Wednesday, 13 May 2026

Persediaan Ke Tanah Suci Untuk Umrah dan Ziarah

Sambungan entri terdahulu —> Kembara 8 Hari 7 Malam di Bumi Haramain

Entri ini merupakan catatan persediaan umrah pertama saya sebagai kenangan dan rujukan sendiri pada masa akan datang. Semoga catatan ini memberi sedikit panduan bagi kalian yang berhasrat mahu menunaikan umrah buat kali pertama.


Persediaan yang saya lakukan sebelum ke Tanah Suci :

⏵ MENCARI SYARIKAT PENGENDALI UMRAH YANG DIPERCAYAI
Agak sukar juga mencari syarikat pengendali umrah yang dipercayai di wilayah utara (Perlis atau Kedah) yang menyediakan pakej umrah bagi tempoh perjalanan kurang 10 hari.

Kenapa saya perlu pakej umrah kurang 10 hari? Encik Suami tak dapat nak bercuti panjang, lagi pula cuti umrah tersebut perlu ditambah beberapa hari bagi perjalanan pergi balik KL-Perlis dan cuti rehat selepas balik dari umrah.

Setelah agak lama saya mencari dan mengkaji, kami akhirnya memilih syarikat Rayhar Travels sebagai pengendali umrah. Pejabatnya terletak di Alor Setar, kira-kira 63 km dari rumah Perlis. Alhamdulillah…lega satu hal yang sangat penting.


⏵ PEMILIHAN TARIKH PERJALANAN
Tiga faktor berikut diambil kira bagi pemilihan tarikh perjalanan kami :
  • Bukan musim panas - buat carian ramalan cuaca.
  • Sesuai dengan kerja Encik Suami - pilih waktu dijangka kurang sibuk.
  • Mengambil kira waktu cuti solat saya -  pilih tarikh ‘selamat’. Saya rujuk aplikasi My Calendar (period tracker) yang telah saya gunakan sekian lama.

Setelah mempertimbangkan faktor di atas, kami memilih Promosi Syawal selama 9 hari 7 malam dengan tarikh perjalanan 7 - 15 April 2026. Terdapat dua jenis pakej ditawarkan, kami ambil pakej Safwah Jimat. Walaupun pakej ini 9 hari, tetapi dalam catatan saya nyatakan 8 hari di Bumi Haramain kerana pada awal pagi hari ke-9 kami sudah pun tiba di tanah air.

Klik poster untuk paparan lebih jelas.

⏵ BAYARAN PAKEJ
  • Deposit - RM1,000
  • Bayaran kedua - RM4,000 (2 bulan sebelum tarikh berlepas)
  • Baki bayaran akhir - 30 hari sebelum tarikh berlepas.

⏵ PERSEDIAAN DOKUMEN
  • Pasport antarabangsa - tempoh sah laku 7 bulan sebelum tarikh berlepas.
  • Buku vaksin meningococcal - dapatkan suntikan vaksin paling lewat 14 hari sebelum berlepas.
  • Gambar saiz visa umrah untuk permohonan visa.
  • Insurans berkelompok - sudah termasuk dalam pakej.
  • Insurans tambahan (insurans individu) - perlu bayaran tambahan. Kami beli sendiri Etiqa TripCare 360 Takaful (International - Area 3) bagi tempoh 1 tahun.

⏵ PERSEDIAAN ILMU & INFO
  • Persediaan ilmu ibadah umrah - hadir kursus anjuran Rayhar Travels, menonton YouTube dan membaca buku berkaitan.
  • Cari info berkaitan pemakaian/keperluan diri, suasana di Masjidil Haram & Masjid Nabawi dan segala hal berkaitan perjalanan kembara di Bumi Haramain menerusi tontonan YouTube dan membaca perkongsian mereka yang pernah ke sana.
Persediaan ilmu dan info akan membantu kita bagi membuat persediaan fizikal, mental dan kelengkapan yang perlu dibawa.


⏵ PERSEDIAAN FIZIKAL
  • Menghampiri tarikh perjalanan, perlu jaga kesihatan - elakkan perkara yang boleh mendatangkan risiko jatuh sakit.
  • Lakukan rutin senaman berjalan kaki bagi meningkatkan stamina dan sebagai persediaan - kita akan banyak berjalan kaki untuk ke masjid dan aktiviti ziarah.

⏵ PERSEDIAAN MENTAL
  • Bersedia menghadapi pelbagai ragam manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia - bersabar dengan kerenah mereka.
  • Pemahaman agama dan budaya hidup mereka mungkin berbeza dengan kita. Berlapang dada menerima perbezaan dan fokus pada diri sendiri sahaja - beribadah dan teruskan buat perkara baik.

⏵ TEMPAH SLOT MASUK RAUDHAH MENERUSI APLIKASI NUSUK
Tempahan slot masuk Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah saya lakukan kira-kira 4 minggu sebelum tarikh masuk. Pihak Rayhar berikan tarikh dan masa dicadangkan untuk jemaah kumpulan kami buat tempahan slot - tujuan pilih masa yang sama supaya boleh masuk ke Raudhah dalam satu kumpulan.


⏵ PERSIAPAN KEPERLUAN DIRI
Agak lama juga saya mengkaji bab pemakaian yang sesuai dan selesa dengan diri saya (begitu juga dengan pemakaian Encik Suami, saya uruskan). 

Juga perlu fikir nak bawa sedikit saja kemudian cuci pakaian/mendobi atau bawa satu persalinan setiap hari. Memandangkan trip kami cuma 8 hari, saya bawa satu persalinan pakaian bagi setiap hari kecuali tudung saja perlu cuci untuk pakai semula.

Antara keperluan yang saya bawa :
  • Pakaian ihram pantsuit warna putih.
  • Stokin tawaf dan stokin tebal (tidak jarang) sesuai dibawa solat.
  • Mini telekung tanpa kain. Bawa juga satu kain solat, persediaan jika perlu solat di bilik.
  • Jubah.
  • Pantsuit.
  • Tudung labuh/sederhana labuh.
  • Set baju tidur
  • Pakaian dalam, serkup, handsock, stokin - 1 helai/sepasang setiap hari, kecuali handsock tak perlu banyak sebab saya pakai jubah/pantsuit yang sudah menutup aurat lengan. Lain-lain bawa lebih sebagai persediaan jika perlu pakai lebih sehelai/sepasang dalam sehari.
  • Inner seluar untuk pantsuit - perlu pakai jika material pantsuit jenis lembik atau sedikit jarang.
  • Seluar (bukan inner seluar yang biasanya nipis) untuk dipakai bersama jubah - perlu pakai bagi memastikan aurat terjaga ketika melangkah.
  • Ubat-ubatan asas (antaranya - Panadol, Actal, Cetirizine, krim Counterpain) dan vitamin harian (saya bawa Blackmores Vitamin C dan Omega 3 Fish Oil).
  • Spray wuduk (saya gunakan dalam pesawat).
  • Portable bidet (saya gunakan dalam pesawat).
  • Gunting lipat untuk tahalul - bawa sendiri mudah nak guna.
  • Sejadah nipis saiz sederhana untuk kegunaan solat di lantai masjid tanpa karpet.
  • Travel iron - saya bawa sebagai persediaan sebab ada pakaian jenis mudah renyuk.
  • Sos cili peket kecil (sangat berguna bagi meningkatkan rasa makanan yang dibeli).

Saya susun semua keperluan menggunakan travel organizer bag.

Baju dan tudung semua siap bergosok, bila masuk dalam organizer bag ni kuranglah masalah renyuk - cuma ada garis lipatan. Saya bawa juga vacuum compression bag bagi mengisi pakaian yang sudah dipakai - dapat kurangkan ruangan dalam beg dan boleh isi barang yang baru dibeli.

Paling utama adalah persediaan hati - niat ke Tanah Suci untuk mencari redha Allah, mendekatkan diri kepada-Nya. 








37 comments:

  1. baca persediaan pun dah rasa seronok kak..tak sabar rasa teruja nak baca pengalaman akak di tanah suci

    ReplyDelete
  2. Seronok baca pengalaman Ujie. Memang betul, persediaan mental nak hadap pelbagai ragam manusia di sana tu sangat penting. Tips bawa sos cili peket tu memang legend, penyelamat selera! Terima kasih kongsi info pakej Rayhar ni..Sangat membantu bagi mereka yang baru pertama kali merancang ke Tanah Suci, terutama bab pemilihan tarikh dan persediaan aplikasi Nusuk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama SA, moga catatan ni bermanfaat buat orang lain.

      Delete
  3. Seronoknya. Mudahan Allah jemput akak ke RumahNya lagi. Sekarang ni berdoa semuga ada rezeki mengerjakan haji tahun hadapan. Aamiin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga Allah kabulkan hasratnya tu. Saya teringin jugak nak cepat kerjakan haji tapi rasa tak yakin dengan diri sendiri 😅

      Delete
  4. alhamdulillah.. terima kasih atas perkongsiannya...
    betul tu, yang paling utama, persediaan hati

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama Linda.
      Iya kalau hati dah bersedia, InsyaAllah urusan lain terasa mudah.

      Delete
  5. Alhamdulillah tq info yg sangat berguna. Mudah-mudahan ada rezeki Sy nak ke tanah suci lagi 🤲🏻

    Rayhar memang reputable company. Sy kursus haji dulu pun dgn ustaz² dari Rayhar, collab dgn masjid kariah kami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga tercapai hasrat PH.

      Jeles dengan PH dah kerjakan haji. Senang hati dah pergi awal masa muda.

      Delete
  6. lengkapnya entry ni! semoga bermanfaat pada orang yg membaca :D

    baguslah tmpah slot nusuk tu awal 4 minggu. kitorg buat seminggu sebelum je tau hehe. Alhamdulillah walaupun datang pada peak season masih rezeki dpt masuk ke raudhah

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah 😀

      Pihak Rayhar suruh buat tempahan masa tu, kita ikut je arahan 😀

      Delete
  7. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Alhamdulillah berpeluang jejak kaki ke tanah suci.

    ReplyDelete
  8. Bagus nota persediaan umrah ni untuk mereka yang pertama kali nak mengerjakan umrah 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga catatan ni bermanfaat untuk orang lain jugak.

      Delete
  9. Bagusnya entry macam ni terutama untuk mereka yang baru pertama kali nak pergi. Harap2 jangan kita semua ditipu oleh pengendali umrah yang tak jujur. Time pergi dulu tak ada apps pun...mungkin apps ni memudahkan la.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apps Nusuk untuk elak kesesakan dalam Raudhah, masuk lebih teratur.

      Delete
  10. Yes.... yang paling utama adalah hati....
    Itu nombor satu.
    Ini bukan trip biasa-biasa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau hati bersedia, insyaAllah yang lain terasa mudah lancar walau ada cabarannya kan.

      Delete
  11. Hati di dalam ni meronta2 nak ke Tanah Suci lagi. Moga diizinkan nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga ada rezeki jadi tetamu-Nya lagi. Mulan beruntung dah kerjakan haji.

      Delete
  12. Sebelum Ujie cerita, saya tak tahu pun ada trip umrah singkat macam ni. Saya pergi hari tu, 12 hari 10 malam. Ingatkan, semua standard. Cara kita packing sama, saya pun pakai organizer. Senang nak cari barang. Rindunya nak pergi sana. 🥰

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tau trip umrah singkat sebab mencari. Rupa-rupanya memang ada untuk penuhi keperluan mereka yang tak boleh cuti panjang.

      InsyaAllah moga ada rezeki kita jadi tetamu-Nya lagi.

      Delete
  13. doakan saya sis di jemput ke tanah suci dalam masa terdekat

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, dah pasang niat nanti Allah permudahkan jalannya.

      Delete
  14. Terperinci persediaan Puan Ujie buat.
    Kira banyak juga pakaian yang dibawa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab tak lama sangat, bolehlah bawa untuk setiap hari. Tapi lepas pergi haritu, rasanya kalau ada rezeki pergi lagi saya akan kurangkan pakaian yang dibawa - basuh dan ulang pakai.

      Delete
  15. Perkongsian yang sangat bermanfaat terutama untuk mereka yang pertama kali ingin menunaikan umrah. Persediaan seperti ini memang penting supaya perjalanan lebih tenang dan lancar nanti. Cara penulis menyampaikan pengalaman dan tips juga jelas serta mudah difahami, jadi pembaca boleh jadikan panduan awal sebelum ke tanah suci

    ReplyDelete
  16. Tempahan slot masuk Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah saya lakukan kira-kira 4 minggu sebelum tarikh masuk.

    wahhhh awal betul ni
    sy aritu sehari sebelum bertolak baru buat hehehe

    nak pergi lagi tak lepas ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rayhar suruh buat awal, siap kena tunjuk bukti dah buat tempahan 😀
      Agaknya nak elak masalah tak dapat slot bersama.

      Sehari sebelum bertolak dari Malaysia, masuk Mekah dulu kan? Oklah tak lewat sangat, kalau sehari sebelum masuk Raudhah tu risau jugak 😅

      Delete
  17. Terima kasih kerana Ujie sudi berkongsi cerita dengan terperinci tentang persediaan menunaikan umrah. Semoga ada rezeki semua yang baca entry ini dijemput menunaikan umrah. In sya Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama KSarie 😊
      Aamin…moga makbul doanya.

      Delete
  18. Lengkap panduan bagi mereka yg hendak menunaikan ibadah umrah. Terima kasih atas perkongsian Ujie.

    ReplyDelete
  19. List yg perlu dibawa itu penting sih. Jadi utk yg baru akan umroh pertama kali setidaknya ada bayangan apa saja yg perlu dibawa 😍

    ReplyDelete
  20. Terima kasih info yg sangat bermanfaat ni....😍

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****