Friday 5 March 2021

Falsafah Syaitan


Judul : FALSAFAH SYAITAN
Penulis : Hamka
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020 (cetakan kedua)
Jumlah muka surat : 92
Harga : RM25

Bila tengok rupa kulit buku Falsafah Syaitan ni nampak macam seram dan bila tengok judul buku pula, saya fikir ni mesti bahan bacaan yang berat.

Buku Falsafah Syaitan karya Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) ini telah diterbitkan semula di Malaysia oleh penerbitan Jejak Tarbiah. Karya asalnya berjudul Penuntun Jiwa.

Buku ini membawakan 9 tajuk kecil :
  • Falsafah Syaitan
  • Memburu Harta
  • Bakhil
  • Jatuh Muflis
  • Dia Lupa
  • Syurga dan Neraka
  • Tawakal
  • Perjuangan Buat Semua
  • Korban Keyakinan
Tajuk kecil yang pertama - Falsafah Syaitan seumpama syaitan sedang berbicara dengan kita, memperkenalkan siapa dirinya dan apa tujuan hidupnya. Kata syaitan kepada kita manusia, “Keluar dan pergilah ke dalam masyarakat. Berbuatlah kejahatan!”. 


Di dalam tajuk kecil lainnya, Hamka membawakan topik yang berkait rapat dengan perang jiwa yang biasa berlaku di dalam diri manusia. Kisah-kisah menarik turut disertakan sebagai memudahkan pembaca memahami dengan baik setiap topik. Antara yang menarik, kisah Koohin yang tamak dalam memburu harta dan kisah tiga orang yang hidup melarat.

5 ayat menarik di dalam buku Falsafah Syaitan :
1. Berapa pula banyaknya orang yang berani menggelapkan keterangan yang nyata, memalsukan surat-surat yang sah, menyembunyikan kebenaran, bahkan berani juga bersumpah untuk mencapai supaya harta itu bulat ke tangannya. (Memburu Harta, halaman 25)

2. Orang yang bakhil, jiwa raganya telah diserahkan atau digadaikan bulat-bulat kepada harta. Dialah yang diperhamba oleh harta benda, bukan harta yang diperhambainya. ( Bakhil, halaman 32)

3. Orang tidak mahu tahu bahawa hakikat buta adalah buta hati, bukan buta mata. Orang tidak mahu peduli hakikat papa bukanlah pada harta tetapi papa kesopanan. (Dia Lupa, halaman 45-46)

4. “...orang yang terpenjara adalah yang dipenjarakan hawa nafsunya dan orang yang tertawan adalah yang ditawan iblis.” (Syurga dan Neraka, halaman 54)

5. Penglihatan jangan dibanyakkan ke atas, tetapi menolehlah ke bawah. Dengan demikian kelak tuan melihat bahawa orang yang kurang daripada tuan lebih banyak daripada orang yang di atas tuan! Waktu itulah kelak tuan akan merasai syurga itu. Air yang mengalir di bawahnya menyiram dan memberi kesejukan bagi jiwa tuan. (Syurga dan Neraka, halaman 56-57)

Menikmati pembacaan buku Falsafah Syaitan ibarat mendengar takzirah (peringatan) daripada seorang alim yang begitu lembut berkata-kata, namun cukup menusuk hati! 

Bangunlah tengah malam,
hai orang-orang yang merasa berdosa.
Bukalah jendela dari rumahmu
di waktu alam hening dan diam,
sementara makhluk tenggelam dalam tidur.
Engkau akan dapat berkata-kata
dan bersahut-sahutan mulut dengan Tuhanmu
(Petikan puisi, Falsafah Syaitan, Hamka)

Nampaknya, sangkaan saya awal tadi meleset. Buku ini bukanlah bahan bacaan yang berat, sebaliknya ia cukup santai dalam menyampaikan topik yang berat. Falsafah Syaitan sebuah naskhah penyucian jiwa yang perlu diulang baca pada masa akan datang, kerana kedudukan syaitan itu sendiri sentiasa dekat dengan kita.




8 comments:

  1. Peringatan untuk kita pasal syaitan.

    ReplyDelete
  2. syaitan sentiasa mencari jalan utk menyesatkan manusia..amat penting untuk mengenali musuh ketat umat Islam ini..

    ReplyDelete
  3. menarik, insyaallah akan dapatkan nanti

    ReplyDelete
  4. seram baca ni, tapi good utk info kita

    ReplyDelete
  5. ramai peminat hamka..banyak book review pasal hamba tapi tak pernah lagi baca buku beliau

    ReplyDelete
  6. Saya tengok cover pun macam seram. Falsafah Syaitan. Tajuk pun nampak agak berat. Banyak peringatan dan pengajaran dari buku ni. Rupanya bacaan santai je ye tapi padat ilmunya :)

    ReplyDelete
  7. Menarik sangat baca reviews nih!

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****