Tuesday, 25 November 2025

Catatan Hujung Minggu | 23 November 2025

Catatan hari Ahad, 23 November 2025.

Pagi ini hujan masih belum berhenti di tempat tinggal saya - situasi ini sudah pun masuk hari ketiga (bermula hari Jumaat pagi). Kalau sebelum ini sudah berminggu-minggu jarang sekali matahari bersinar seharian, tapi kali ini hujan turun tanpa henti - ada ketika lebat, ada ketika hanya gerimis halus. 

Awal pagi Ahad, saya dan Encik Suami keluar untuk membeli keperluan dan mendobi pakaian. Sambil tu bolehlah bersarapan di tempat kegemaran. Tempat tinggal kami ni jauh dari bandar, jadi kalau sesekali keluar memang kami buat banyak urusan sekali gus.

Melewati kawasan sawah padi di kanan dan kiri jalan. Tenang.

Ada kawasan sawah yang nampaknya hampir bertukar menjadi kolam dek curahan hujan tanpa henti. Jajaran bukit batu kapur yang menjadi latar pemandangan di sini kelihatan indah dilitupi kabus.


ARAU KOPI
Kedai makan sarapan yang agak biasa saya kunjungi pada hujung minggu. Boleh baca entri lanjut berkenaan tempat ini DI SINI.

Arau Kopi, Arau, Perlis
Kami tiba di sini kira-kira pukul 8 pagi, tak ramai pelanggan seperti kebiasaan hujung minggu. Mungkin faktor cuaca hujan menjadi penyebabnya.

Menu Arau Kopi
Nampaknya ada kad menu baharu - ada perubahan harga pada menu tertentu.

Arau Kopi, Arau, Perlis
Hidangan kami - nasi ayaq berlauk, pek nga kosong dengan pilihan sambal tumis, nasi rendang (tiada foto - nasi goreng isi ikan termenung goreng), minuman lemon suam dan kopi Arau.

Terasa bahagia sungguh dapat menikmati hidangan pagi yang menepati selera, sambil mendengar halwa telinga irama instrumental lagu tradisional Melayu dan memerhati titisan hujan. Alhamdulillah.


GIANT KANGAR - PENGHARGAAN SARA

Giant Kangar
Kami ke pasaraya Giant di Kangar, satu-satunya Giant di negeri Perlis.

Giant Kangar
Misi kami - nak gunakan semua peruntukan Penghargaan SARA. Bila membelek dari rak ke rak, oh…macam-macam barang kita boleh beli - rujuk label MyKasih yang dipamerkan.

Penghargaan SARA
Alhamdulillah…selesai berbelanja dengan wang pemberian kerajaan. Tiada pelanggan lain di kaunter khas MyKasih. Lancar dan mudah urusannya. Kali pertama berbelanja dan terus habiskan semua, cuma kena tambah 60 sen.


LAUNDRY2U BESERI
Dari satu kedai dobi ke satu kedai dobi kami pergi, semuanya ramai orang. Kena menunggu giliran kalau nak mendobi di situ. Akhirnya, kami tiba di sebuah kedai dobi yang cuma ada seorang pengguna. Rezeki!

Laundry2U Beseri
Kali pertama kami mendobi di sini. Ruangnya kecil tapi kemas dan bersih. Juga ada mesin 2 in 1 - washer & dryer dalam satu mesin.

Laundry2U Beseri
Kadar harga. Saja letak sini untuk rujukan sendiri.

Lega sungguh bila dapat selesaikan urusan baju. Nak harapkan kering dengan menjemur dalam rumah tu memang ambil masa. Apa lagi dengan keadaan hujan berterusan - suasana sejuk dan lembab. Dalam rumah pun terasa sejuk.

***

PERKEMBANGAN TERKINI | Hari ini (Selasa, 25 November) masuk hari kelima hujan tanpa henti di tempat saya, masih dengan keadaan yang sama kadang lebat dan kadang renyai.

Buat masa ini, tempat tinggal saya masih selamat tidak dinaiki air kerana kedudukan kawasan rumah di tempat tinggi. Pun begitu, jalan-jalan utama sudah dinaiki air menjadikan pergerakan keluar/masuk terbatas atau terhalang. Kami perlu bersedia dengan kemungkinan bekalan elektrik terputus sekiranya situasi semakin memburuk. Setakat ini (ketika entri ini ditaip), saya dan jiran-jiran sekitar dalam keadaaan baik dan selamat.

Di tempat lain di sekitar Perlis, situasi semakin memburuk dengan banyak tempat dinaiki air. Negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir ketika ini - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Semoga situasi semakin membaik dan matahari muncul kembali. Kepada Allah jua tempat kami berserah. Ya Allah…kau jadikanlah curahan hujan ini, hujan yang bermanfaat.







2 comments:

  1. semalam hujan lebat betul. bersambung-sambung lebatnya... mungkin kat kawasan yg bergenang air mcm dlm gmbr di atas, penuh dah dgn air bah...

    wahhh dah habis guna yaaa...
    sy masih ada lg. dlm RM60 kot. tggu bln dpn br nak habiskan hahaha

    ReplyDelete
  2. harap cuaca makin baik,risau tengok banyak tempat dah banjir..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****