Morning walk pagi tadi ditemani anak bulu nan seekor. Jarang-jarang budak ni rajin mengikut, biasanya dia lebih suka bersantai di laman rumah.
Saya berjalan santai, bukan brisk walk (berjalan dengan cepat). Berjalan memerhati alam - belek daun, belek serangga, rakam foto alam. Bila saya berhenti, Jojo pun ikut berhenti. Kadang bergolek di kaki, tunjuk perut dia, kadang mengunyah rumput.
Pagi ini kawasan sekitar rumah saya berkabus tebal macam di tanah tinggi Cameron Highlands. Dalam foto ini dah berkurang kabusnya, hasil foto pukul 8.30 pagi.
Ketika ini Perlis sedang mengalami musim hujan - hampir setiap hari hujan atau mendung. Jarang sekali cahaya matahari muncul seharian. Sudah berminggu-minggu begini. Kalau ikut kebiasaan, sekitar hujung bulan ini atau mulai bulan depan bermulanya musim angin timur - tiupan angin kencang, cuaca kering, kurang hujan.
Malam atau awal pagi tadi hujan. Rumput basah, dedaun basah, sarang labah-labah juga tak terkecuali. Cantik kan?
Sedang asyik kaki melangkah dan mata memerhati sekitar, tak sedar saya menghampiri haiwan dengan rupa ganas ini. Saya terjerit kecil sebab terkejut. Entah hidup atau pura-pura mati, biawak ini tak bergerak. Saya datang lebih dekat bagi memerhatikan coraknya. Cantik! Carian internet mendapati ini merupakan spesis biawak air.
Selesai morning walk, saya belek pokok tanaman. Ini hasil semaian benih pokok terung selepas kira-kira dua minggu. Terasa lambat sungguh ia membesar. Hari yang sama, semai juga benih pokok bunga matahari. Sehingga detik ini langsung tak nampak sehelai daun pun tumbuh. Sedih!
Oh ya, selit cerita Jojo. Subuh tadi terima kejutan ketika membuka pintu rumah - Jojo persembahkan hasil buruannya seekor tikus remaja (saiz tak kecil, tak besar) dengan perut terburai. Eeuww…





Sarang labah-labah tu macam ada berlian pulak kat sarang dia. Cantiknya gambar ni Ujie...Saya suka....
ReplyDelete