Monday, 23 August 2021

Seruan Lelaki Budiman


Judul : SERUAN LELAKI BUDIMAN
Penulis : Kompilasi penulis
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2018
Jumlah halaman : 147
Harga : RM25

Buku ini merupakan kompilasi penulisan oleh 7 orang penulis, iaitu Muhammad Shah Ahmad Nor, Surya Bunawan, Muhamad Hanapi Jamaludin, Budiman Mohd Zohdi, Syed Azharul Asriq, Zahrah Yunos dan Tin Miswary yang mengangkat keperibadian lelaki bernama Hamka.

Membaca prakata buku ini oleh S.M. Zakir (Penerima SEA Write Awards 2011) sahaja sudah cukup membuatkan saya rasa teruja bagi meneruskan pembacaan. Siapa sangka, Hamka semasa kecilnya seorang anak yang nakal dan memberontak akhirnya menjadi seorang tokoh terkenal sehingga ke hari ini. Bahkan, Hamka juga bukan graduan dari mana-mana universiti.

Antara isi menarik daripada buku Seruan Lelaki Budiman :
1. Hubungan Hamka muda dan ayahnya pada awalnya agak dingin. Namun akhinya bertaut kembali apabila kedua-duanya saling bermuhasabah akan kelemahan dan kekurangan masing-masing, juga atas faktor persamaan visi perjuangan.

2. Hamka berjuang membangun kemuliaan melalui tulisan bertema adat, budaya, tasawuf, falsafah, akidah dan akhlak. Menerusi karya-karya beliau, ia memberikan inspirasi kepada penulis berikutnya bahawa karya cinta, budaya dan agama boleh bersatu, saling melengkapi dan tetap indah.

3. Peribadi Hamka dibentuk menerusi pendidikan formal dan bukan formal - pendidikan agama, asuhan ayah, madrasah alam, budaya ‘bujang di surau’ dan merantau ialah rumusan yang membentuk Hamka.

4. Hamka mengangkat ciri-ciri lelaki budiman melalui watak-watak dalam karyanya. Contohnya, watak Hamid dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah merupakan seorang lelaki berbudi pekerti tinggi - faham batas pergaulan yang ditetapkan agama dan adat, menjaga amanah, tahu mengenang budi walaupun dalam masa yang sama dirinya menanggung derita cinta yang tidak kesampaian. Begitu juga watak Zainuddin dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, biarpun pernah dikhianati Hayati namun Zainuddin menghulurkan bantuan di saat Hayati dan suaminya dalam kesusahan. Kekecewaan tidak membunuh rasa kemanusiaan.


5. Hamka juga seorang pengembara yang hebat. Beliau mengembara untuk mencari hikmat sejarah, sehingga lahirlah naskhah sejarah antaranya Sejarah Umat Islam yang menukilkan keagungan silam kerajaan Pasai, Melaka, Aceh, Makassar, Demak dan Johor. Beliau juga menukilkan syair indah yang diberi nama Di Atas Runtuhan Melaka Lama.

6. Hamka ialah seorang lelaki yang menghormati perempuan dan menjadi pembela perempuan melalui tindakan, suara dan tulisannya. Hamka tidak pernah berpoligami sepanjang isteri pertamanya masih hidup kerana kesetiaan dan tidak mahu melihat isterinya bersedih. Menerusi novel Terusir pula, Hamka menulis tentang nasib perempuan yang sering dituding jari apabila masalah sosial terjadi. Sedangkan lelaki yang seharusnya ada ghirah (cemburu) dan siri (kehormatan dan harga diri) untuk melindungi ahli keluarga perempuan mereka. 

Selesai membaca naskhah ini, saya terasa bagai baru berkenalan dengan sosok bernama Hamka. Sememangnya saya baru saja mula mengenali karya Hamka pada penghujung tahun 2019 menerusi novel Terusir. Dan selepas mengetahui lebih banyak perihal beliau (menerusi buku Seruan Lelaki Budiman ini), saya kagum dengan keperibadian dan juga ketokohan beliau dalam pelbagai bidang. Rasa terinspirasi untuk membaca karya-karya beliau seterusnya.

Seruan Lelaki Budiman, bacaan pemula yang bagus jika mahu mengenali Hamka. Naskhah yang mengangkat keperibadian lelaki berbudi sebagai inspirasi untuk para lelaki menjadi lebih kuat dalam memimpin keluarga dan masyarakat.

“Secara hakiki, pengertian “budiman” bermaksud berbudi, berakal lagi bijaksana. Hal ini bergantung pada setiap konteks yang kita lalui saban hari. Dalam kata lain, “budiman” bukan semata-mata terikat ketat kepada penghormatan dan aspek romantisme yang menimbulkan kesan khusus kepada kaum hawa semata-mata” - halaman 62, Seruan Lelaki Budiman.


22 comments:

  1. Replies
    1. Memang menarik, dapatlah kenal secara ringkas tentang keperibadian tokoh terkenal.

      Delete
  2. Saya baca ulasan Puan Ujie pun saya tertarik untuk kenal rapat allayarham Hamka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih NA, tak sia-sia saya menulis..hihi

      Delete
  3. Hamka seorang tokoh yg disegani..berdakwah melalui penulisan...tulisan yg evergreen, yg kekal relevan sepanjang zaman..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..kagum dengan Hamka. Satu rahmat untuk kita rumpun Melayu dengan adanya beliau.

      Delete
  4. insyaallah nanti saya beli, banyak nak dihabiskan pembacaan ni haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama la kita, kemain banyak TBR 😅

      Terima kasih Syaz selalu beli buku dengan akak 😘

      Delete
  5. Wah menarik ni. Macam kena beli nanti hehe :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sila..sila..hehe.
      Kalau nak beli dari akak pun boleh, Ig : warungkakibuku. Kenalkan diri, InsyaAllah akak bagi harga diskaun untuk buku ni.

      Delete
    2. Saya dah tengok Ig akak tu. Ada beberapa buku yang saya berminat nak beli. Nanti saya PM akak ye (^_^)

      Delete
  6. Menariknya buku ni menggabungkan 7 orang penulis. Hamka, figura tokoh yang hebat. Walaupun berlatar belakang tanpa pendidikan yang bagus tapi mampu menjadi seorang yang hebat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, menarik sebab kita boleh baca penulisan dari pelbagai sudut pandang tentang Hamka.

      Delete
  7. Selamat membaca dan moga bermanfaat..

    ReplyDelete
  8. Sewaktu kami berkunjung ke Muzium Kelahiran Rumah Buya HAMKA di Sumatera Barat, sempat beli buku yang mengisahkan riwayat hidupnya yang dijual di hadapan rumahnya. Buku itu hanyalah dalam bentuk fotostate sahaja.

    ReplyDelete

Komen kalian...bicara antara kita ^_^