Showing posts with label Yunnan - Kunming. Show all posts
Showing posts with label Yunnan - Kunming. Show all posts

Wednesday, 3 June 2026

Kembara 5 Hari 5 Malam di Wilayah Yunnan, China | Kunming, Lijiang dan Dali

 
Jade Dragon Snow Mountain, Lijiang, Yunnan, China

Cuti Hari Raya Aidiladha tahun ini saya dan Encik Suami memilih untuk melakukan kembara ke wilayah Yunnan, China - kami mengunjungi tiga buah bandar iaitu Kunming, Lijiang dan Dali. Segala persediaan termasuk pembelian tiket penerbangan hanya dibuat kira-kira dua minggu sebelum terbang ke China, tak boleh nak rancang awal disebabkan hal kerja Encik Suami.

Wilayah Yunnan sangat luas, kedudukan antara bandar juga sangat jauh. Kembara ke wilayah Yunnan sebenarnya perlu masa yang agak panjang supaya kita tak terlalu letih bergerak dari satu bandar ke satu bandar dan lebih santai untuk menjelajah setiap tempat.

Oleh kerana kami cuma ada masa selama 5 hari penuh berada di wilayah Yunnan, jadinya kami memilih untuk ke tiga buah bandar sahaja. Tak banyak tempat menarik yang dapat kami pergi kerana keletihan menempuh perjalanan dari satu bandar ke satu bandar dan letih kaki melangkah di jalanan berbukit ketika di Lijiang dan Dali. Pun begitu, menurut saya kembara ke tempat asing itu sendiri sudah cukup menarik kerana kita dapat pengalaman baharu.


Peta laluan perjalanan kami dengan menaiki high-speed train | Kunming —> Lijiang —> Dali —> Kunming.

Ini merupakan kunjungan kali kedua kami ke wilayah Yunnan, tahun lepas kami ke bandar Lincang atas urusan kerja Encik Suami - pergi bersama beberapa orang rakan dan ikut saja aktiviti yang diaturkan. Kembara kali ini berbeza kerana kami pergi berdua saja serta mengatur sendiri segala urusan perjalanan.


RINGKASAN PERJALANAN

Hari 0 | Isnin, 25 Mei 2026
  • Batik Air Malaysia | PEN - KMG (Penang - Kunming) | 11.10 malam - 2.50 pagi (Selasa 26 Mei 2026) | 3 jam 40 minit.

Hari Pertama | Selasa, 26 Mei 2026
  • Pukul 2.50 pagi - tiba di Kunming Airport.
  • Naik e-hailing DiDi ke hotel penginapan.
  • Pukul 4 pagi - daftar masuk hotel Park Inn Kunming Airport untuk tidur sebentar, solat Subuh dan mandi.
  • Pukul 10.35 pagi - daftar keluar hotel dan naik DiDi ke Kunming Railway Station.
  • High-speed train | Kunming ke Lijiang | 12.25 tengah hari - 4.15 petang | 3 jam 50 minit.
  • Naik DiDi ke penginapan.
  • Pukul 5.30 petang - daftar masuk penginapan Lijiang Gongzi Panoramic INS Designer Villa untuk 3 malam.
  • Lepas solat jamak Zohor Asar, keluar cari masjid (untuk persediaan solat sunat Aidiladha esok pagi) dan kedai makan halal serta jalan-jalan memerhati kawasan sekitar.

Hari Kedua | Rabu, 27 Mei 2026
  • Pukul 8 pagi - solat sunat Aidiladha di Masjid Lijiang.
  • Lepas Zohor, keluar makan di restoran Aisha Northwest Food City a.k.a. Lanzhou Hand-pulled Noodles Northwest Food City.
  • Pukul 4.15 petang - naik DiDi ke Tinghua Valley.
  • Pukul 4.30 petang - Tinghua Valley.
  • Pukul 5.50 petang - naik DiDi balik ke penginapan.
  • Beli makanan di restoran Aisha sebelum kembali ke penginapan. 
  • Tidur awal sebagai persediaan aktiviti esok.

Hari Ketiga | Khamis, 28 Mei 2026
  • Trip ke Jade Dragon Snow Mountain (JDSM) | Ambil pakej di Trip.com - Tour to Lijiang Yulong Snow Mountain + Blue Moon Valley + Golden Mountain in the sun | 5.20 pagi - 1 petang.
  • Makan di restoran Aisha, kemudian balik ke penginapan.
  • Pukul 6.30 petang - ke Lijiang Old Town.
  • Pukul 7.40 malam - makan di Yi Xin Qin Zhen Yuan.
  • Naik DiDi balik ke penginapan.

Hari Keempat | Jumaat, 29 Mei 2026
  • Pukul 10.20 pagi - daftar keluar penginapan.
  • Naik DiDi ke Lijiang Railway Station.
  • High-speed train | Lijiang ke Dali | 12 tengah hari - 2.05 petang | 2 jam 5 minit.
  • Pukul 3.25 petang - daftar masuk Honglinge Inn untuk 1 malam.
  • Pukul 4.30 petang - keluar cari kedai makan halal dan jalan-jalan memerhati kawasan sekitar.
  • Pukul 9 malam - ke Dali Ancient City.

Hari Kelima | Sabtu, 30 Mei 2026
  • Pukul 8.30 pagi - naik DiDi ke Caicun Wharf, Erhai Lake.
  • Pukul 9 pagi - Caicun Wharf, Erhai Lake.
  • Pukul 9.50 pagi - naik DiDi ke Dali Ancient City (South Gate 2) untuk ke Dali South Gate Mosque dan cari kedai makan halal berhampiran masjid tapi kedainya tutup.
  • Dekat pukul 11 pagi, balik ke penginapan. Kemas beg, daftar keluar dan letak beg di kaunter penginapan.
  • Makan di Qinghai Handmade Beef Noodles.
  • Pukul 1 petang - naik DiDi ke Dali Railway Station.
  • High-speed train | Dali - Kunming | 3.25 petang - 5.30 petang | 2 jam 5 minit.
  • Naik DiDi ke Masjid Shuncheng.
  • Solat jamak Zohor Asar di masjid, kemudian makan di kedai sekitar masjid.
  • Solat jamak Maghrib Isyak di masjid, kemudian naik DiDi ke Kunming Airport.
  • Pukul 10.05 malam - tiba di Kunming Airport untuk penerbangan pulang ke Malaysia.

Ahad, 31 Mei 2026
Air Asia Malaysia | KMG - KUL - PEN (Kunming - KL - Penang) | KMG - KUL : 2.35 pagi - 6 pagi | KUL - PEN : 8.10 pagi - 9 pagi.

*

Alhamdulillah selesai kembara selama 5 hari 5 malam ke Yunnan yang melelahkan mental dan fizikal kami. Banyak cabaran dilalui, maka banyaklah pengalaman dan kenangan tercipta.

InsyaAllah catatan lanjut akan dibuat setelah selesai catatan kembara di bumi Haramain.







Monday, 3 November 2025

Terbang Ke Nanjing dengan China Eastern Airlines dan Makan Malam di Lanzhou Beef Noodles, Liyang

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 -14 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Jalan-jalan di Wuhua District, Kunming


▶ KUNMING CHANGSHUI AIRPORT
Kami tiba di Kunming Changshui Airport pada pukul 4 petang. Tiada pemeriksaan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang. Ini jauh berbeza dengan pengalaman kami sewaktu memasuki bangunan Terminal 2, Guangzhou Baiyun Airport pada September 2024 - entrinya DI SINI.

Kunming Airport, Yunnan, China
Kunming Changshui Airport.

Penerbangan kami ke Nanjing menaiki pesawat China Eastern Airlines. Buat pertama kali, dapat tempat duduk Kelas Pertama. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menaiki pesawat China Eastern Airlines.

Kunming Airport, Yunnan, China
Kami menaiki airport tram untuk ke pintu pelepasan di Gate 314.


▶ TERBANG DARI KUNMING KE NANJING DENGAN CHINA EASTERN AIRLINES
Kelebihan pemegang tiket Kelas Pertama, dapatlah kami jadi orang terawal menaiki pesawat. Tak perlu beratur panjang bersama penumpang lain.

China Eastern Airlines
Begini rupa tempat duduk kami - dilengkapi dengan bantal kecil, selimut dan selipar. Sayang sekali, ini hanya penerbangan jarak dekat yang mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit - tak sempat nak tidur.

Saya duduk di tepi jendela pesawat, di barisan kedua. Selain kami berlima di ruangan ini, ada seorang penumpang lelaki yang lebih berusia duduk di hadapan saya.

Pesawat kami berlepas kira-kira pukul 6.10 petang. 

Selamat tinggal Kunming!

China Eastern Airlines
Pramugari berpakaian warna hitam menghulurkan buku menu untuk kami buat pilihan minuman dan makanan.

China Eastern Airlines
Minuman kami - jus oren dan air kopi. Pilih makanan yang diyakini halal - salad dan buah.

China Eastern Airlines
Masya Allah…pemandangan yang menakjubkan hamparan awan dan bulan penuh.

Nanjing, Jiangsu, China
Pemandangan udara ketika pesawat menghampiri Nanjing - ibu kota wilayah Jiangsu.

Alhamdulillah kira-kira pukul 8.25 malam pesawat kami selamat mendarat di Nanjing Lukou Airport. Satu lagi pengalaman baru buat saya apabila menjadi penumpang pertama keluar dari pesawat. Dapatlah saya menyaksikan prosedur bagaimana pramugari nak membuka pintu pesawat. Selalunya saya jadi antara orang terakhir keluar, tapi kali ini jadi penumpang hadapan kenalah keluar awal.

Sebaik kaki melangkah keluar dari bangunan lapangan terbang, udara terasa begitu sejuk dengan suhu 11℃. Kumpulan kami menaiki sebuah teksi MPV menuju ke hotel penginapan yang terletak di Liyang.



MAKAN MALAM DI LANZHOU BEEF NOODLES, LIYANG
Perjalanan dari Nanjing ke Liyang Marriot Hotel mengambil masa kira-kira 50 minit. Selesai urusan daftar masuk dan letak bagasi di bilik, kami berkumpul kembali untuk makan malam di sebuah kedai makan halal berhampiran hotel.

Lokasi kedai makan tersebut terletak di deretan kedai seberang jalan. Boleh jalan kaki dari hotel. Tak susah nak melintas jalan di sini, tak banyak kenderaan lalu.

Liyang, Changzhou, Jiangsu, China
Bangunan Liyang Marriot Hotel, foto dirakam dari seberang jalan. Suasana malam di sini kelihatan indah dengan kehadiran bulan purnama menghiasi langit gelap.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Lanzhou Beef Noodles. Ada logo bulat berwarna hijau dengan lambang masjid dan aksara Cina 清真 qingzhen - terma yang digunakan untuk makanan halal.

Kedai makan ini diusahakan oleh sepasang suami isteri. Mereka berdua saja tanpa ada pembantu. Tambah kagum saya apabila mengetahui kedai ini dibuka dari awal pagi sehingga lewat malam. Suami uruskan kedai waktu siang dan isterinya uruskan waktu malam - semua kerja bermula ambil pesanan, memasak sehingga mengemas meja hanya seorang diri. Fuh! 

Eh, macam mana saya tahu? Tentulah sebab kawan Cina kami yang berbual dengan pemilik kedai ini. Kebetulan malam ini mereka berdua ada di kedai - suami bantu isteri. Kedua-duanya nampak mesra berbual dengan kawan Cina. Seronok sungguh kan kalau tak ada halangan komunikasi, boleh berbual banyak hal.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Sedap mi tarik ni tau. Cuma, itulah…garpu plastik pakai buang yang dibawa dah terpatah. Jadinya Encik Suami seorang jelah yang dapat menikmati mi tarik dengan menggunakan chopsticks.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Minuman kami. Beli satu kongsi berdua.

Liyang, Jiangsu, China
Kami masuk kedai buah di sebelah kedai makan. Seronok tengok pelbagai jenis buah tersusun rapi.

Liyang, Jiangsu, China
Kira-kira pukul 11 malam, kami balik ke bilik penginapan. Alhamdulillah dapat berehat dengan selesa setelah seharian ke sana ke sini. Sebelum tidur, saya check suhu semasa dan waktu solat di sini. Kena set alarm supaya tak terlepas waktu Subuh.








Monday, 6 October 2025

Perjalanan dari Kunming ke Lincang Dengan Tren CRH D8110

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025



Lincang merupakan destinasi tujuan kami di wilayah Yunnan. Jaraknya lebih 500 km dari Kunming - ibu kota dan bandar terbesar di wilayah Yunnan.

Kami menaiki kereta api laju China Railway High-Speed (CRH) dari Kunming Nanyao Railway Station dan turun di Lincang Railway Station. Perjalanan mengambil masa kira-kira 4 jam.

Kunming - Lincang
Harga tiket Second Class Seat - 246 yuan (kira-kira RM145)

Terasa jauh juga kami perlu berjalan mengheret bagasi dari teksi ke pintu masuk stesen. Mujurlah pemandu teksi jadi pemandu arah, kami ikut saja langkah kakinya di celah orang ramai.

Pintu masuk stesen, hanya penumpang tren saja yang boleh masuk. Setiap orang perlu sahkan ID (dokumen pengenalan) untuk masuk. Kami masuk laluan Manual ID Verification - tak perlu tunjuk tiket tren, cuma serahkan pasport kepada petugas untuk pengesahan. Pembelian tiket (yang dah dibuat sebelum kami tiba di Kunming) menggunakan nombor pasport, jadinya petugas cuma perlu scan pasport dan buat pengesahan.

Masuk ke ruangan menunggu, terus cari tempat duduk berhampiran pintu masuk ke platform. Kami terpaksa duduk berasingan memandangkan tak banyak kerusi kosong, tapi kedudukan kami tidaklah begitu jauh antara satu sama lain.

Sementara menunggu, sempatlah saya ke tandas berhampiran. Kemudahan tandas di sini berada pada tahap memuaskan, terdapat banyak unit tandas dan selesa digunakan - kecuali bab tiada air tu memang dah sedia maklum. Dalam beg perlu sentiasa pastikan ada portable bidet, wet tissue dan tisu biasa - benda penting untuk urusan tandas.

Pintu masuk ke platform di buka kira-kira 20 minit sebelum waktu berlepas. Kami masuk barisan Manual Check-in, sekali lagi kita cuma perlu hulurkan pasport kepada petugas. Tiket hanya untuk rujukan - nombor koc dan nombor tempat duduk.

Tren CRH yang kami naiki - berwarna putih dengan jalur biru. Tempat duduk kami di koc 3, tetapi kami tersilap menunggu di tempat koc 15 berhenti. Apa lagi…berlari-larilah kami menuju ke koc 3. Fuh! Syukurlah kami sempat masuk ke koc terdekat sebelum tren mulai bergerak.

Tempat duduk kami di koc Kelas Kedua dengan susunan kerusi 3-2. Saya duduk di tengah, sebelah kiri Encik Suami (aisle seat) dan sebelah kanan saya seorang wanita tempatan.

Ada tempat letak beg di bahagian atas, tapi disebabkan kami masuk lambat maka semua tempat dah dipenuhi dengan bagasi penumpang lain. Terpaksalah letak bagasi kami di ruang kaki, mujurlah ruang kaki tren ini cukup luas.

Begini rupa tempat duduk dalam tren. Bersih dan selesa sesuai bagi sebuah perjalanan jauh, kecuali kami agak kurang selesa sebab ada bagasi di ruang kaki.

Tren CRH yang kami naiki ini jenis D-train dengan kelajuan maksima 250 km/j. D-train merupakan kereta api laju CRH yang kedua terpantas.

Selain paparan kelajuan tren, turut dipaparkan suhu di luar (apabila tren berhenti di stesen-stesen). Saya jadi teruja apabila tren berhenti seketika di stesen Dali - salah satu destinasi pelancongan popular di wilayah Yunnan. Moga suatu hari nanti saya berpeluang kembali ke Yunnan untuk kembara santai pula.

Pemandangan di sepanjang perjalanan begitu menarik dengan bukit-bukau, pergunungan dan kawasan pertanian. Tapi disebabkan kedudukan saya di tengah, saya hanya mampu memandang ke luar jendela tanpa dapat merakam foto atau video.

Sehinggalah penumpang di sebelah saya turun di salah sebuah stesen, akhirnya dapat juga saya duduk di tepi tingkap memerhati pemandangan luar. Tren ini bergerak laju, jadinya saya hanya sempat memotret apabila tren kembali bergerak setelah berhenti seketika di stesen laluan.

Antara pemandangan yang saya saksikan - kawasan pertanian terbentang indah dengan latar perbukitan dan pergunungan.

Perjalanan tren ini banyak melalui terowong, keluar terowong disajikan pula pemandangan kawasan pertanian dan penempatan penduduk.

Alhamdulillah kami sampai di Lincang kira-kira pukul 5 petang.







Wednesday, 1 October 2025

Makan Tengah Hari di Yi Chun Garden Beef Restaurant, Kunming

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025



Dari lapangan terbang, kami menaiki teksi menuju ke sebuah restoran halal. 

Ruang dalam teksi - bersih dan selesa.

Plaza tol di Kunming. Saya tertarik dengan hiasan tanaman bunga pelbagai warna. Cantik! Begitu juga di tepi-tepi jalan dihiasi dengan tanaman bunga berwarna-warni.

Selepas itu barulah saya tahu bahawa Kunming dikenali sebagai ‘City of Flowers’ atau ‘Spring City’ kerana cuacanya yang sederhana dan sejuk sepanjang tahun sesuai untuk pertumbuhan bunga. Di sini juga terletaknya Dounan Flower Market - pusat borong bunga terbesar di Asia.

Pemandu teksi bawa kami ke sini, katanya ini merupakan antara restoran halal yang terkenal di sini. Hasil Google Translate nama restoran, 伊春园 牛菜馆 - Yi Chun Garden Beef Restaurant. Entah tepat atau tidak terjemahannya tu 😄

Pada papan tanda restoran terpapar logo 清真 (qingzhen) - terma yang digunakan untuk makanan halal. Ianya mudah dilihat kerana dalam bentuk logo bulat berwarna hijau.

Berdasarkan pengalaman saya semasa ke Guangzhou pada tahun lepas, tanda halal hanya dalam bentuk tulisan aksara Cina tanpa logo bulat berwarna hijau. Jadi agak sukar bagi kita yang tak kenal aksara Cina nak membelek perkataan qingzhen pada papan tanda kedai di Guangzhou.

Urusan memesan makanan kami serah saja kepada kawan Encik Suami yang berbangsa Cina. Trip ke negara China kali ini lebih mudah sebab ada ahli kumpulan yang bertutur bahasa Cina.

Tak lama menunggu, satu demi satu hidangan tiba. Tapi rupa-rupanya semua ini untuk kami berdua saja. Banyak sungguh nak kena habiskan ni 😅

Sup jernih tapi sedap rasanya.

Sayuran. Warna kuning macam isi jagung tu, rasanya seperti makan kekacang.

Hirisan nipis daging lembu yang lembut berjus disertakan dengan sos pencicah dan mungkin garam - entah serbuk apa tapi rasa masin. 

Potongan kecil daging lembu dimasak dengan sayuran dan campuran herba. Mula-mula makan, rasa sedap. Lepas tu saya dah tak boleh makan sebab rasanya jadi semakin pedas. Rasa pedasnya macam kita makan lada hitam, bukan pedas cili api. 

Minuman kami - teh Cina yang dihidang dalam cawan seperti mangkuk kecil.

Selesai makan, kami menuju ke Kunming Nanyao Railway Station.







Monday, 29 September 2025

Terbang dari Pulau Pinang ke Kunming dengan Pesawat China Southern Airlines

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025



TERLEPAS PENERBANGAN SCOOT AIRLINES
Kami sepatutnya terbang ke Kunming, China dengan menaiki pesawat Scoot Airlines yang berlepas pada pukul 4.55 petang.

Tetapi pada hari tersebut Encik Suami ada urusan lain yang lebih penting, selesai urusan berkejarlah kami dari Perlis ke lapangan terbang di Pulau Pinang dengan jarak kira-kira 175 km. Sampai lapangan terbang dah pukul 4.40 petang, memang tak sempatlah. Maka terpisahlah kami berdua dari kumpulan kami seramai lima orang.

Segera kami mencari tiket baru untuk terbang pada hari yang sama. Alhamdulillah kami dapat tiket China Southern Airlines, waktu penerbangan tengah malam dan perlu transit di Guangzhou. Syukur juga sebelum ini kami pernah dua kali ke Guangzhou, jadinya kuranglah rasa risau berbanding transit di lapangan terbang yang belum pernah kami jejak.

Pulau Pinang (PEN) - transit Guangzhou (CAN) - Kunming (KMG)


PENERBANGAN DARI PULAU PINANG KE GUANGZHOU
Ini merupakan pengalaman kali kedua saya menaiki pesawat China Southern Airlines. Catatan pengalaman terdahulu di entri INI. Sama seperti kali pertama dahulu, sekali lagi kami dapat tempat duduk nombor 49 - emergency exit row seats. 

Tempat duduk kami 49A dan 49B - Encik Suami di tepi tingkap, saya di tengah dan seorang perempuan berbangsa Cina di kanan saya (aisle). Ruang kaki lebih luas - ini kelebihan bila kita duduk berhampiran emergency exit.

Awalnya saya sangka perempuan muda di sebelah saya ni warga China, rupa-rupanya orang Cina Malaysia 😀. Saya rasa gembira dan agak lega bila tahu ada orang Malaysia selain kami dalam pesawat yang nampaknya semua penumpang berwajah Cina.

Ada satu kisah, sepanjang penerbangan ada beberapa kali pramugari datang kepada saya dan berkomunikasi dalam bahasa Cina. Penumpang sebelah saya ni berkata kepada saya, “Dia orang ni tak nampak ke muka you bukan Chinese? Cakaplah English!”. Lebih kurang begitu katanya dengan nada kesal.

Saya sendiri pun hairan - muka Jawa dan bertudung bawal pun pramugari masih cing cong cing cong bercakap dengan saya 😄

Tak sempat nak request makanan halal, jadinya kami menolak untuk terima hidangan makanan. Perut tak begitu lapar, jadi rasa tak perlu ambil set hidangan hanya untuk makan buah.

Tapi kenalan baru di sebelah saya ni segera membelek yogurt yang baru diterima, ada tanda halal katanya. Setelah bertanya sama ada saya mahu atau tidak, segera dia maklumkan kepada pramugari yang dah berlalu pergi untuk beri saya dan suami - yogurt dan buah. Maka dapatlah kami set hidangan seperti dalam foto di atas. Roti tu kami tak makanlah sebab tak dapat nak pastikan status halal.

Kami berbual, katanya dia faham kenapa saya menolak hidangan makanan sebab tu dia cepat-cepat check tanda halal pada yogurt. Saya rasa tersentuh hati dengan kebaikannya. Betul-betul rasa bertuah sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tapi saling faham dan hormat.

Yogurt jenama Sunglo buatan Malaysia.


TRANSIT 3 JAM DI GUANGZHOU
Pesawat kami selamat mendarat di Guangzhou Baiyun International Airport pada pukul 4 pagi setelah terbang kira-kira 4 jam. Keluar dari pintu pesawat, perlu menuruni anak tangga setinggi dua tingkat. Sampai bawah, kami di bawa naik bas menuju ke terminal satu lagi.

Lalu health screening, pemeriksaan keselamatan dan urusan imigresen macam biasa, lepas tu kami ikut saja papan tanda ke Transfer Area. Semua proses berjalan lancar dan pantas.

Ramai penumpang sedang berehat di sini, ada juga yang bentang kain berbaring di lantai 😄. Dapat je kerusi kosong, Encik Suami duduk jaga bagasi kami dan saya pula terus meninjau sekitar - cari tempat sesuai untuk menunaikan solat Subuh.

Saya nampak Shower Room di suatu sudut. Saya rasa gembira sebab bolehlah kami membersihkan diri, tapi rupa-rupanya Shower Room tersebut tidak digunakan - semua unit bilik mandi dikunci.

Hikmahnya, dapatlah kami tumpang solat di suatu sudut di dalamnya memandangkan tiada tempat lain di kawasan ini yang sesuai untuk menunaikan solat. Tempatnya kering, bersih dan tiada sesiapa masuk. Alhamdulillah kami dapat solat secara bergilir apabila waktu Subuh masuk pada pukul 4.52 pagi (rujukan waktu solat di laman web china.prayertiming.net).

Pukul 6 pagi kami bergerak ke Gate B272 untuk penerbangan ke Kunming. Sangatlah jauh nak berjalan. Syukurlah ada travelator, bolehlah sesekali rehatkan kaki.

Inilah pakaian saya selama dua hari bermusafir. Kali terakhir mandi sebelum tengah hari Khamis sewaktu di rumah, seterusnya mandi selepas mendaftar masuk hotel di China pada waktu malam hari Jumaat. Lebih 24 jam tak mandi 🤣. Eh…tapi saya sempat lap badan dengan wet tissue. Syukurlah suhu di Kunming sejuk, jadinya tak berpeluh walau sentiasa bergerak ke sana sini. Badan rasa selesa je.


PEMANDANGAN DARI UDARA MENUJU KE KUNMING YANG MENAKJUBKAN
Penerbangan dari Guangzhou ke Kunming dengan pesawat China Southern Airlines berlepas pada pukul 7.05 pagi. Dapat tempat duduk je memang terus nak terlelap mata. Mengantuk!

Pramugari maklumkan ada pisang, jadi kami ambil kotak makanan ini.

Sebelum naik pesawat tadi kami dah makan bekalan roti. Ni ada pisang, makan jugalah supaya lebih kenyang perut. Yogurt dan potongan kek tak makanlah walau nampak macam sedap.

Mata saya yang mengantuk jadi segar bila ternampak pemandangan pergunungan yang menakjubkan nun di bawah sana. Masya Allah!

Selepas itu tiba pula di kawasan yang dipenuhi dengan kincir angin (wind turbine). Entah berapa kali saya zoom-in lensa kamera telefon untuk mendapatkan foto di atas.

Di kawasan ini pula nampaknya pembangunan sedang rancak berjalan.

Ketika pesawat semakin menghampiri lapangan terbang Kunming, berlaku air turbulence - pesawat bergoyang dan tersentak. Ianya bukan perkara luar biasa dalam penerbangan, tapi agak menakutkan bagi saya yang tak biasa menghadapi situasi begitu.

Alhamdulillah pesawat kami selamat mendarat di Kunming Changshui International Airport yang terletak di wilayah Yunnan pada pukul 9.15 pagi. Suhu ketika ini 18℃.

Kami keluar melalui Domestic Arrival jadinya tiada sebarang pemeriksaan keselamatan dan urusan imigresen. Seorang kawan Encik Suami (yang telah tiba lebih awal) sudah pun menunggu. Kami berjalan kaki keluar dari bangunan lapangan terbang menuju ke tempat parkir teksi, ketika ini terasa angin sejuk berhembus. Menggigil jugalah saya 😄


Video pendek pemandangan dari udara laluan Guangzhou ke Kunming.