Thursday, 19 March 2026

Ramadan Bakal Pergi Meninggalkan Kita

Entri saya yang terakhir di bulan Ramadan, saya himpunkan beberapa catatan terpilih. Sebenarnya banyak perkara nak dicatat, tapi saya kurang stamina berblog. Tengoklah jumlah entri bulan ni, boleh kira dengan jari je ๐Ÿ˜„


⏵ KEMARAU DAN CUACA PANAS TAHAP 1 (BERJAGA-JAGA)
Keseluruhan Perlis terutamanya di tempat tinggal saya (pemegang rekod titik paling panas di Malaysia), masih lagi mengalami keadaan kemarau dan cuaca panas dengan status terkini berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga). Selain Perlis, terdapat beberapa kawasan di Kedah turut berada pada Tahap 1.
Tahap 1 Berjaga-jaga | Suhu maksimum harian 35 - 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut.
Foto pagi ini 19 Mac 2026. Rumput di sekeliling rumah saya sudah berbulan kering kekuningan begini. Daun-daun kering yang jatuh dari pokok juga sangat banyak, tak larat saya nak menyapu dalam keadaan berpuasa dan cuaca panas.

Sejak penghujung tahun lepas, hanya beberapa kali hujan turun di kawasan rumah saya. Itu pun cuma ‘hujan lalu’ orang kata, bukanlah hujan lebat. 

Rakaman foto pada 8 Mac 2026. Kebakaran belukar menjadi perkara biasa ketika musim begini - gabungan rumput belukar kering, cuaca panas melampau dan angin kuat menjadi pencetus kebakaran.

Juga tidak menolak kemungkinan faktor manusia menjadi pencetus kebakaran - mungkin puntung rokok atau entah apa yang dicampak ke kawasan belukar, sama ada tidak sengaja atau dengan niat tertentu (yang ini kena sembang depan mata, tak sesuai ditulis secara terbuka).

Kalau dulu saya gerun menyaksikan julangan api dan bunyi deraknya, tapi setelah masuk tahun ketiga ‘acara kebakaran’ ini berlaku maka saya jadi terbiasa. Kalau kalian ke sesetengah kawasan di Kedah dan Perlis ketika ini, dapatlah menyaksikan sendiri kesan kebakaran di tepi-tepi jalan dan kawasan belukar.

Rekod suhu semalam pada 18 Mac 2026, pukul 3.36 petang. Suhu 36 darjah Celsius, feels like 41 darjah Celsius. Keluar rumah sekejap je pun terasa perit kulit dan berbahang. Entah bagaimana mereka yang perlu bekerja di luar dalam keadaan berpuasa.


⏵ BERBUKA PUASA DI HOTEL SERI MALAYSIA, KANGAR
Kelmarin 17 Mac 2026 - buat pertama kali dalam hidup, saya berbuka puasa di hotel. Ini juga merupakan kali pertama saya berbuka di luar pada Ramadan kali ini. Saya kurang berminat berbuka di hotel sebab saya berbuka ringkas je sekadar satu dua jenis makanan, rasa tak berbaloi ambil pakej bufet. Kali ini saya pergi juga bagi memenuhi ajakan Encik Suami bersama kawan-kawan sekerja.

Hotel ini menyediakan cabutan bertuah bagi pengunjung yang hadir. Kejutan sungguh, bila salah seorang daripada kami berjaya mendapat hadiah utama iaitu pakej umrah dan ziarah Istanbul tajaan Andalusia Travel. Wow! Alhamdulillah rezeki Ramadan buat Encik S.


⏵ BERBUKA PUASA DI NGOPI KANGAR
Semalam 18 Mac 2026 - selepas Encik Suami balik dari kerja, kami ke bandar Kangar untuk ambil pakaian di kedai alteration dan ke rumah adik ipar ambil kiriman barang yang nak dibawa balik Johor. Adik ipar balik lewat sikit, beraya di Perlis dulu.

Kami berbuka di Ngopi. Sepanjang Ramadan biasanya kami jarang makan nasi berlauk, maka hidangan begini mencukupi buat kami.


⏵ TARAWIH DI MASJID TUANKU SYED FAIZUDDIN, KUALA PERLIS
Selesai berbuka, kami menuju ke Kuala Perlis. Cadangan awal nak bertarawih di Masjid Alwi, Kangar tetapi kami tukar fikiran - kami ke ‘masjid gula-gula’ (panggilan saya untuk masjid ini kerana rupa kubahnya).

Sama seperti situasi di masjid lain di negeri ini - suasana solat tarawih terasa lebih tenang tanpa bacaan khusus antara rakaat solat tarawih. Juga tiada bacaan zikir dan doa oleh imam selepas solat fardu dan solat tarawih. Jemaah bebas berzikir dan berdoa sendiri. Sunyi dan tenang. Saya suka amalan begini.

Selesai solat witir, masing-masing berdoa sendiri dan bersalaman. Selepas itu seorang wakil masjid bangun memberi makluman berkenaan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal nanti - solat akan dilakukan pada pukul 8 pagi di dataran masjid, perlu bawa sejadah sendiri kerana hanya tikar akan dibentangkan.


⏵ KANGAR JAYA SESAK!

Dalam perjalanan balik rumah, kami singgah di Kangar Jaya - sebuah kawasan perniagaan baharu di Kangar yang menempatkan pelbagai perniagaan termasuk Kangar Jaya Mall. Pertama kali saya menyaksikan kesesakan teruk di Perlis ๐Ÿ˜„. Maklumlah, ramai yang dah pulang ke kampung halaman.


⏵ KUIH RAYA 

Meneruskan tradisi sejak dahulu, saya tak buat kuih raya sendiri ๐Ÿ˜„. Kali ini tempah dengan jiran tiga jenis kuih raya tradisional - tart nanas, semperit dan mazola. Setiap jenis harganya RM15/bekas. 

InsyaAllah esok awal pagi kami bergerak balik ke Johor, tapi kalau ditakdirkan esok 1 Syawal maka kami akan bergerak setelah selesai solat sunat Aidilfitri. 







16 comments:

  1. Seremban pun panas Ujie...SA kalau boleh biarlah kita raya sabtu sebabnya banyak benda x ready ni....hehehe...hati2 perjalanan esok ye

    ReplyDelete
  2. Lipis ni takde hujan sepanjang Ramadan. dah nampak mendung tapi hujan tak turun juga.

    ReplyDelete
  3. mmg cuaca panas....tp kaji cuaca kata raya nanti ujan...lama tk mkn biskut mazola

    ReplyDelete
  4. Semoga selamat perjalanan sampai ke Johor..
    Comel² dan mampu milik harga cookies nya...

    ReplyDelete
  5. Kalau dah raya begini , biasanya ibukota akan sepi, tp kota2 lain ramaaaai sebab mudik kan ๐Ÿ˜„๐Ÿ˜„. Saya memang tak pernah mudik lagi tiap raya Krn ada kucing2 yg tidak bisa saya tinggal. Asisten rumah cuti 2 Minggu, kalau si mbak ada, saya pasti minta tlg dia utk jaga kucing2 Saya.

    Tapi setidaknya walau tak bisa mudik, saya bisa menikmati jakarta sepi tanpa jammed ๐Ÿ˜‚.

    ReplyDelete
  6. Sy nak balik Kedah risau dah ni, panas katanya. Kitanya sejak dok 'keyel' ni kemain tak tahan panas haha ๐Ÿ˜†

    Alhamdulillah rezeki En S dapat tahan umrah. Lumayan hadiahnya!

    Masih murah harga kuih raya dekat sana ye ๐Ÿ‘๐Ÿป

    Semoga selamat sampai ke destinasinya PU ๐Ÿคฒ๐Ÿป

    Selamat Hari Raya
    Maaf Zahir Batin ikgkas dari Sy ๐Ÿซฐ๐Ÿป

    ReplyDelete
  7. Lain masjid lain cara solat dan doa.
    Nasib baik raya hari Sabtu. Selamat pulang ke Johor.

    ReplyDelete
  8. Musim panas di bahagian utara Malaysia.. semoga baik baik sahaja semuanya.. especially bila musim raya ini.. Di Perlis masih lagi kuat dengan pegangan wahabi yg kebanyakan menolak amalan bidaah hasanah.. termasuklah zikir selepas solat tu ๐Ÿ˜…

    ReplyDelete
  9. Di Negeri Sembilan pun dah panas sekarang dalam bulan lepas ada juga hujannya.
    Mrs. A pun suka kuih-kuih tradisi macam tu UO. Kat Seremban tak dapat harga macam tu heheheee..
    Selamat hari raya maaf zahir dan batin.

    ReplyDelete
  10. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin ya Ujie.

    Satu Malaysia pun terik rasanya kan. Murahnya kuih raya RM15/bekas.

    ReplyDelete
  11. baru tahu kebakaran belukar tu perkara biasa kat sana. kalau camtu, kena panggil bomba tak? besar juga apinya tu.
    jarang2 perlis nak jem kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oleh kerana tiap tahun memang ada musim panas kemarau dan selalu terbakar, kat sini dah ada team kawal kebakaran. Dalam keadaan tertentu je baru panggil Bomba.

      Delete
  12. Murah satu balang harga RM15 je. Satu Malaysia panas, tapi Perlis dan Kedah paling panas. Merasa juga berbuka di luar ya, Ujie. Selamat hari raya, Ujie. Maaf zahir batin. ๐Ÿค—

    ReplyDelete
  13. Saya pula ada ke Perlis. Time tu ke Chuping kat suhu di bulatan Chuping tu menunjukkan 40.1 darjah celcius. Huihhhh panasnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Paparan suhu di bulatan Chuping tu cuma monumen - binaan untuk memperingati Chuping pernah cecah 40.1 darjah Celsius, rekod titik paling panas di Malaysia buat masa ini.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita ๐Ÿ˜Š

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****