlu mencari laluan alternatif, ditambah pula dengan keadaan hujan.
Alhamdulillah kami selamat sampai rumah menjelang waktu Maghrib. Sepanjang perjalanan pergi dan balik hari ini kami menyaksikan banyak kenderaan bomba dan polis di sana sini - semuanya sibuk dengan misi membantu dan menyelamat mangsa banjir.


No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****